PETALING JAYA: Pasukan Kuantan Jr. A muncul pemenang Kejohanan Piala Azka 2024 Pembangunan Bawah Usia 12 Tahun Tertutup Negeri Terengganu selepas menumpaskan AT Hulu Terengganu A dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan akhir di Padang Astaka, Kuala Berang, Terengganu, kelmarin.
Kemenangan itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200 bersama piala pusingan, pingat dan sijil penyertaan.
Pasukan AT Hulu Terengganu A yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pula menerima ganjaran RM800, pingat dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga bersama disandang oleh Black FC dan Kristal United B, masing-masing menerima RM400 beserta pingat dan sijil penyertaan.
Muhammad Adam Zarif Zakaria dari Kuantan Jr. A muncul sebagai pemain terbaik perlawanan manakala penjaga gol pasukan AT Hulu Terengganu A, Raimi Ziqri Ruzain Mohamad turut mendapat pengiktirafan sebagai penjaga gol terbaik perlawanan akhir.
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Halizan Mat Yusof.
Kira-kira 300 pemain bola sepak di peringkat akar umbi berentap memburu kejuaraan dalam kejohanan anjuran AZKA Group Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) itu.
Objektif utama penganjuran Kejohanan Piala Azka U12 2024 adalah mengasah bakat pemain muda di bawah usia 12 tahun dan mendedahkan mereka dengan suasana pertandingan yang sihat. – UTUSAN