PETALING JAYA: Management and Science University (MSU) meneruskan momentum peningkatan dalam kalangan universiti terbaik di Asia apabila melonjak 26 anak tangga apabila berada pada kedudukan ke-129 mengikut laporan Quacquarelli Symonds QS World University Rankings: Asia 2025.
Sebagai rekod, MSU berada pada kedudukan ke-155 pada 2024 dan kedudukan ke-177 pada 2023 serta terus konsisten dalam ranking berprestij ini sejak 2018 serta menjadi indikator penting dalam memperkasakan kualiti dan akses pendidikan tinggi serta inisiatif pengantarabangsaan di peringkat global.
Pencapaian ini turut memperkukuhkan kedudukan MSU dalam kalangan universiti terbaik di rantau Asia Tenggara apabila berada pada anak tangga ke-28.
Malah, pencapaian ini telah melengkapi kedudukan MSU yang telah disenaraikan pada kedudukan ke-580 universiti terbaik dunia berdasarkan QS World University Rankings (WUR) 2025.
Penilaian QS World University Rankings: Asia 2025 masih tertumpu kepada 11 indikator utama iaitu Reputasi Akademik (30 peratus), Reputasi Majikan (20 peratus), Nisbah Pelajar-Fakulti (10 peratus), Petikan per Kertas (10 peratus), Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (10 peratus), Kertas per Fakulti (lima peratus), Kakitangan dengan PhD (lima peratus), Nisbah Pelajar Antarabangsa (2.5 peratus), Nisbah Fakulti Antarabangsa (2.5 peratus), Pelajar Pertukaran Masuk (2.5 peratus) dan Pelajar Pertukaran Keluar (2.5 peratus).
Secara keseluruhannya, penarafan QS Asia University Ranking 2025 menyaksikan MSU memperolehi skor terbaik bagi indikator Outbound Exchange Students (skor 100, kedudukan ketujuh), International Student Ratio (skor 100, kedudukan ke-15), International Faculty Ratio (skor 99.9, kedudukan ke-22) serta Inbound Exchange Students (skor 99.6, kedudukan ke-26)
QS Quacquarelli Symonds ialah agensi berpangkalan di United Kingdom yang membuat penarafan tahunan universiti dimana bagi 2025 dengan melibatkan 984 universiti terbaik daripada 25 negara Asia merangkumi rantau Asia Tengah, Asia Timur, Asia Tenggara serta Asia Selatan iaitu peningkatan sebanyak 127 institusi berbanding dari 2024.
Eedisi ke-16, QS World University Rankings: Asia 2025 telah menyenaraikan 40 buah universiti di Malaysia dimana 21 institusi berada dalam kalangan 200 universiti terbaik Asia iaitu melibatkan 11 universiti awam dan 10 universiti swasta.
Kejayaan ini membuktikan MSU berada di landasan yang tepat dengan matlamat dan visi utamanya dalam melahirkan graduan yang mempunyai personaliti seimbang, holistik dan kompeten serta mencapai standard di peringkat antarabangsa.
Turut diberikan penekanan ialah aspek pembangunan minda graduan yang berkemahiran berfikir aras tinggi melalui penerapan indikator seperti jalinan industri, penerapan elemen keusahawanan dan warga global.
Ia melalui program mobiliti, komponen penyelidikan, elemen kelestarian atau SDG, kebudayaan inklusif merentasi komuniti, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.
Malah, ia turut memainkan peranan penting ke arah memperkasa masa hadapan serta menyediakan akses pendidikan kepada semua lapisan masyarakat sama ada di Malaysia atau global selaras dengan moto universiti, Transforming Lives, Enriching Future. – UTUSAN