MyKiosk bantu peniaga tambah pendapatan bulanan

MyKiosk bantu peniaga tambah pendapatan bulanan

KERAJAAN menyediakan peruntukan berjumlah RM100 juta dengan menyasarkan pembukaan 4,000 unit kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan di seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inisiatif MyKiosk yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bukan sahaja meringankan beban usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan kadar sewaan yang murah bahkan membantu golongan itu meningkatkan pendapatan bulanan sehingga tiga kali ganda.

Mana tidaknya, dengan kadar sewaan tidak melebihi RM300 sebulan, usahawan PMKS yang menyertai program MyKiosk KPKT mampu menjana pendapatan sehingga RM8,000 berbanding RM3,000 yang diraih sebelum ini.

 

ROHANA BINTI SALIM, MELAKA Kiosk: Ayam Gunting MITC
            ROHANA BINTI SALIM

Peniaga ayam gunting di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Rohana Salim, 49, berasal dari Ayer Keroh, Melaka, adalah antara usahawan yang berjaya meningkatkan pendapatan bulanannya selepas menyertai program itu sejak beberapa bulan lalu.

 

          SALAMAH BINTI MOHD

Selain Rohana, Salamah Mohd. Jamil, 32, dari Krubong, Melaka juga berjaya mengubah kehidupan keluarganya apabila menjana pendapatan sebanyak RM8,000 sebulan selepas menyertai program itu untuk menjual buah jambu dan Takoyaki di Pusat Penjaja MITC.

MyKiosk merupakan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023 lalu bertujuan untuk menyediakan kemudahan infrastruktur dan ruang perniagaan yang seragam, selamat dan selesa kepada peniaga kecil.

Perdana Menteri telah memberi penekanan terhadap PMKS tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan mereka melalui penyediaan kemudahan penjaja, gerai dan warung yang bersih dan indah di lokasi tumpuan seluruh negara.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, MyKiosk merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu peniaga PMKS tempatan untuk kembali berdaya saing dan meningkatkan keupayaan perniagaan.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi penduduk setempat dengan memberi manfaat kepada peniaga melalui pemberian kadar sewaan kiosk yang rendah,” katanya.

 

MYKIOSK yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya tingkatkan pendapatan USAHAWAN perusahaan mikro, kecil dan sederhana sehingga tiga kali ganda.

Bagi merealisasikan perkara itu, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan berjumlah RM100 juta pada tahun 2024 dengan menyasarkan 4,000 unit kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil berniaga di lokasi tumpuan seluruh negara.

Selain, meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat dengan memberi kadar sewaan kiosk yang rendah, inisiatif ini juga mensasarkan untuk menambah pendapatan PBT melalui sewaan kiosk dan menyediakan ruang niaga yang seragam, selamat dan selesa kepada peniaga.

Inisiatif MyKiosk ini telah bermula pada tahun 2023 dengan penyediaan sebanyak 3,189 unit kiosk dengan peruntukan RM50 juta bagi membina baharu kiosk sebagai kemudahan penjaja kecil.

Berdasarkan pencapaian dan penerimaan yang baik terhadap program MyKiosk, KPKT meneruskan pelaksanaannya di bawah MyKiosk 2.0 bagi tahun 2024 dengan memperuntukkan RM100 juta dan terkini, sebanyak 4,030 unit kiosk bagi menampung keperluan tambahan pembinaan kiosk di kawasan pentadbiran PBT di seluruh negara.

Di Terengganu, peniaga kopi dan makanan, Suziana Ismail, 41, dari Kuala Terengganu juga berjaya meningkatkan hasil pendapatan bulanannya daripada sekitar RM500 kepada RM2,000 selepas menyertai inisiatif MyKiosk.

Beliau yang berniaga air kopi dan Roti John menempatkan kiosk miliknya di Pantai Batu Burok.

Di Selangor pula, peniaga makanan dan minuman, Siti Nor Aisyah Mokhtar juga berjaya mengubah kehidupannya apabila meraih pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 berbanding RM1,000 sebelum menyertai inisiatif MyKiosk.

Sementara di Perlis, peniaga bubur ayam dan nasi ayam kunyit, Muhammad Hadwan Mohd. Shukri, 25, dari Arau merubah nasib hidupnya apabila meraih pendapatan RM3,900 sebulan berbanding RM1,300 sebelum menyertai MyKiosk di kampung halamannya.

 

             ROSMAN BIN MURAD

Selain itu, peniaga nasi daging bakar, Rosman Murad, 55, juga mencatatkan penambahan pendapatan mendadak iaitu daripada RM1,600 sebulan kepada RM6,000 selepas menyertai MyKiosk.

Objektif MyKiosk:

• Inisiatif ini adalah bagi meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat dengan memberi kadar sewaan kiosk yang rendah, meningkatkan pendapatan PBT melalui sewaan kiosk, serta menyediakan ruang niaga seragam, selamat dan selesa kepada peniaga.

Ciri-ciri MyKiosk:
• Reka bentuk yang seragam dan ruang niaga yang selesa
• Menggunakan bahan binaan yang tahan lasak
• Dilengkapi dengan sistem solar dan peralatan elektrikal seperti lampu LED
• Penggunaan sistem mekanikal iaitu tingkap hidraulik, roda dan rak mudah laras, fleksibel untuk memudahkan susun atur peralatan niaga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN