KUALA LUMPUR: FGV Holdings Berhad (FGV) telah menyempurnakan agihan zakat sebanyak RM9.8 juta beserta RM10.1 juta bagi agihan zakat wakalah pada tahun 2024 menerusi program induk tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dengan tujuan memperkukuh ekonomi setempat.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Rastam Mohd Isa, program CSR kumpulan FGV diteruskan tahun ini dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi menyalurkan sebahagian daripada wakalah zakat FGV berjumlah RM1.2 juta kepada golongan yang memerlukan.
Rastam berkata, jumlah sumbangan tahun ini telah ditingkatkan berbanding RM500,000 pada tahun 2023 yang telah diagihkan kepada 900 orang asnaf, secara tidak langsung mencerminkan komitmen dan dedikasi FGV bagi memperkasa kebajikan komuniti.
Jelasnya, sebanyak sembilan siri program FGV Seikhlas Hati telah diatur bertempat di lima buah masjid sekitar Wilayah Persekutuan dan empat buah masjid di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM130,000 bagi setiap sesi.
“Dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan PPZ-MAIWP, 200 asnaf telah dikenalpasti untuk menerima bantuan pada hari ini.
“Setiap penerima akan menerima wang tunai berjumlah RM550 beserta produk makanan keluaran FGV seperti minyak masak, santan, sos, mi segera di bawah jenama SAJI dan marjerin Seri Pelangi.
“Selain itu, FGV juga memperuntukkan sumbangan kepada masjid berjumlah RM10,000 iaitu RM7,000 dalam bentuk tunai dan RM3,000 dalam bentuk barangan keluaran FGV bagi mengisi tabung makanan,” katanya ketika ditemui di sidang media Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Dan Sumbangan Kumpulan FGV di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, di sini, Khamis lalu.
Dalam pada itu, Rastam berkata, program CSR tersebut merupakan bukti kesungguhan FGV dalam menyokong inisiatif kerajaan bagi membantu golongan kurang bernasib baik yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang kian meningkat.
“Kami juga sedia maklum bahawa pada saat ini ramai rakyat yang terjejas oleh bencana banjir di beberapa buah negeri. FGV sentiasa peka terhadap keadaan seperti ini dan akan berusaha membantu mengikut kadar kemampuan syarikat
“Atas dasar solidariti, FGV telah bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada pekerja-pekerja dan komuniti setempat yang terjejas akibat bencana banjir,” katanya.
Menurut Rastam, ibadah zakat bukan sahaja satu kewajipan dari segi agama, ia juga merupakan salah satu instrumen penting untuk mengurangkan jurang ekonomi dan memupuk pembangunan masyarakat.
“Di FGV, kami memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan asnaf dan komited untuk berkongsi rezeki kami dengan mereka yang memerlukan terutamanya di kawasan-kawasan operasi kami.
“Dengan menyempurnakan ibadah zakat, kami berhasrat untuk menyokong usaha kerajaan dalam meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.
“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan FGV sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik,” jelasnya.
Tambah Rastam, inisiatif tersebut juga merupakan salah satu langkah bagi FGV menyumbang semula kepada masyarakat, di samping melunaskan tuntutan agama serta membuktikan keprihatinan syarikat terhadap masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.
“Sebagai umat Islam, kita percaya bahawa keberkatan adalah aspek penting dalam kehidupan dan perniagaan. Malah, majoriti pekerja di FGV beragama Islam. Oleh itu, pembayaran zakat ini dilakukan bukan hanya bagi pihak syarikat tetapi juga mewakili para pekerja.
“Sudah tentulah, pemberian zakat ini berupaya memberikan ketenangan kepada warga kerja FGV. Di samping membantu mereka yang memerlukan, kami turut menitikberatkan keberkatan dalam setiap aspek perniagaan dan operasi syarikat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, syarikat seperti FGV mempunyai peranan besar dalam menjadi contoh kepada syarikat korporat lain khususnya dari segi pembayaran zakat.
Jelasnya, melalui pembayaran zakat yang diberikan kepada PPZ-MAIWP, 50 peratus daripadanya dikembalikan kepada FGV untuk diagihkan sendiri kepada asnaf di seluruh negara.
“Langkah ini menunjukkan satu amalan baik yang wajar dicontohi oleh syarikat korporat lain terutamanya yang mempunyai dana besar. Usaha ini bukan sahaja dapat membantu golongan asnaf, tetapi juga meningkatkan keberkesanan agihan zakat.
“Kami berharap, lebih banyak syarikat korporat lain akan mencontohi FGV bagi memastikan lebih ramai asnaf dapat disantuni dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh,” katanya. – UTUSAN