RKAT Menara Sri Pulai kini berwajah baharu

RKAT Menara Sri Pulai kini berwajah baharu

NUR Izzaty Md. Rodzi membuka kabinet dapur yang dipasang ketika di Rumah Keluarga TLDM Menara Sri Pulai, di Kuala Lumpur. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 keluarga yang menghuni Rumah Keluarga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Menara Sri Pulai di sini kini boleh menghela nafas lega apabila tidak lagi berdepan masalah paip bocor, litar pintas, tekanan air rendah dan kotor yang kerap kali berlaku ketika menduduki unit kediaman sebelumnya.

Hal ini disebabkan sebahagian besar penghuni Menara Sri Pulai sebelum itu menduduki Rumah Keluarga TLDM di Menara Sri Tanjung yang sudah uzur dengan pelbagai masalah dilaporkan termasuklah isu resapan air di dinding sehingga menyebabkan unit kediaman ditakungi air setiap kali hujan.

Menceritakan pengalamannya menduduki Menara Sri Tanjung selama lebih lima tahun Anggota KD SRI GOMBAK, Laskar Kanan Zamanil Akmal Basahrudin berkata, tiga masalah utama sentiasa dihadapi keluarga iaitu resapan air dalam dinding, tekanan air rendah yang menyebabkan air kotor dan isu pendawaian.

ZAMANIL Akmal Basahrudin dan Nur Izzaty Md. Rodzi ketika di Rumah Keluarga TLDM Menara Sri Pulai di Taman Setiawangsa, di Kuala Lumpur.

Katanya, isu tersebut kerap kali mendatangkan ketidakselesaan kerana setiap kali hujan, unit kediamannya akan ditakungi air dan pada masa sama terpaksa bergelap akibat litar pintas.

“Sistem perpaipan di unit kediaman lama agak uzur kerana kerap berlaku kebocoran dan tekanan air rendah yang menyebabkan airnya kotor. Ini sangat menyusahkan urusan isteri dan keluarga untuk melakukan kerja rumah.

“Bagi sistem pendawaiannya pula, kadang-kadang berlaku litar pintas, apabila buka lampu tiba-tiba satu rumah bergelap, lebih merunsingkan, setiap kali hujan, automatik seluruh blok turut bergelap.

“Jika hujan terlalu lebat dan angin kuat, air akan meresap ke dalam dinding dan mengalir ke dalam rumah menyebabkan banyak kerosakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau amat bersyukur selepas terpilih untuk berpindah ke Menara Sri Pulai yang sudah dinaiktaraf kerana tidak lagi berdepan masalah seperti dilalui sebelum ini.

“Selama sebulan menduduki unit ini, saya rasa sangat selesa tiada lagi masalah berbangkit, ia memberikan ketenangan kepada saya untuk menjalankan tugas hakiki sebagai seorang anggota kerana sudah tidak perlu menghabiskan masa menunggu kontraktor membaiki kerosakan yang mengganggu tugasan.

“Saya sangat berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM kerana menjaga kebajikan anggota dan pada masa sama berharap supaya penambahbaikan ini dapat diteruskan bagi memberikan keselesaan kepada seluruh warga pertahanan,” katanya.

Menara Sri Pulai yang dibina pada 1980-an kini wajah baru selepas menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM14 juta sejak tahun 2022 daripada MINDEF untuk dinaiktaraf dan kerja pembaikan secara berperingkat.

Bukan itu saja, kesemua 120 unit kediaman di Menara Sri Pulai turut disediakan perabot baharu serba lengkap seperti sofa, meja televisyen, katil, kabinet dapur, meja makan, rak kasut, meja solek, almari pakaian dan banyak lagi bagi menambah keselesaan kepada penghuninya.

Isteri Zamanil, yang juga anggota KD SRI GOMBAK, Laskar Kanan Nur Izzaty Md. Rodzi berkata, perbezaan unit kediaman baharu yang didudukinya memberi keselesaan kepadanya dan keluarga kerana dilengkapi perabot baharu serba lengkap tanpa sebarang masalah seperti dihadapinya ketika menghuni unit kediaman lama.

Katanya, sebagai suri rumah berkerjaya, kelengkapan dapur yang diberikan banyak membantu memudahkannya untuk menguruskan keluarga seperti memasak, mengemas dan sebagainya.

