SHAH ALAM: Seramai 16 pegawai dan anggota pasukan No. 5 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara Labuan berjaya mengharumkan nama negara menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di Filipina pada 26 Oktober hingga 2 November lalu.
Dalam misi tersebut, pasukan TUDM diarahkan oleh kerajaan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu Filipina yang dilanda Taufan Tropika juga dikenali sebagai Trami pada bulan lalu yang mengakibatkan bencana banjir besar dan tanah runtuh di beberapa wilayah di negara berkenaan.
Sebanyak sembilan sorti penerbangan dilakukan dalam Misi HADR yang membawa lebih 17 tan metrik bekalan bantuan termasuk bot dengan enjin, kanvas tarpaulin dan bekalan makanan dalam kotak.
Kesemua bekalan tersebut dibawa dari Pangkalan Udara Villamor, Pasay City yang menjadi stesen utama Misi HADR ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol serta Lapangan Terbang Naga di Bandar Pili dengan menggunakan sebuah Helikopter EC 725 AP dari skuadron berkenaan.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan TUDM berkata, misi tersebut membuktikan komitmen Malaysia untuk saling membantu antara satu sama lain antara negara-negara ASEAN yang dalam masa sama dapat mengeratkan lagi hubungan antara serantau.
“Majlis yang TUDM laksanakan hari ini (Khamis lalu) adalah secara khusus untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada perwira serta perajurit negara yang berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa melalui kejayaan cemerlang itu.
“Selain itu, kesemua 16 pegawai dan anggota TUDM yang terlibat juga menerima pengiktirafan daripada Tentera Udara Filipina pada majlis penganugerahan pingat disempurnakan oleh rakan sejawat saya, Leftenan Jeneral Stephen P. Parreño pada 31 Oktober lalu di Villamor,”katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penghargaan Kepada Pegawai dan Anggota yang terlibat dalam Misi HADR di Filipina, pada Khamis lalu.
Jelasnya, kejayaan Misi HADR bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Filipina yang terkesan bencana tetapi turut mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua negara .
“Kejayaan misi itu juga menunjukkan kemampuan TUDM melaksanakan pelbagai misi dan kami berbangga kerana diberi peluang untuk melaksanakannya. TUDM amat berterima kasih kepada kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia kerana memberi kepercayaan penuh,” ujarnya.
Kesemua mereka yang terlibat dalam misi tersebut adalah Mejar Thaddaeus Raphael Aziz @ Sait TUDM yang mengetuai misi dan dibantu Mejar Aslam Hariri Abdul Rashid TUDM, Kapten Muhammad Farid Esmon TUDM, Kapten Muhamad Fikry Haziq Mohamad Razuan TUDM, Flait Sarjan Idrulsufri Matra dan Sarjan Udara Mohd. Shafiq Mohd. Zin.
Selain itu, Kapten Mohammad Syazwan Mohd. Zalani TUDM selaku pegawai kejuruteraan bersama juruteknik pesawat, Flait Sarjan Mior Syarin Ezwan Shahruddin, Laskar Udara Kanan Mohamad Asyraaf Jamil, Koperal Udara Muhammad Hazim Zairuddin, Koperal Udara Amirul Aizat Azlan dan Laskar Udara Kanan Muhammad Naif Muqri Rosli juga menyertai misi tersebut.
Turut terlibat, Pasukan Khas TUDM (PASKAU) iaitu Sarjan Udara Nicholas Lai, Koperal Udara Mohd. Irham Amran, Koperal Udara Rockly John dan Koperal Udara Nicholas Lampu.
Dalam pada itu, Mohd. Asghar Khan memberitahu, Misi HADR bukanlah kali pertama dilaksanakan TUDM, sebaliknya kami berpengalaman melaksanakan misi sama di negara-negara yang ditimpa bencana.
“Antara misi pernah dilaksanakan adalah bantuan kemanusiaan bencana alam Taufan Bopha (Filipina) pada 2012, gempa bumi di Nepal (2015), Tsunami Palu di Indonesia (2018), penghantaran peralatan hospital medan dan petugas ke Cox Bazaar, Bangladesh dan gempa bumi di Turki (2023).
“Pada tahun hadapan, Malaysia akan menjadi Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN. Semua negara ASEAN terlibat dapat terus memperkukuhkan hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana.
“Itu akan memberi peluang kepada Malaysia untuk memimpin inisiatif serantau dalam meningkatkan kesiapsiagaan dan respons terhadap bencana alam,” ujarnya.
Sementara itu, ketua misi atau detasmen komander, Thaddaeus Raphael berkata, pasukannya ibarat berlumba dengan waktu dalam misi memastikan barangan bantuan seperti bekalan makanan dan pelbagai kelengkapan lain dapat dihantar kepada mangsa-mangsa bencana di Filipina.
“Penghantaran pada waktu pagi cuaca agak baik, cuma mula bertiup kencang pada waktu petang dan hujan pada waktu malam. Jadi, kami pada waktu pagi dan petang sahaja terbang, malam tiada penerbangan.
“Kita berdepan dengan keadaan muka bumi memang sangat berbeza dengan Malaysia. Keadaannya seperti banyak pulau dan bergunung, menyukarkan pesawat untuk mendarat,” kongsinya.
Katanya lagi, helikopter EC 725 AP yang digunakan dalam misi tersebut berkeupayaan serta dapat menjalankan misi dengan baik dan berkesan. – UTUSAN