Lelaki itu turut dikawal ketat lebih 10 pegawai penjara dan polis.
Duda tersebut selepas itu dibawa memasuki ke dalam sebuah bilik dalam dewan tersebut kira-kira 20 minit untuk pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan.
Hukuman sebat itu bermula pukul 2.50 petang yang dilakukan seorang pegawai sebat dari Penjara Marang dan selesai dua minit selepas itu.
Hukuman sebat itu dilaksanakan di hadapan 90 orang yang mewakili Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, kerajaan negeri, Jabatan Penjara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah serta media.
Pada masa sama, seramai 40 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pekarangan masjid itu bagi memastikan proses hukuman sebat tersebut berjalan lancar.
Selepas selesai menjalani hukuman tersebut, Mohd. Affendi dibawa keluar dari dewan masjid tersebut pada pukul 2.55 petang dan kemudian menaiki semula kenderaan untuk dihantar pulang ke Penjara Marang.
Media pada 6 Mei lalu melaporkan, seorang ibu tunggal berusia 37 tahun yang melakukan kesalahan khalwat kali kedua telah menjadi wanita pertama menjalani hukuman enam kali sebatan di dalam Penjara Marang.
Sebelum itu, pada 9 Mac 2018, pasangan lesbian berusia 22 dan 32 tahun telah dikenakan hukuman enam sebatan setiap seorang kerana melakukan kesalahan hubungan sejenis yang dilaksanakan di dewan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu. – UTUSAN