PLKN 3.0 mampu lahirkan pemimpin pelapis berkaliber

PLKN 3.0 mampu lahirkan pemimpin pelapis berkaliber

PROGRAM Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dilaksanakan semula pada awal tahun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada 12 Januari tahun depan dilihat mampu menjadi teras dalam melahirkan generasi muda yang kaya dengan nilai perpaduan, integriti dan insaniah.

Rata-rata ibu bapa dan bekas pelatih PLKN berpandangan program ini wajar diperhebatkan kembali dengan mengambil kira keperluan semasa dengan memberi ruang dan peluang kepada generasi muda mengasah bakat mereka sekali gus melahirkan pelapis kepimpinan negara pada masa hadapan.

Dalam masa sama, mereka juga berpendapat pelaksanaan PLKN 3.0 adalah tepat pada masanya memandangkan generasi muda hari ini terdedah kepada pelbagai pengaruh asing negatif susulan perkembangan teknologi.

Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Faisal Mohamed Fiah berkata, PLKN 3.0 wajar diteruskan kerana memberi pendedahan kepada belia untuk memperkukuhkan jati diri sebelum melangkah ke alam dewasa sebaik sahaja tamat persekolahan.

Katanya, negara memerlukan pemimpin pelapis berkaliber untuk diketengahkan bagi menerajui negara pada masa hadapan.

“Selari dengan perkembangan teknologi ketika ini, belia perlu didedahkan dengan semangat patriotisme serta menghormati budaya pelbagai kaum di negara ini. Pada masa sama ia dapat memastikan penerapan adab dan sahsiah selain memiliki jati diri yang kukuh berdepan apa jua cabaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Faisal berkata, sebagai bapa kepada empat cahaya mata lelaki sudah pasti menyokong penuh jika anak-anaknya menyertai program ini kelak kerana banyak nilai positif yang mereka boleh peroleh menerusi modul yang diketengahkan dalam PLKN 3.0 yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Pegawai Eksekutif Bank, Siti Rosmawati Ismail, 51, berkata, langkah kerajaan untuk mengembalikan semula PLKN 3.0 perlu disambut semua pihak terutama golongan belia kerana platform ini mampu mendidik belia ke arah yang lebih baik dan berintegriti.

Kata ibu lima cahaya mata ini, dia menyokong program itu dilaksanakan bagi mendidik belia agar lebih berdikari dan bertanggungjawab selain membentuk disiplin diri yang tinggi.

“Anak-anak muda ini juga akan lebih berfikiran terbuka kerana dalam program ini mereka didedahkan dengan aktiviti berkumpulan dari pelbagai kaum dan bangsa,” jelasnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Syahidayati Ahmad, 47, berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 dilihat mampu menjadikan belia lebih berjiwa kental selain dapat menilai perbuatan baik dan buruk.

Katanya, dia berharap program yang bakal diadakan tidak lama lagi dapat menekankan keselamatan peserta yang terlibat selain pemantauan berterusan sepanjang program berlangsung.

“Saya yakin program PLKN 3.0 dapat menggalakkan pembangunan karakter dan kemahiran sosial di kalangan generasi muda.

“Ini termasuklah kemahiran interpersonal dan kemahiran berfikir secara kritis,” ujar ibu empat cahaya mata ini.

Dalam perkembangan sama, latihan berbentuk fizikal dilihat perlu diperbanyakkan di dalam PLKN 3.0 bagi membolehkan para peserta membina fizikal dan mental yang kuat selain memupuk semangat patriotisme dan rasa tanggungjawab yang tinggi.

Bekas pelatih PLKN, Dhifi Marzuki, 28, berkata, terlalu banyak pengalaman unik dilaluinya ketika mengikuti latihan PLKN selama tiga bulan di Kem Sungkai, Perak dekat sini pada 2013.

Katanya, sepanjang tempoh itu, program itu telah memupuk 50 peratus semangat kenegaraan dan 50 peratus lagi menerapkan unsur-unsur positif yang menjurus kepada semangat setia kawan supaya tiada perasaan hasad dengki, dendam, curiga-mencurigai dan mementingkan diri sendiri.

“Berdasarkan pengalaman saya, modul latihan yang diterapkan di dalam PLKN ini mempunyai kelebihan tersendiri,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dhifi berkata, menerusi PLKN, para pelatih dapat membangunkan kemahiran insaniah termasuk kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi.

“Mengikuti program PLKN adalah satu peluang berharga yang sukar diperoleh di mana-mana. Di sini, pelatih didedahkan cara menyelesaikan tugasan dalam satu kumpulan berbeza bangsa, agama. Setiap masalah akan diselesaikan secara bersama,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi bekas pelatih, Abdul Maleek Abdullah, 28, turut berpendapat sama iaitu modul latihan PLKN perlu menekankan lagi aktiviti berbentuk kekentalan fizikal dan mental.

Kata Abdul Maleek, aktiviti ini dapat melatih remaja untuk menjadi pemimpin masa depan yang berdisiplin, berani dan berkemampuan.

“PLKN merupakan satu program yang bagus kerana mengajar kita untuk hidup berdikari dan juga menjalani kehidupan dengan penuh disiplin, ” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi bekas pelatih, Hareez Hakimie Hamzah, 34, berkata, program yang sedia ada dalam PLKN seharusnya diteruskan kerana ia adalah pengalaman sekali seumur hidup yang sangat bernilai dan bermakna.’

Dia yang menyertai PLKN pada 2007 di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu, Selangor berkata, program itu sa­ngat bermanfaat dalam membentuk sahsiah golongan muda serta melatih mereka menjadi lasak serta cekal mental dan fizikal.

“Silibus dan modul latihan di dalam PLKN sangat menarik serta bermanfaat. Kalau diberi peluang saya sudah pasti ingin menyertai sekali lagi.

“Saya harap, lebih ramai anak muda dapat menyertai PLKN 3.0 yang akan diadakan tidak lama lagi. Jangan terhadkan diri anda kerana masa tidak mungkin akan berpatah balik,” katanya yang kini bertugas sebagai juruterbang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN