Ahmad Zahid: Dua tahun transformasi Desa MADANI

Ahmad Zahid: Dua tahun transformasi Desa MADANI

Mesyuarat Kabinet pertama Kerajaan Perpaduan pada 5 Disember 2022 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Selain tugas-tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan sebanyak 26 jawatankuasa di peringkat kebangsaan.

“Bayangkan 26 jawatankuasa. Saya sendiri sukar hendak faham bagaimana beliau mampu melakukannya,” kata seorang pegawai kanan KKDW mengenai jadual ketat Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, itu tidak termasuk menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Presiden UMNO dan menghadiri pelbagai acara rasmi sama ada di dalam atau di luar negara.

“Semua perkara tersebut merupakan rutin beliau sejak dua tahun menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan situasi tersebut seperti tiada hentinya. Dua tahun yang penuh dengan aktiviti,” kata pegawai berkenaan.

Esok genap dua tahun Ahmad Zahid menerajui KKDW, kementerian yang yang diberikan mandat dalam Kerajaan Perpaduan untuk mengurang jurang sosioekonomi antara penduduk bandar dan desa.

Kemerdekaan dan pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam tempoh lima dekad ini telah mengurangkan jurang ekonomi. Berdasarkan data yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Anggaran Penduduk Semasa Malaysia, kadar pertumbuhan penduduk bandar atau urbanisasi telah meningkat daripada 28.4% pada tahun 1970 kepada 75.7% pada tahun 2023.

Dalam tempoh lima dekad, penduduk bandar telah melonjak daripada tiga juta orang kepada 25.3 juta orang pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, jumlah penduduk desa kekal besar dengan jumlah 8.1 juta orang.

Lebih lapan juta rakyat memerlukan pembelaan berikutan jurang sosioekonomi dan pendapatan yang masih besar antara bandar dan desa.

Pembangunan kawasan desa yang komprehensif bukan sahaja akan memastikan jurang itu dikecilkan tetapi membolehkan kawasan desa dan luar bandar menjadi tempat untuk golongan muda hidup lebih selesa tanpa perlu berhijrah ke bandar-bandar besar.

Kos sara hidup tinggi dan tekanan sosial di bandar menjadikan luar bandar alternatif terbaik untuk golongan muda jika dibangunkan dengan infrastruktur dan hala tuju betul. Untuk itu berlaku, perlu ada transformasi menyeluruh yang meletakkan desa dan bandar setaraf dalam kebanyakan segi.

Semua ini menjadi tumpuan Ahmad Zahid sejak beliau mula menggalas tugas di kementerian yang bertanggungjawab membawa perubahan kepada kehidupan rakyat di desa dan golongan sasar berjumlah lebih lapan juta orang.

Dalam salah satu ucapannya, Ahmad Zahid berkata perbincangan mengenai luar bandar sering dikaitkan dengan kemiskinan.

“Kemiskinan berlaku di mana sahaja, sama ada di negara maju, atau di negara membangun, di bandar atau di luar bandar. Kemiskinan mewujudkan jurang kualiti hidup antara penduduk miskin dan kaya, sekali gus melebarkan jurang ketidaksamarataan dalam kalangan masyarakat.

“Oleh kerana itulah, saya gagaskan Aspirasi Desa MADANI untuk memastikan kelangsungan misi besar KKDW dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan,” katanya ketika meletakkan asas hala tuju kementerian diterajuinya.

 

 

Meletakkan KKDW pada landasan MADANI

Usaha pertama Ahmad Zahid dalam merealisasikan kerangka MADANI untuk masyarakat luar bandar ialah menentukan hala tuju KKDW sebagai kementerian peneraju pembangunan luar bandar, termasuk semua agensi dan anak-anak syarikat di bawahnya.

Timbalan Perdana Menteri memulakan transformasi KKDW pada tahun 2022 dengan menggagaskan “Aspirasi Desa MADANI” yang sekali gus memastikan kelangsungan misi besar KKDW dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar secara menyeluruh, inklusif dan berkesan.

