Hanya 70 individu dibenar masuk, tidak dibenar merakam

Hukuman sebat: Hanya 70 individu dibenar masuk, tidak dibenar merakam

HUKUMAN sebat terhadap Mohd. Affendi Awang yang melakukan kesalahan khalwat berulang dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu pada 27 Disember ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 40 pegawai dan anggota polis ditempatkan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini pada Jumaat ini bagi memastikan hukuman sebat terhadap seorang duda berjalan lancar.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, penugasan itu bertujuan memastikan tiada sebarang provokasi atau kekacauan yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan huru-hara  kepada petugas atau pesalah pada Jumaat ini.

“Setakat ini, hanya 70 individu dibenarkan masuk ke dalam ruangan tempat hukuman sebat dijalankan. Jemaah yang hadir di Masjid Al Muktafi Billah Shah dinasihatkan segera keluar setelah selesai menunaikan solat Jumaat,” katanya hari ini.

Terdahulu, seorang duda menjadi individu pertama di Terengganu yang bakal dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.

Hukuman itu diputuskan mahkamah selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Azli turut mengingatkan orang ramai supaya tidak berkumpul di luar atau pekarangan masjid kerana dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran proses hukuman yang akan dilaksanakan.

“Polis juga mengingatkan supaya 70 individu yang dibenarkan untuk menyaksikan hukuman sebat ini tidak membawa masuk sebarang alat telekomunikasi seperti telefon dan perakam video.

“Sebarang rakaman tidak dibenarkan. Pihak polis akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi di bawa masuk ke ruangan hukuman,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN