BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan hala tuju strategik yang berdaya tahan sebagai asas kecemerlangan berikutan pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk melahirkan graduan berkualiti.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah, perkara itu dapat dilihat sejak baginda dilantik menjadi Canselor UKM dan usaha tersebut adalah bagi mempertingkatkan kualiti polisi, sistem tadbir urus serta nilai dan kualiti dalam semua aspek pentadbiran dan pengoperasian.
“Kecemerlangan universiti ini diterajui oleh sumbangan kesarjanaan ahli akademik UKM dalam menzahirkan keilmuannya untuk membentuk pemikiran dan merungkai pelbagai isu yang melingkari masyarakat negara dan dunia.
“Ini mampu meningkatkan akauntabiliti dan produktiviti para pentadbir UKM serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran sesebuah institusi awam negara,” titahnya pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-52, di sini, semalam.
Sebanyak 11,010 graduan menerima ijazah masing-masing bermula semalam sehingga 1 Disember ini dengan seramai 4,409 graduan Ijazah Sarjana Muda, 2,549 Ijazah Sarjana, 469 Doktor Falsafah, 3,393 Diploma Pascasiswazah dan 190 Doktor Pakar.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan para ilmuwan untuk memberikan sumbangan kepakaran dalam bidang masing-masing yang berpaksikan kesarjanaan tinggi dan berhujah melalui tatacara berhemah berdasarkan lingkungan disiplin keilmuan masing-masing.
Ini kerana UKM kini diiktiraf masyarakat antarabangsa susulan institusi pendidikan tinggi awam itu kini berada pada tangga ke-138 terbaik dunia dalam QS World University Rankings dan di tangga ke-26 dunia dalam QS Asia University Rankings.
“Setiap warga UKM mempunyai amanah dalam memastikan universiti watan ini terus dirujuk berlandaskan semangat untuk memperkasakan rukun negara dan jati diri kebangsaan.
“Beta berharap walau setinggi manapun kejayaan didaki, asas penubuhan universiti ini yang unik terus subur dihayati dan tersemat kukuh dalam jiwa warga UKM. Asas dan sejarah penubuhan universiti ini perlu terus disuburkan dengan menghayati perjuangan pemerkasaan bahasa kebangsaan, penghayatan nilai patriotik dan membangunkan ilmu tinggi yang beracuan kebangsaan,” titahnya.
Baginda turut bertitah, nisbah antara pensyarah dan pelajar yang optimum harus segera dikenal pasti demi tahap pembelajaran kekal berkualiti supaya dapat membantu UKM menentukan jumlah pengambilan pelajar yang boleh diambil pada setiap semester.
“Di samping itu, UKM juga harus sentiasa memantau keperluan infrastruktur, peralatan dan kemudahan pelajar serta pensyarah dari semasa ke semasa. Pemantauan yang berterusan dan tindakan penambahbaikan mengikut keperluan boleh menjamin suasana pembelajaran yang kondusif dan meningkatkan kualiti akademik serta imej UKM,” titahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, baginda turut berkenan menubuhkan Kursi Diraja Canselor Tuanku Muhriz bagi memperkukuh penyelidikan dalam bidang perubatan khususnya mengenai penyakit tidak berjangkit.
Profesor Kardiologi dan Ketua Jabatan Perubatan Molekul dan Klinikal di University of Dundee, Dr. Chim C. Lang dilantik sebagai penyandang kursi tersebut. – UTUSAN