“Rumah ini cukup selesa dengan kelengkapan perabot, sistem perpaipan dan elektrik yang diperbaharui sangat menyenangkan setiap kali pulang ke rumah.

“Kami sekeluarga sangat menghargai inisiatif MINDEF, ATM dan TLDM dan berharap usaha sebegini diteruskan lagi supaya dapat menjamin kebajikan seluruh warga ATM,” katanya.

Seorang lagi penghuni, Bintara Muda Mohd. Firdaus Mohamad berkata, sepanjang tiga tahun menduduki unit kediaman di Menara Sri Tanjung banyak masalah timbul disebabkan sistem perpaipan, elektrik serta keadaan rumah yang sudah uzur.

MOHD. Firdaus Mohamad dan isteri, Nur Shalesha Suhaimi ketika di Rumah Keluarga TLDM Menara Sri Pulai di Taman Setiawangsa, di Kuala Lumpur.

Katanya, banyak masalah berlaku seperti paip bocor, litar pintas, kerosakan di bilik air, bilik tidur, dapur dan beberapa bahagian lain.

“Pernah sekali ketika berada di unit kediaman lama, plug point tiba-tiba terbakar akibat litar pintas. Keadaan sebegini membahayakan khususnya kepada isteri dan anak-anak.

“Tetapi apabila dipilih berpindah ke Menara Sri Pulai ini, keadaannya sangat selesa kerana lebih luas, perabotnya serba lengkap dan baharu malah banyak kemudahan awam berdekatan seperti dobi, klinik serta lain-lain.

“Sejak berpindah ke unit ini, saya lebih tenang untuk keluar bekerja tanpa terlalu merisaukan keselamatan isteri dan anak-anak,” katanya.

Bagi isteri Mohd. Firdaus, Nur Shalesha Suhaimi, 40, yang juga suri rumah tangga sepenuh masa, tugasan hariannya kini lebih lancar apabila keadaan unit diberikan jauh lebih baik berbanding yang didudukinya sebelum ini.

Dia yang sangat gemar memasak di rumah berkata, kini aktiviti kegemarannya dapat dijalankan dengan tenang tanpa perlu memikirkan masalah paip bocor, tekanan air rendah dan sebagainya khususnya di bahagian dapur.

“Bukan itu saja, melihatkan persekitaran unit kediaman yang diperbaharui ini juga memberikan rasa selamat kepada kami dengan kemudahan dewan serba baharu, taman permainan dan CCTV (kamera litar tertutup) yang dipasang di seluruh blok.

“Sebagai isteri kepada anggota TLDM, saya berharap usaha ini diteruskan dengan peruntukan lebih baik pada masa hadapan kerana ia memberikan keselesan kepada keluarga dan dapat menjaga emosi lebih-lebih lagi ketika suami bertugas di luar kawasan.

“Jadi saya mahu mengucapkan setinggi penghargaan kepada MINDEF, ATM dan TLDM untuk unit kediaman ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Senggaraan KD SRI GOMBAK, Leftenan Komander Ir. Ts. Aizat Amzar Sahar berkata, sebanyak kira-kira RM200,000 diperuntukan untuk kerja pembaikan setiap unit di Menara Sri Pulai dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta.

AIZAT AMZAR SAHAR

Katanya, projek pembaikan berlangsung secara berperingkat selama tiga tahun bermula September 2022 berjalan mengikut masa ditetapkan membabitkan 120 unit kediaman.

“Ia adalah sebahagian daripada peruntukan kerajaan sebanyak RM400 juta yang diberikan kepada Kementerian Pertahanan untuk membaikpulih RKAT di seluruh negara.

“Kini kemajuan kerja pembaikan di Menara Sri Pulai sudah 100 peratus disiapkan hasil kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan TLDM yang hampir setiap bulan memantau perkembangan projek,” katanya.

Beliau berkata, usaha ini dapat meningkatkan keselesaan anggota yang mendiami unit perumahan selain membaikpulih kerosakan dilaporkan sebelum ini.

“Saya berharap pihak kerajaan dapat terus menyalurkan peruntukan demi kesejahteraan warga ATM dalam kerja penyelenggaraan dan pembaikan rumah keluarga pada masa hadapan kerana banyak lagi RKAT yang diduduki anggota TLDM yang perlukan pembaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN