PUTRAJAYA: AEON BiG (M) Sdn. Bhd & AEON Co. (M) Berhad menyokong inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) menerusi pemerkasaan produk tempatan dalam industri peruncitan tempatan.
Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Adiratno Che Ani berkata, pencapaian AEONCo. (M) Berhad pada tahun 2021 berupaya merekodkan nilai jualan berjumlah RM6.3 juta dengan melibatkan 561 jumlah bilangan unit simpanan stok (SKU).
Katanya, pada tahun 2022 AEON BiG (M) Sdn. Bhd. pula mencatatkan nilai jualan RM1.07 juta bagi 356 SKU.
“Hasil jualan dan SKU melalui inisiatif KBBM menunjukkan AEON amat komited dalam membantu produk para usahawan tempatan untuk terus dipasarkan di rangkaian pasaraya besar ini,” katanya ketika melancarkan KBBM anjuran AEON BiG (M) Sdn. Bhd & AEON Co. (M) Berhad. di AEON BiG Alamanda, Putrajaya, di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif AEON BiG, Takanori Komatsu berkata, dengan menyokong perniagaan dan produk tempatan, mereka dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi tempatan.
“Ia sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.
“Kempen ini adalah seruan untuk berbangga dengan produk buatan Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, lebih RM5.5 bilion berjaya direkodkan melalui pelaksanaan KBBM menerusi inisiatif pemerkasaan produk tempatan di dalam industri peruncitan tempatan.
Adiratno berkata, usaha itu dijayakan melalui rakan-rakan strategik kementerian sepanjang tahun lalu.
Menurut beliau, prestasi ini menunjukkan peningkatan sebanyak 103.2 peratus berbanding tahun 2022.
“Ia adalah satu perkembangan positif dan saya yakin nilai jualan ini pasti akan meningkat dengan adanya penglibatan semua pihak dalam pelaksanaan kempen ini.
“Saya ingin menyeru kepada para rakan strategik KPDN supaya sentiasa bersama-sama dengan pihak kementerian untuk membudayakan KBBM secara sukarela di premis masing-masing,” katanya.
Adiratno berkata, pihak rakan strategik boleh mengutamakan penembusan pasaran produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan ke pasaran tempatan.
Katanya, langkah itu dapat dilakukan dengan mempergiatkan promosi KBBM di platform fizikal seperti meletakkan produk Malaysia di rak-rak eksklusif, pemberian baucar bagi setiap pembelian produk tempatan dan memanfaatkan platform dalam talian seperti (e-dagang).
“Ini bagi memperkenalkan keistimewaan produk Malaysia kepada rakyat Malaysia dan masyarakat luar negara,” katanya.-UTUSAN