Dalam acara permukiman KKDW tahun ini, Ahmad Zahid berterusan mengingatkan kakitangan KKDW mengenai tugas berat yang dipikul kementerian itu dan kesannya kepada negara.

“Sebagai pelaksana, kita perlu miliki jiwa dan roh yang ampuh untuk membangunkan warga desa. Jadikan diri kita sebahagian daripada 8.1 juta masyarakat desa.

“Mungkin bagi kita jalan, elektrik dan air itu adalah kemudahan biasa tetapi bagi mereka ini adalah rahmat kehidupan. Apa yang biasa bagi kita, mungkin ia nikmat besar buat warga desa. Bersungguh dan berpadulah MENJIWAI PEMBANGUNAN DESA,” katanya ketika Pemukiman Pertengahan Tahun KKDW pada Julai lalu.

Tumpuan KKDW adalah jelas untuk menggunakan semua saluran atau alat tersedia di KKDW dan kementerian lain untuk memperbaiki kualiti hidup dan taraf ekonomi masyarakat luar bandar.

Dalam tempoh 12 bulan pertama transformasi KKDW sebagai agen yang mengubah kehidupan penduduk luar bandar sudah mencatatkan pencapaian yang menggalakkan.

Kementerian telah memperkasakan penghayatan Islam dan ilmu Al-Quran kepada kanak-kanak melalui Program Pra Tahfiz KEMAS yang mensasarkan lebih 100,000 huffaz cilik menjelang tahun 2026.

Usaha digerakkan untuk memperkasa industri halal secara lebih jitu melalui program anjuran MARA ‘Gate to Global’ dan juga memastikan keterjaminan makanan dengan pembangunan estet padi oleh FELCRA yang juga agensi di bawah KKDW.

Sebagai Kementerian ketiga paling besar menerima peruntukan pembangunan, KKDW telah mencapai sasaran KPI dengan menyiapkan 2,000 projek akses perhubungan luar bandar berbanding sasaran asal 1,000 projek dan menyiapkan 388 projek Ameniti Sosial seperti balai raya, masjid, surau, tandas awam berbanding 200 projek seperti sasaran asal .

Malah KKDW meraih tempat ketiga di antara kesemua kementerian bagi prestasi perbelanjaan pembangunan dan berada di hadapan Purata Nasional yang ditetapkan iaitu 90.29% selain mendapat tempat kedua bagi kategori Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik Peruntukan di atas RM1 bilion dalam Anugerah Pembangunan Negara Tahun 2023, oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

 

Melonjakkan kecemerlangan Desa MADANI

Ahmad Zahid tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian-pencapaian yang lepas. Pada tahun ini, beliau sekali lagi meletakkan sasaran lebih besar untuk warga kerja KKDW dengan enam fokus utama – ekonomi dan keusahawanan, pengukuhan tadbir urus dan kemampanan agensi serta anak syarikat, pendidikan, infrastruktur dan teknologi, kepimpinan desa, serta tatakelola dan sistem penyampaian.

Malah, beliau merencana 62 program yang menjadi hala tuju KKDW pada tahun ini. Tidak cukup dengan program yang dirancang, beliau telah memperkenalkan empat imperatif baharu yang melonjakkan peranan KKDW.

Empat teras utama itu berpaksikan akronim KKDW – (K) Kemahiran dan pengetahuan, (K) Keberkesanan dan kecekapan, (D) Data dan Digital dan (W) Wow-Factor.

Bagi merealisasikan visi itu, KKDW diperuntukkan RM11.55 bilion pada tahun ini membabitkan RM4.12 bilion peruntukan mengurus dan RM7.44 bilion untuk pembangunan, iaitu RM513.8 juta lebih tinggi berbanding belanjawan 2023.

Malah ia meletakkan KKDW di tangga ketiga selepas Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam peruntukan pembangunan. Dengan peruntukan besar itu, KKDW berada dalam landasan terbaik untuk melaksanakan 1,754 projek termasuk 480 projek baharu sepanjang tahun kedua kerajaan MADANI.

