MODENAS jual motosikal EV ke pasaran umum tahun depan

MODENAS jual motosikal EV ke pasaran umum tahun depan

Motosikal EV Modenas akan dijual ke pasaran umum pada suku pertama tahun depan. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MODENAS bakal memperkenalkan motosikal kenderaan elektrik (EV) untuk jualan kepada orang ramai pada suku pertama 2025 sebagai menyambut seruan global menghijaukan bumi yang kini dilanda pembebasan gas karbon dioksida yang terhasil daripada kesan pembakaran enjin.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan menjelaskan, EV merupakan antara agenda utama syarikat motosikal nasional Malaysia itu untuk menyumbang terhadap usaha kelestarian alam di samping memenuhi keperluan industri yang terus bersaing untuk mengeluarkan produk masing-masing.

Justeru itu kata beliau, MODENAS, sebuah syarikat usahasama antara DRB-HICOM Berhad dan Kawasaki Heavy Industries, mengambil langkah ke arah pengenalan EV yang bukan sahaja dapat memenuhi cita rasa pengguna jalan raya Malaysia, tetapi bagi juga menawarkan harga kompetitif yang boleh dimiliki oleh orang ramai.

Menjelaskan lebih lanjut, MODENAS telah melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak dua tahun lalu untuk menghasilkan motosikal EV yang pertama supaya menjadi pilihan utama pengguna.

Katanya, buat permulaan syarikat motosikal nasional itu mengeluarkan EV untuk kegunaan Pos Malaysia bagi penghantaran surat dan kurier.

“Kita pada awalnya bekalkan 140 unit kepada Pos Malaysia yang digunapakai oleh posmen. Pada masa akan datang, jumlah ini akan bertambah kepada lebih 1,000 unit di mana kami telah menghantar 340 unit pertama pada pertengahan November.

“Alhamdulillah, sambutan cukup baik dalam kalangan posmen yang melihat ia bukan sahaja menjimatkan daripada segi kos bahan api, tetapi membantu ke arah kelestarian alam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Roslan berkata, setelah melihat projek perintis EV membabitkan dalam kalangan posmen Pos Malaysia, MODENAS mengambil langkah memperkenalkan motosikal EV untuk pasaran umum pada suku pertama 2025 selepas menerima kelulusan pihak berkuasa.

Katanya, reka cipta motosikal EV pertamanya itu mengambil kira potensi pasaran tempatan di samping keadaan jalan raya di negara ini.

“MODENAS berhati-hati dalam soal ini sebelum kita keluar ke pasaran, untuk memastikan setiap produk sesuai untuk pelanggan.

“Oleh itu, kita melakukan R&D supaya ia dapat menepati kehendak segmen dan infrastruktur tempatan,” katanya.

Roslan mengakui EV masih baharu di negara ini termasuk membabitkan kenderaan jenis motosikal, namun beliau melihat ia mempunyai potensi lebih tinggi setelah melihat penjimatan daripada kos bahan api dan penyelenggaraan serta penggunaan teknologi baharu.

Dalam pada itu, Roslan berkata, MODENAS yang merupakan singkatan Motorsikal Dan Enjin Nasional yang bakal memasuki usia 30 tahun telah berjaya mengeluarkan pelbagai jenis motosikal yang bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tetapi berjaya memasarkan di peringkat antarabangsa.

Katanya, antara model keluaran adalah moped, skuter dan ‘street bike’ serta terbaharu motosikal EV di samping pelbagai jenis enjin bermula kapasiti rendah sehingga tinggi dan lebih membanggakan selain menjual motosikal, MODENAS juga menjual jet ski.

Beliau memberitahu, kemunculan sulung iaitu Kriss 110 pada 1996 telah menarik minat seluruh rakyat Malaysia yang berbangga dengan motosikal dengan jenamaan buatan sendiri.

Ketika ditanya perbezaan MODENAS dengan syarikat motosikal lain, Roslan berkata, di samping harga kompetitif dan mampu milik, pihaknya memastikan setiap produk dapat memenuhi cita rasa pengguna jalan raya di Malaysia.

Katanya, ini termasuk daripada segi tahan lasak dan kemampuan setiap kenderaan untuk bergerak di setiap jalan raya.

“Oleh itu kita ada pasukan R&D sendiri, yang melakukan penambahbaikan daripada segi enjin, ujian memandu yang semua dilakukan di negara ini. Berbanding syarikat lain, ia dibuat di negara luar tetapi MODENAS pula, ia dilakukan di Malaysia.

“Apabila sudah menepati persekitaran jalan raya, cita rasa pengguna, barulah ia diluluskan dan dijual kepada pasaran.

“Semua model MODENAS adalah keluaran tempatan bermula daripada petugas yang 100 peratus anak Malaysia. Kita tidak mengambil pekerja asing dalam sektor pembuatan motosikal. Ini merupakan salah satu komitmen syarikat untuk memberi sumbangan kepada masyarakat,” katanya.

Roslan berkata, MODENAS baru-baru ini melakukan penjenamaan dan pembaharuan untuk menjadikan syarikat motorsikal nasional itu kekal kompetitif serta dapat bersaing dengan pasaran terbuka termasuk memfokuskan pemasaran di luar negara di samping tempatan.

“MODENAS juga mengambil kira aspek dalam memperkemaskan kualiti produk dan perkhidmatan selepas jualan bagi terus meningkatkan keyakinan pelanggan ke atas produk buatan Malaysia selari dengan penjenamaan semula,” tambah beliau.

Justeru itu beliau memberitahu, MODENAS sekarang agresif mengeksport beberapa model motosikal petrolnya bermula 2023 bermula di Timur Tengah dan terbaharu China dan Filipina.

“Jumlah ini bukan kecil, malah sekitar 1,000 unit dan kuantiti ini akan bertambah pada masa akan datang, melihat pada sambutan membanggakan dari negara-negara berkenaan terhadap model-model motosikal keluaran MODENAS,” katanya.

Tambah beliau, selain memperkenalkan motosikal EV, MODENAS, turut giat melaksanakan penjenamaan semula bagi membawa perubahan agresif ke atas pengeluar motosikal nasional itu menjadi lebih kompetitif di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Selama tiga dekad katanya, MODENAS memberi tumpuan kepada pasaran teras di samping memfokuskan pasaran kompetitif termasuklah pengeluaran motosikal elektrik yang sekali gus menjadi keluaran pertama tempatan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN