PETALING JAYA: Lebih 130 pemain memeriahkan Kejohanan grand final Malaysia Flying Golfers Association (MFGA) yang berlangsung di Kelab Golf Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Lebih bermakna kejohanan grand final tahun ini turut disertai pemain-pemain dari tujuh negara luar iaitu Lebanon, Korea, Taiwan, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura.
Setelah hampir 41 tahun penubuhannya, MFGA sehingga kini terus melebar jalinan pelancongan dan mengeratkan persahabatan dengan negara-negara luar melalui platform golf dengan menganjurkan beberapa siri kejohanan kelayakan dan grand final.
Sepanjang siri kejohanan tersebut, MFGA berjaya membawa sektor pelancongan negara ke persada dunia dan ini terbukti dengan penyertaan setiap tahun pemain-pemain dari luar negara.
Presiden MFGA, Zulkifli Mohd. Razali berkata, dengan kejayaan beberapa siri kejohanan golf yang lalu, MFGA pastinya akan meneruskan kesimbungan kejohanan seperti ini yang lebih tertumpu kepada membina rangkaian perhubungan antara ahli-ahli MFGA luar negara dan tempatan.
Justeru itu, tambah Zulkifli, beliau cukup berterima kasih kepada ahli-ahli MFGA, ahli-ahli gabungan MFGA dari negara luar, pemain-pemain golf tempatan (jemputan) dan penaja yang menjayakan kejohanan anjuran MFGA ada tahun ini dan kejohanan-kejohanan yang lalu.
“Tahun ini ada pertambahan penyertaan negara luar dalam kejohanan golf kali ini berbanding tahun lalu. Tahun ini ada tujuh negara luar dan tahun lima negara sahaja.
“Insya-Allah dengan usaha berterusan seluruh ahli-ahli MFGA kita mencuba sebaik mungkin untuk menambah lebih banyak lagi penyertaan negara-negara luar pada kejohanan tahun hadapan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Zulkifli turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada seluruh ahli-ahli MFGA dan semua pihak yang terlibat serta para penaja menjayakan kejohanan golf sepanjang tahun ini seperti Tourism Malaysia, Air Macau, KL Hop On Hop Off, EUUS Tours, Leonian AirAsia, Turkish Airlines, Emirates dan lain-lain.
Pada kejohanan grand final kali ini, Nasaruddin Abdul Basir muncul juara Order Of Merit selepas mengumpul 1,850 mata diikuti naib juara, Ramlan Mohd. Nor dengan pungutan 1,580 mata dan Sivalingam SP di tempat ketiga dengan 1,570 mata.
Bagi kategori Medal A pula, Kapt. (B) Abd. Rashid Md. Zain muncul juara dengan pungutan 41 mata dan tempat kedua milik Norazman Sabri (40 mata), manakala Ruszamuddin diumumkan pemenang tempat ketiga dengan 38 mata.
Pemain handikap 16, Salzeli Zamri yang berjaya mengumpul 49 mata merangkul gelaran juara kategori B, diikuti To’ Puan Fatimah Rosli (36 mata) dan Datuk Arshad Abd. Jalil (35 mata).
Kategori C pula gelaran juara menjadi milik Hussin Ahmad (43 mata), disusuli Datuk Kapt. Mohd. Fauzi Aziz (42 mata) dan Ismet Omar (41 mata).
Manakala bagi kategori jemputan pula, di tempat pertama menjadi milik Norazizul Hashim selepas mengumpul 39 mata, sementara Mohd. Khalid GMK di tempat kedua dengan 38 mata dan tempat ketiga milik Zikry Zain (37 mata)
Hadiah-hadiah seperti dua Set golf, dua unit driver, satu unit penghawa dingin, satu unit beg golf Majesty, pakej golf Jakarta dan pakej golf Medan yang ditawarkan kepada pemain yang berjaya melakukan pukulan selubang (Hole In One) gagal dimenangi semua pemain. – UTUSAN