 

TVET dan Halal to Global sebagai pemacu perubahan 

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sinonim dan dekat di hati Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha merealisasikan aspirasi beliau untuk mentransformasi Malaysia dan seterusnya memberi harapan baru kepada anak muda. Secara konsisten, beliau gigih memberi suntikan baharu bagi menangkis persepsi TVET yang dianggap sebagai pilihan kedua. Komitmen dan kesungguhan beliau kini membuahkan hasil apabila TVET sering menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan rakyat sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai pilihan utama kerjaya.

Di bawah kepimpinan beliau sejak tahun 2023, pelbagai anjakan dan inisiatif baharu telah diperkenalkan untuk mewujudkan ekosistem TVET yang lebih segar dan pragmatik.

Cetusan idea beliau telah membawa kepada pelancaran Dasar TVET Negara 2030 yang bermatlamat membawa Malaysia ke arah negara maju berpaksikan modal insan berkemahiran melalui pelaksanaan program TVET yang responsif, fleksibel dan inklusif.

Selanjutnya, tumpuan turut diberikan kepada penjajaran program TVET agar ia selari dengan keperluan semasa ekonomi seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Penawaran dan pelaksanaan program TVET ditambah baik secara berterusan dengan memberi fokus kepada sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (high-growth high value, HGHV) termasuk industri berasaskan peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital, industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, pertanian dan industri asas tani serta industri nadir bumi.

Suntikan sinergi pihak industri dalam memacu pelaksanaan program TVET turut menjadi tumpuan beliau melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama dengan pelbagai pihak swasta secara aktif. Selain itu, ekosistem TVET turut dimantapkan dengan pembangunan saluran tunggal UP_TVET bagi tujuan permonan kemasukan program TVET untuk membuka ruang seluasnya kepada kumpulan sasar bagi mengikuti program TVET.

Pembangunan Dasar TVET Negara 2030 menjadi satu tindakan komprehensif yang mengangkat bidang TVET sebagai pilihan yang menjanjikan pendapatan lumayan atau gaji premium.

Halal to Global (H2G) juga adalah harapan Ahmad Zahid yang mahu melihat Malaysia menjadi hub utama industri halal dunia melalui pembangunan produk halal global yang diterajui oleh usahawan di desa.

Dengan pasaran halal global bernilai AS$3 trilion, penembusan produk halal desa ke peringkat dunia akan mengangkat usahawan desa kepada kehidupan yang lebih baik. Pengiktirafan logo Halal Malaysia di lebih 88 negara meletakkan Malaysia ke hadapan di peringkat global.

Malah, Malaysia berada di tangga teratas berdasarkan Global Islamic Economy Indicator untuk 10 tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan keupayaaan negara dalam menerajui sektor halal dunia.

Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) Dubai 2024 turut mencatatkan kejayaan besar apabila mencatatkan nilai jualan mencecah RM2.2 bilion.
Kejayaan ini menyerlahkan peranan strategik Malaysia dalam mempromosikan perdagangan halal dan keberkesanan inisiatif diplomasi halalnya.

Dalam tempoh dua tahun sejak menerajui KKDW, Ahmad Zahid telah membawa perubahan besar kepada Kementerian dan agensinya dalam mencapai sasaran bukan sebagai pusat kos, sebaliknya menjadi pusat keuntungan.

Ahmad Zahid sentiasa menegaskan bahawa matlamat utama KKDW adalah untuk mengangkat warga desa agar tidak terpinggir, diberikan peluang dalam aktiviti ekonomi, menyediakan peluang pekerjaan, memberikan akses pendidikan yang baik dan berkualiti seterusnya mewujudkan sebuah masyarakat desa yang mempunyai suara dan peranan untuk dilaksanakan,

“Success is having consistent work habits. Kita bukan nak bangkit daripada kegagalan, sebaliknya kita ingin mengekalkan kejayaan. Kerap saya tegaskan – ‘untuk berjaya itu sukar, untuk mempertahankan kejayaan, ianya jauh lebih sukar’,” kata Ahmad Zahid.

Dua tahun kerajaan MADANI telah menunjukkan masa depan yang lebih cemerlang dalam mengangkat kehidupan masyarakat desa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN