KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Berhad (Bank Muamalat) menyasarkan pengambilan 1,100 usahawan mikro, asnaf dan B40 menyertai iTEKAD pada tahun hadapan.
Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Zaharuddin Alias berkata, jumlah itu membolehkan Bank Muamalat menyediakan akses kepada pembiayaan mikro, pembangunan kapasiti dan modal permulaan.
“Ketika ini, pihak bank telah mengagihkan lebih RM32 juta dalam bentuk pembiayaan mikro. Kami juga memohon geran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan mereka (usahawan) dapat memulakan dan meneruskan kesinambungan perniagaan serta menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan golongan ini.
“Selain akses pembiayaan, usahawan mikro ini juga diberi latihan yang berstruktur daripada pihak konsultan latihan bagi meningkatkan kemahiran serta bimbingan untuk meningkatkan kepintaran dalam perniagaan dan menjana pendapatan yang lebih tinggi secara mampan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya baru-baru ini.
Jelas Zaharuddin, pihak bank turut bekerjasama dengan beberapa Kerajaan Negeri, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Agama Islam Negeri, koperasi, serta universiti bagi membantu usahawan yang terlibat.
“Melalui iTekad Bank Muamalat pihak kami akan mengagihkan sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 pembiayaan kepada usahawan yang terpilih bagi mengembangkan perniagaan mereka.
“Kita ingin melihat pada satu hari nanti usahawan asnaf yang kami bimbing akan dapat keluar daripada kepompong asnaf serta dapat mengeluarkan zakat. Anjakan ini diharap dapat mendorong usahawan asnaf lain dalam memajukan perniagaan serta menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain selepas ini,” katanya.
Zaharuddin menambah, program iTekad Bank Muamalat menerima sambutan positif sejak ia dimulakan pada 2021.
“Sehingga kini, majoriti peserta iTekad Bank Muamalat adalah dari sektor makanan dan minuman diikuti dengan perkhidmatan dan sektor kecantikan contohnya spa muslimah,” katanya.
Jelas beliau, pihak iTekad Bank Muamalat turut memastikan peserta atau usahawan yang terpilih boleh menguruskan pengurusan kewangan dengan baik agar perniagaan terus berkembang.
“Kami menyediakan kursus keusahawanan selama enam bulan kepada peserta terlibat. Ini membolehkan mereka memahami aspek perniagaan mikro dan dapat mengurus perbelanjaan kewangan dengan baik dan cekap,” katanya.
“Berdasarkan maklum balas daripada peserta, program ini banyak membantu mereka untuk memahami literasi kewangan dan selok-belok perniagaan dari sudut pengurusan aliran tunai, pemasaran, dan sebagainya. Mereka juga berasa seronok dapat berkenalan dengan usahawan-usahawan lain semasa kursus sekaligus dapat meluaskan jaringan sesama mereka,” katanya.
Program iTekad Bank Muamalat merangkumi tiga sektor utama iaitu sektor perkhidmatan, sektor makanan dan minuman (F&B) serta sektor pertanian.
Selain itu, jelasnya, peserta usahawan iTekad Bank Muamalat turut menerima nilai tambah melalui tajaan program pensijilan halal kepada peserta yang berminat.
Program ini akan membantu usahawan terutamanya sektor F&B mendapatkan pensijilan halal bagi produk atau perkhidmatan mereka. Dengan adanya perakuan halal nanti, mereka dapat membawa produk mereka ke pasaran yang lebih luas malah ke peringkat global.
Pada tahun ini, iTekad Bank Muamalat telah membantu empat orang usahawan mikro mendapatkan pensijilan halal iaitu usahawan produk minuman berasaskan bunga roselle dari Klang,
Selangor, minuman berasaskan durian belanda dari Puchong, Selangor, rempah ratus dari Perlis serta sebuah restoran di Sabah.
“Produk yang diiktiraf halal tersebut juga telah menerima sambutan yang baik.
“Selain itu, iTekad Bank Muamalat turut membantu mempromosikan produk mereka dan membawa usahawan terlibat mengikuti siri jelajah serta memasarkan produk mereka di sosial media,” katanya.
Pada tahun hadapan, pihaknya turut menyasarkan 18 pensijilan halal kepada usahawan iTekad Bank Muamalat.
Melangkah ke hadapan, iTekad Bank Muamalat berhasrat untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk membawa usahawan iTekad ini untuk menyertai siri lawatan dan pameran produk barangan Malaysia ke luar negara pada tahun hadapan. – UTUSAN