PONTIAN: Seramai 350 orang menyertai Kayuhan Basikal Santai yang diadakan sempena Festival D’Kukup 2.0 (FDK 2.0 ) sejauh 25 kilometer bermula dari Taman Negara Johor Tanjung Piai, (TNJTP) di sini.
Acara pada hari kedua FDK 2.0 itu turut menarik peserta dari Singapura dan Indonesia yang mengetahui program tersebut menerusi hebahan dalam media sosial sejak sebulan lalu.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Malakoff Corporation, Kedai Basikal BAAM, disokong oleh Pontian Cycling Team, Pekan Nanas Biker , Biker Com Pontian Speeda Lipat Pontian dan Team Riders Santai.
Menurut Ketua Hal Ehwal Korporat Malakoff Corporation, Md. Yuha Ismail, acara itu juga merupakan program tanggungjawab sosial korporat pihaknya bagi mendekati penduduk Tanjung Piai memandangkan pihaknya mempunyai loji memproses arang batu di Kawasan Perindustrian Tanjung Bin.
Program tersebut merupakan antara aktiviti FDK 2.0 yang memilih TNJTP sebagai lokasi sambutan dengan tema Penghujung Benua Destinasiku’ bagi menarik lebih ramai pengunjung ke daerah ini.
FDK 2.0 yang berlangsung selama tiga hari sejak kelmarin dianjurkan secara bersama oleh Pusat Khidmat DUN Kukup, Perbadanan Taman Negara (PTNJ), Pejabat Daerah Pontian serta agensi dan jabatan peringkat daerah serta syarikat korporat.
Kayuhan santai sejauh 25 kilometer tersebut mengelilingi kawasan perkampungan di Serkat dan sekitarnya, sekali gus memperkenalkan Tanjung Piai sebagai antara lokasi berbasikal yang menarik di kawasan Pontian.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan berkata, kayuhan santai itu disertai oleh pelbagai pihak sama ada kelab berbasikal, keluarga, pelajar sekolah dan penduduk kampung.