JOHOR BAHRU: Kumpulan Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) bakal bekerjasama dengan Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk memberi peluang kepada graduan cemerlang lepasan diplomanya menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti Seberang Tambak berkenaan.
Apabila tamat pengajian, siswazah daripada universiti terkemuka itu boleh kembali dan bekerja di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, program pertukaran pelajar antara KYPJ dan NUS yang meliputi perkongsian budaya, idea dan pendapat turut berada dalam perancangan kerana dilihat mampu menjadi jambatan bagi meneruskan hubungan baik dalam bidang pendidikan antara Johor dan Singapura.
“Malah, program pertukaran tenaga pengajar ke Singapura juga akan dilaksanakan dalam bentuk kursus jangka pendek bagi membolehkan warga pendidik merasai pengalaman dan mempelajari proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) daripada republik itu sebelum dapat diterapkan di negeri ini.
“KYPJ kini sedang berusaha memantapkan kedudukannya sebagai antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang ulung di selatan tanah air untuk berdiri sama tinggi dengan institusi pendidikan yang lain. Jika pada tahun sebelumnya kolej ini giat meningkatkan kemudahan infrastruktur seperti perpustakaan dan asrama tetapi pada tahun ini KYPJ memberi tumpuan untuk memperkasakan program-program diplomanya,” katanya semasa merasmikan Majlis Konvokesyen (KPYPJ) Ke-25, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), Suhairi Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ, Ungku Mohd. Tahir Ungku Mohd. Zakaria.
Aznan berkata, pada tahun ini KYPJ sekali lagi berjaya mengekalkan akreditasi penuh bagi program kejuruteraan elektronik daripada Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) selama enam tahun dan tiga tahun interim bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2030, iaitu kesinambungan kejayaan program sama mendapat akreditasi penuh ETAC bagi tempoh 2019-2024.
Menurutnya, usaha juga telah diambil bagi memperkenalkan jenama kolej tersebut di peringkat antarabangsa menerusi pengukuhan strategi pengantarbangsaan termasuk melibatkan jalinan kerjasama dengan beberapa universiti antarabangsa seperti Universiti Surabaya dan Politeknik Ubaya, di Indonesia.
Menerusi kerjasama itu, agenda kebolehpasaran graduan KYPJ dapat terus diperkukuh dengan mereka berpeluang menyertai program pertukaran pelajar, menjalani latihan industri serta mengikuti lawatan akademik, manakala pensyarah kolej pula berpeluang membuat pembentangan kertas kajian yang dihadiri komuniti universiti terlibat.
“Pengukuhan strategi pengantarabangsaan ini juga akan diteruskan selepas ini dengan beberapa buah universiti di Australia dan China yang telah dikenal pasti.
Aznan berkata, apabila Sistem Transit Rel (RTS) mula beroperasi kelak yang disokong oleh ekosistem pengangkutan dan pembandaran yang lengkap, segala-galanya akan berubah.
“Johor akan menjadi muara bagi segala limpahan peluang ekonomi dan kerjaya yang mengalir daripada jiran kita di seberang sana,” katanya sambil meminta graduan KPYPJ supaya sentiasa meningkat pengetahuan dan kemahiran. – UTUSAN