SEPANG: Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia (MQAIC) 2024 mendapat sambutan luar biasa daripada warga pendidikan tinggi global.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata, MQAIC 2024 yang menjadi antara acara kemuncak MQA untuk tahun 2024 dihadiri 400 jemputan dari dalam dan luar negara terdiri daripada pakar jaminan kualiti antarabangsa, akademia, pemimpin industri, wakil kedutaan dari sembilan negara.
Bertemakan ‘Pendidikan Tinggi Berkualiti Global’, beliau berkata, persidangan yang dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu menjadi medan untuk membantu peserta merencana strategi institusi masing-masing sambil meluaskan jaringan kerjasama di peringkat nasional dan global lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang tidak menentu pada hari ini.
Katanya, bagi menjamin kelestariannya, institusi Pendidikan tinggi (IPT) perlu memperkasa kerjasama antara satu sama lain bukan hanya dengan institusi di dalam negara, malah dengan universiti antarabangsa.
“Selain melaksanakan inisiatif penawaran program dengan cara yang kreatif dan inovatif, IPT perlu melihat permasalahan yang berlaku dalam dunia hari ini sebagai peluang untuk maju pada masa hadapan.
“Kecemerlangan sesebuah universiti bukan secara eksklusif untuk warganya sahaja, tetapi lebih penting hasil kajian, jurnal berimpak serta penyelidikan yang mereka lakukan dapat dirasai oleh masyarakat di sekitarnya yang seterusnya dapat mengubah corak hidup ke aras lebih baik,” katanya selepas majlis perasmian MQAIC 2024 di Kuching, baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie; Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, pemimpin dan pakar jaminan kualiti dari Ireland, Romania, Scotland, Indonesia, India, Gambia dan Filipina serta wakil kedutaan dari Perancis, Ireland, Nigeria, Britain, Zambia serta China.
Pada majlis perasmian itu juga, sesi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) turut diadakan antara MQA dan Quality and Qualifications Ireland; MQA dan South African Qualifications Authority serta MQA dan National Accreditation and Quality Assurance Authority, The Gambia.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MQAIC 2024 menjadi medan perbincangan dengan pakar yang mengupas membincangkan isu-isu kritikal dalam pendidikan tinggi global dengan subtema ‘Landskap Pendidikan yang Berubah’, ‘Perkongsian Kolaboratif’, ‘Teknologi Adaptif’, serta ‘Kebolehpasaran TVET’.
“Penganjuran MQAIC 2024 tidak akan berjaya tanpa kerja keras barisan urus setia dan sokongan padu daripada Rakan Strategik Diamond terdiri daripada Help University, INTI International University, Alliance of Government-Linked Universities, Open University Malaysia (OUM), MILA University, Petro Teguh, City University Malaysia, Asia e University (AeU) serta UNITAR International University.
“Selain itu, Rakan Strategik Platinum, terdiri daripada Albukhary International University dan Asia Pacific University of Tehcnology & Innovation (APU) dan Rakan Strategik Gold iaitu IMU University dan Education Malaysia Global Services (EMGS),” katanya.
Buat julung kalinya, MQAIC turut menganjurkan Forum Presiden yang dipengerusikan sendiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Dr. Zambry dilaporkan berkata, forum itu menjadi platform bagi pemimpin dan pakar dari seluruh dunia untuk berkongsi pandangan dan idea mengenai masa depan pendidikan tinggi.
Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama antarabangsa dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
“Kita tidak lagi boleh berdiri sendiri kerana dunia pendidikan hari ini memerlukan kolaborasi yang lebih luas bagi memastikan sistem pendidikan kita terus relevan dan kompetitif di peringkat global.
“Forum ini adalah sebahagian daripada usaha mendapatkan input untuk Pelan Tindakan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026-2035, yang kini sedang dalam fasa perancangan,” katanya. – UTUSAN