PUCHONG: Projek kediaman moden, The Wyn Residences di Puchong, yang dilancarkan pada Disember 2023, kini mendapat sambutan hangat apabila lebih 40 peratus daripada unit-unitnya telah terjual.
Pengarah Urusan Land & General Bhd (L&G), Low Gay Teck berkata, pembangunan itu dibangunkan sebagai Transit Oriented Development (TOD) menampilkan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM630 juta.
“The Wyn Residences berada di lokasi strategik yang menawarkan kemudahan akses kepada pengangkutan awam serta pelbagai pusat komersial.
“Projek ini juga menyasarkan golongan profesional muda, keluarga, dan pelabur yang mencari kediaman moden dengan akses mudah ke pusat perniagaan dan hiburan di sekitar kawasan Lembah Klang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Jelas beliau, The Wyn Residences menawarkan dua unit perumahan yang bersaiz 700 kaki persegi dan 850 kaki persegi.
“Harga permulaan bagi unit kediaman ini adalah sekitar RM460,000 untuk unit 700 kaki persegi dengan dua bilik tidur dan dua bilik air.
“Bagi unit 850 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air pula berharga sekitar RM590,000.
“Kedua-dua jenis unit ini disediakan dengan perabot dan kelengkapan elektronik yang diperlukan,” katanya.
Gay Teck berkata, konsep rekaan The Wyn Residences diinspirasikan daripada lima elemen alam iaitu api, tanah, logam, air, dan kayu.
“Konsep ini diterapkan ke dalam landskap untuk mencipta persekitaran yang harmoni, memperkuatkan keharmonian antara pembangunan moden dan elemen semula jadi.
“Reka bentuk kontemporari serta ruang balkoni yang menawarkan pemandangan terbuka turut menjadi tarikan utama kepada golongan urban yang menghargai gaya hidup moden,” katanya.
Dari segi kemudahan, beliau berkata, The Wyn Residences dibahagikan kepada tiga zon utama iaitu Zon Aktif, Zon Semi Aktif dan Zon Pasif.
“Zon Akrif menyediakan kemudahan seperti gim luar, gelanggang serbaguna untuk sukan seperti bola keranjang dan futsal, trek jogging sejauh 363 meter serta dinding panjat manakala Zon Semi Aktif pula merangkumi kemudahan seperti jacuzzi, kolam renang sepanjang 50 meter, dek kolam, dan pavilion.
“Bagi Zon Pasif pula menawarkan kawasan refleksologi, taman herba dan ruang sosial yang memberi keselesaan untuk penghuni berinteraksi dalam suasana santai.
“Di samping itu, pembangunan ini turut menyediakan kemudahan tambahan seperti ruang kerja bersama, tempat e-hailing dan kedai serbaneka yang memudahkan penghuni menjalankan urusan harian tanpa perlu memandu.
“Dengan jarak dekat ke LRT Puchong Jaya, penghuni The Wyn Residences menikmati kemudahan mobiliti yang menjimatkan masa untuk ke tempat kerja dan lokasi sosial,” katanya.
Tambahnya, pembinaan The Wyn Residences kini sedang berjalan lancar, dengan kemajuan lebih awal daripada jadual.
“Projek ini sudah mencapai tahap tingkat sembilan sejak Januari lalu dan kami menjangkakan ia akan siap sepenuhnya pada suku ketiga 2027,” katanya. – UTUSAN