KPM komited tangani akses pendidikan di SK Pulau Aman

KPM komited tangani akses pendidikan di SK Pulau Aman

FADHLINA Sidek (tiga dari kanan) bergambar di hadapan bot baharu yang akan digunakan oleh warga SK Pulau Aman ketika hadir pada Majlis Penyerahan Bot kepada sekolah itu di Pulau Aman, dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Serah bot baharu mudahkan urusan pengangkutan warga sekolah

BATU KAWAN : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited memastikan sebarang isu berkaitan akses terhadap bidang pendidikan khususnya di sekolah-sekolah yang agak terpencil boleh ditangani dengan seberapa segera.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, justeru, penyerahan bot baharu kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman di sini bagi memudahkan urusan guru serta sebahagian daripada murid yang menggunakan pengangkutan tersebut untuk ke sekolah ketika ini diharap dapat memberi kelegaan kepada mereka.

“Alhamdulillah, setahun yang lalu saya ada berjumpa dengan Guru Besar SK Pulau Aman dan beliau telah pun menyatakan hasrat kalau dapat dibantu dalam aspek itu.

“Hari ini, kita telah menunaikan hasrat tersebut untuk memastikan bahawa isu akses pendidikan di Pulau Aman ini dapat kita terjemahkan. Dalam konteks ini, kita akan pastikan tiada warga sekolah yang terpinggir,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir pada Majlis Penyerahan Bot Kepada SK Pulau Aman yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Datuk Ahmad Suhaimi Endut di sini kelmarin.

FADHLINA Sidek (dua dari kiri) menyerahkan replika kunci bot kepada Rohaya Ibrahim pada Majlis Penyerahan Bot Kepada SK Pulau Aman di Pulau Aman, dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Wan Sajiri Wan Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik serta Guru Besar sekolah itu, Rohaya Ibrahim.

Ketika ini, SK Pulau Aman mempunyai 26 orang murid secara keseluruhannya dengan enam daripada mereka berulang-alik setiap hari ke sekolah dengan menggunakan bot sebagai pengangkutan utama kerana tidak tinggal di pulau itu. Turut berulang-alik menaiki bot ke sekolah ialah tujuh daripada lapan orang guru sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal memberitahu, SK Pulau Aman adalah model sekolah milik masyarakat.

Katanya, hal ini demikian kerana, bukan sahaja warga sekolah, malah, komuniti setempat termasuk persatuan nelayan juga menyumbang kepada institusi pendidikan itu secara tidak langsung.

“Sumbangan mereka (persatuan nelayan) kepada sekolah cukup besar sebenarnya. Mereka memastikan bot diletakkan di tempat yang selamat. Begitu juga dengan keselamatan guru dan murid ketika turun atau menaiki bot untuk ke sini,” ujar beliau.

FADHLINA Sidek (depan) ketika tiba di Pulau Aman untuk menghadiri Majlis
Penyerahan Bot Kepada SK Pulau Aman dalam daerah Seberang Perai Selatan (SPS),
Pulau Pinang.

Jelas Fadhlina lagi, KPM juga sedang meneliti keperluan untuk menyenaraikan SK Pulau Aman sebagai antara sekolah digital pada masa depan.

“Maknanya, dari segi kelengkapan dan penglibatan guru, murid serta keupayaan digital sekolah, ini antara sekolah yang dilihat berpotensi untuk menjadi sekolah digital sekolah terutamanya di peringkat negeri (Pulau Pinang),” katanya.

Dalam pada itu, Wan Sajiri memaklumkan, bot baharu berharga RM218,097 itu dibeli bagi menggantikan bot lama yang telah rosak dan selain bot katanya, sekolah itu turut menerima satu unit treler bot bernilai RM30,000.

“Untuk makluman semua, tahun 2024 adalah tahun yang membawa seribu rahmat kepada SK Pulau Aman kerana selain menerima bot baharu, pihak sekolah juga menerima sumbangan berupa lapan unit penyaman udara bernilai RM29,018 dan dua unit ‘smart board with sliding whiteboard’ bernilai RM37,000 sumbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah program Kampung Angkat Madani.

“Pada masa yang sama, sekolah ini juga menerima sejumlah RM126,000 peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan dan naik taraf yang melibatkan tandas, pagar, sistem perpaipan, pembasmian anai-anai serta kerja-kerja berkaitan,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN