Hala tuju Keadilan menjadi peneraju dalam Pakatan Harapan

Hala tuju Keadilan menjadi peneraju dalam Pakatan Harapan

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyantuni sebahagian mangsa banjir ketika beliau melakukan lawatan di PPS SK Bukit Tinggi, Kedah, baru-baru ini. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Parti jalanan’ istilah yang sinonim dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pengaruhnya sejak 1999 tidak dinafikan begitu besar dalam memperjuangkan agenda reformasi sehingga kini.

Terbukti perjuangan parti tersebut benar-benar diterima rakyat apabila 25 tahun kekal berada dalam dunia politik, malah terus kukuh menjadi sebahagian daripada kerajaan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, jatuh naik PKR bukan sahaja terletak pada bahu Anwar, sebaliknya perkara itu turut digalas pemimpin PKR lain termasuk Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku antara pelopor awal parti berkenaan sehingga berjaya melebarkan sayap dalam pentas politik negara ini.

Menyingkap kembali sejarah perjuangan PKR, ia ditubuhkan selepas Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 dan Timbalan Presiden UMNO.

Namun hari ini, Anwar selaku sosok besar politik pembangkang di Malaysia dan kini dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sudah pasti pengaruhnya itu berjaya menjadikan PKR parti yang relevan dalam politik Malaysia.

Bermula dengan langkah memperkukuh peranan di Selangor sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), kejayaan tersebut berterusan dengan membawa kekuatan Pakatan Rakyat (PR) pada ketika itu terus mendominasi Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Kebangkitan demi kebangkitan, akhirnya PKR bersama DAP dan Amanah di bawah gabungan PH mencipta sejarah menubuhkan kerajaan pada 2018, sekali gus turut menyaksikan sejarah Barisan Nasional (BN) buat pertama kali tewas dengan mudah pada PRU-14.

Sekali lagi pada PRU-15, Kerajaan Perpaduan dibentuk PH dengan hasil sokongan bekas seteru ketat, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil lain.

Dengan perjalanan politik yang berliku dihadapi PKR termasuk kejatuhan kerajaan PH 1.0 pada Mac 2020 membuatkan parti itu yang dianggotai lebih sejuta ahli telah melalui proses kematangan demokrasi politik.

Saifuddin yang merupakan tulang belakang PKR banyak berjuang kepada parti tersebut khususnya ketika Anwar di dalam penjara, termasuk berkorban setiap masa bagi meningkatkan pengaruh parti sehingga mampu berdiri sebagai kerajaan hari ini.

Menteri Dalam Negeri itu merupakan antara pemimpin awal yang bertanding dalam pilihan raya walaupun tewas, namun beberapa dekad kemudian parti tersebut menguasai Dewan Rakyat sekali gus menafikan penguasaan BN sejak kemerdekaan.

Dalam menjelaskan perit getir PKR, Saifuddin ketika ditemui berkata, hala tuju parti itu jelas iaitu membantu semua masyarakat tidak mengira bangsa, namun cabaran utamanya adalah bagaimana parti ingin dikekalkan sebagai sebahagian daripada kerajaan untuk penggal yang kedua.

“Kita pernah menjadi kerajaan negeri Selangor, pernah menjadi kerajaan Negeri Sembilan dan ini pertama kali kami ada sejumlah pimpinan yang memegang posisi dalam kerajaan, ujiannya adalah bolehkah kita pisahkan supaya Keadilan ini dilihat sebagai parti yang boleh membezakan integriti dengan komitmen reformasinya.

“Keadilan ini untuk semua, komited dengan 17 reformasi, termaktub dengan perlembagaan parti, tetapi hala tuju jelas yang Keadilan akan kekal mendukung gabungan 18 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk bergerak ke arah dua perkara, antaranya mengekalkan pemerintahan ini untuk penggal kedua berdasarkan formula Kerajaan Perpaduan sekarang,” katanya.

