PETALING JAYA: Sebanyak RM1.56 bilion diperuntukkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk Bajet 2025, peningkatan 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, daripada anggaran perbelanjaan keseluruhan itu, sebanyak RM1.34 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan agihan manakala perbelanjaan mengurus (RM246 juta) dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM87 juta.
Katanya, dengan dana tersebut, MAIWP akan menyalurkan bantuan untuk pelbagai skim zakat, program pendidikan, pembangunan hartanah serta pengukuhan teknologi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Dalam Bajet 2025, sebanyak RM1.34 bilion akan diperuntukkan bagi agihan zakat demi pemerkasaan asnaf dan pembangunan modal insan.
“Peruntukan ini akan disalurkan melalui pelbagai skim bantuan kewangan, makanan, perubatan dan perlindungan selain pembangunan asnaf seperti keusahawanan, pendidikan dan bantuan kepada institusi pendidikan MAIWP,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman Bajet 2025: Melestari Ummah Wilayah Sejahtera di sini hari ini.
Tambah Mohd. Na’im, sebagai langkah mengurangkan beban kos sara hidup, MAIWP turut mengumumkan insentif khas bagi tahun ini, iaitu bantuan kewangan RM500 seorang kepada 33,000 penerima dengan melibatkan jumlah RM16.5 juta.
Dalam pada itu katanya, Bajet 2025 MAIWP itu bersandarkan kepada dasar yang telah ditetapkan kerajaan menerusi Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (AL-Falah) 2023-2027.
“Terdapat lima teras Al-Falah iaitu Pentadbiran Islam Mampan; Kesejahteraan Insan; Kemuliaan Syariah; Kepimpinan Berdaya CIpta da Kehormatan Institusi Islam,” jelasnya.
Bagi mencapai sasaran yang ditetapkan dalam pelan tersebut, Mohd. Na’im berkata, MAIWP memberi fokus intipati bajet kepada tujuh fokus utama iaitu Pemerkasaan dan Kesejahteraan Asnaf; Pemerkasaan Modal Insan melalui Pendidikan; Pembangunan Digital MAIWP IR4.0 dan Peningkatan Kompetensi dan Kemudahan Pegawai.
“Kita juga memberi fokus kepada Peningkatan Promosi dan Penganjuran Program Berimpak Tinggi; Pengukuhan Syarikat Berdaya Saing dan Pemakaian Piawaian Perakaunan Islam, Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW).
Untuk tahun 2025, Mohd. Na’im berkata, MAIWP menganggarkan pendapatan berjumlah RM1.55 bilion dengan peningkatan sebanyak 12 peratus mampu diperoleh berbanding RM1.39 bilion tahun ini.
Malah katanya, MAIWP menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM1.2 bilion melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP dengan selebihnya merupakan anggaran pendapatan daripada sumber lain seperti sewaan, yuran pengajian serta pelaburan dan peruntukan geran daripada Kementerian Kewangan.
“MAIWP akan memberi komitmen sepenuhnya dalam aspek pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf serta pembangunan ummah di Wilayah-Wilayah Persekutuan,”jelasnya.
Berhubung prestasi MAIWP tahun ini, Mohd. Na’im berkata, beberapa kejayaan telah dicatatkan sebagai sebahagian usaha memperkasakan pengurusan zakat dan kebajikan asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan.
“MAIWP mencatatkan perbelanjaan agihan sebanyak RM906.87 juta dengan peningkatan sebanyak 20 peratus atau bersamaan RM152.17 juta berbanding tempoh sama pada tahun 2023 iaitu RM754.70 juta.
“Jumlah perbelanjaan ini melebihi kutipan zakat sebanyak 22 peratus bersamaan RM 164.9 juta berbanding RM741.97 juta kutipan yang direkodkan sehingga Oktober lalu,”jelasnya.
Menurut Mohd. Na’im, ini jelas menunjukkan komitmen MAIWP dalam memastikan perbelanjaan zakat diagihkan secara menyeluruh.
“MAIWP juga telah memperkenalkan beberapa skim bantuan baharu untuk aspek pendidikan antaranya Bantuan Komputer Riba Kepada Mahasiswa; Bantuan Biasiswa Sekolah dan Bantuan Penyelesaian Pembiayaan Pinjaman Pendidikan.
“Melalui skim ini, hampir 1,500 pelajar baik di peringkat sekolah mahupun isntitusi pengajian tinggi menerima manfaat yang dapat membantu meringankan beban mereka dalam meneruskan pembelajaran,”ujarnya.
Di samping itu kata beliau, MAIWP berjaya mengekalkan Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran selama 18 tahun berturut-turut.
Ini membuktikan agensi tersebut sentiasa komited dalam mengamalkan pengurusan kewangan yang cekap dan telus serta tatakelola dalam menguruskan zakat di Wilayah Persekutuan. – UTUSAN