PETALING JAYA: Malaysia Flying Golfers Association (MFGA) terus mengorak langkah dalam menjalin perhubungan antara pemain industri pelancongan domestik dan antarabangsa.
Setelah lebih 40 tahun penubuhannya, MFGA sehingga kini masih aktif membina jalinan persahabatan dengan negara-negara luar melalui platform golf dengan menganjurkan beberapa siri kejohanan kelayakan dan grand final.
Sepanjang kejohanan itu, MFGA berjaya menarik penyertaan tujuh negara luar iaitu Lebanon, Korea, Taiwan, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Singapura.
Selepas menganjurkannya di Johor dan Melaka, grand final kejohanan golf pada tahun ini bakal berlangsung di Kelab Golf Kota Seriemas pada 8 Disember ini.
Wakil-wakil daripada tujuh negara luar itu telah pun mengesahkan penyertaan mereka di mana ia bakal memberi saingan kepada pemain-pemain golf tempatan selain mengeratkan hubungan sesama pemain industri pelancongan.
Presiden MFGA, Zulkifli Mohd. Razali berkata, pertambahan penyertaan negara-negara luar pada kejohanan golf anjuran MFGA pada tahun ini menyuntik semangat kepada MFGA untuk terus menganjurkan kejohanan seperti itu.
“Tahun lalu kita hanya lima negara seperti Singapura, Thailand, Taiwan, Korea dan Vietnam. Tetapi tahun ini ada tujuh negara yang menyertainya.
“Walaupun jumlah pemainnya tidak seramai tahun-tahun sebelumnya, namun yang penting bagi kita ialah penyertaan mereka kerana ia membuka ruang kepada kita untuk menjalinkan perhubungan,” ujarnya.
Kejohanan grand final kali ini disertai seramai 132 pemain terdiri daripada ahli-ahli MFGA, ahli-ahli gabungan MFGA dari negara luar, pemain-pemain golf tempatan (jemputan) dan penaja kejohanan.
Banyak hadiah menanti para pemenang. Selain itu, pihak MFGA juga turut menyediakan hadiah cabutan bertuah (grand lucky draw) kepada pemain paling bertuah berupa tiket penerbangan tajaan AirAsia, televisyen 55 inci dan 45 inci, satu unit penghawa dingin dan satu unit beg golf Majesty.
Hadiah-hadiah seperti dua Set golf, dua unit driver, satu unit penghawa dingin, satu unit beg golf Majesty, pakej golf Jakarta dan pakej golf Medan turut ditawarkan kepada pemain yang berjaya melakukan pukulan selubang (Hole In One) pada setiap lubang par 3 yang ditentukan pihak penganjur kejohanan. – UTUSAN