Melihat kepada perkembangan Kerajaan Madani hari ini, PKR memainkan peranan sebagai tunjang utama dalam memberi keadilan serta kebersamaan kepada semua pihak tanpa mengira bangsa.

Perkara ini jelas dilihat apabila Saifuddin diberi tanggungjawab untuk mencari titik persamaan dalam setiap manifesto parti gabungan lain dalam Kerajaan Perpaduan dan ia berjaya dilakukan sewaktu pemukiman menteri baru-baru ini.

Usaha tersebut juga dilihat memberi kesan positif secara keseluruhan, sekali gus dapat menangkis persepsi pembangkang tentang sentimen perkauman yang menjadikan DAP sebagai bahan ‘serangan’.

Malah, tindakan pembangkang yang hanya mempolitikkan segala perkara memperlihat parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) khususnya Bersatu dan Pas seperti tiada hala tuju untuk masa depan masyarakat amnya.

Ini dibuktikan apabila mereka tidak menyediakan bajet alternatif seperti yang dilakukan PKR setiap tahun sewaktu berada di barisan pembangkang dahulu.

Maka sebab itu juga, ramai penganalisis politik berpandangan PKR akan terus utuh menjadi peneraju PH meskipun DAP mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang lebih banyak berbanding parti lain dalam PH.

Sementara itu, penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr. Azmi Hassan berkata, ini kerana sokongan itu bersandarkan kepada PKR yang diterima semua pihak berbilang bangsa, sementara DAP hanya mewakili satu bangsa, begitu juga Amanah yang mewakili satu kelompok sahaja.

“Memang tidak syak lagi antara tiga parti itu, PKR akan menjadi peneraju seperti sekarang, walaupun DAP mempunyai kerusi lebih banyak tetapi DAP tahu mereka tidak boleh berseorangan. Mereka sudah belajar dari dulu dan tidak ada cara untuk menjadi kerajaan selain kerjasama dengan PKR, dan kerjasama ini membolehkan PKR menjadi peneraju terutama sekali di bawah kepimpinan Anwar, tetapi selepas siapa pengganti Anwar, itu yang menjadi persoalan,” katanya.

Tambahnya, ‘pergolakan’ dijangka berlaku ketika mencari pemimpin untuk menggantikan kedudukan Anwar sebaik sahaja beliau tidak memegang jawatan sebagai presiden parti dan Perdana Menteri.

“Ketika mencari pemimpin untuk menggantikan Datuk Seri Anwar, ia boleh jadi pergolakan dalam PH, siapakah menjadi peneraju PH sama ada DAP atau PKR. Tetapi situasi hari ini ketika ini ialah Anwar menjadi presiden dan beliau juga adalah Perdana Menteri, status quo kekal ketika ini adalah PKR yang akan menjadi peneraju,” ujarnya lagi.

Bagi Datuk Fauzi Abdul Rahman, antara pengasas PKR berkata, secara dasarnya penubuhan setiap parti politik dalam negara mempunyai motif tersendiri termasuk PKR.

Menurutnya, parti tersebut menjadi harapan rakyat agar membawa suara dan perjuangan rakyat.

Senada, veteran PKR, Hassan Abdul Karim juga berkata: “Kelebihan utama yang ada pada PKR ialah kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan sekarang memainkan peranan kepimpinan serantau sebagai pemimpin ASEAN apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Selain itu, penglibatan Anwar yang berprofail tinggi dalam dunia Islam dan pergerakan negara-negara berkecuali terutama dalam isu Palestin telah mengangkat imej Malaysia yang lebih tinggi dalam dunia antarabangsa.

“Ini ditambah dengan kebijaksanaan Anwar mengemudi dasar luar Malaysia yang ingin bersahabat dengan semua negara dari apa blok sekalipun sama ada USA, Russia dan China menjadikan Malaysia adalah suara yang lantang di rantau ASEAN yang kekal dan konsisten berpegang kepada dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) di rantau Asia Tenggara.

“Malah,permohonan Malaysia untuk menyertai gabungan BRICS membawa Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN