PETALING JAYA: Kerajaan berada pada landasan yang betul untuk mengawal kebergantungan kepada hutang negara melalui konsolidasi fiskal dan dalam masa sama masih mempunyai aliran tunai untuk mengekalkan momentum pertumbuhan, kata penganalisis.
Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, perkara ini boleh dicapai melalui beberapa mekanisme fiskal seperti menaikkan cukai, pengenalan cukai baharu dan menghapuskan penyalahgunaan subsidi.
Katanya, matlamat unggul bagi kerajaan adalah untuk menumpukan kepada kesejahteraan rakyat agar segenap lapisan masyarakat mempunyai sumber pendapatan yang stabil dan hidup yang selesa terutamanya dengan penyelarasan subsidi petrol nanti.
“Hutang negara ketika ini berada pada sekitar 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), namun ia tidaklah terlalu besar berbanding negara seperti Singapura pada 162.1 peratus, Jepun (252.4 peratus) dan Amerika Syarikat (122.2 peratus) daripada KDNK masing-masing.
“Berbanding Indonesia dan Thailand pula masing-masing pada 39.9 peratus dan 62.4 peratus daripada KNDK. Jadi, kita berada pada peringkat pertengahan.
“Apabila tiada aliran tunai, maka kita perlu meminjam tetapi tidak bermakna kita tidak berjaya mengawal keadaan. (Pinjaman untuk) aliran tunai (jangka pendek) diperlukan sementara aliran tunai sampai daripada sumber kerajaan yang lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Kementerian Kewangan berkata dalam Belanjawan 2025, kerajaan menyasarkan defisit fiskal, atau dalam kata mudah kekurangan hasil untuk perbelanjaan, yang lebih rendah kepada 3.8 peratus daripada KDNK berbanding 4.3 peratus tahun ini.
Kementerian dalam kenyataan jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen baru-baru ini berkata, selaras dengan pengurangan defisit, hutang bersih baharu kerajaan berkurang kepada RM92.6 billion pada 2023 daripada RM100 billion pada tahun sebelumnya dan seterusnya kepada anggaran RM84.7 bilion pada 2024 dan disasarkan RM80 bilion pada 2025.
Kerajaan komited untuk memastikan nisbah hutang kepada KDNK dapat diturunkan kepada 60 peratus atau lebih rendah, agar dapat dicapai dalam tempoh jangka sederhana.
Komitmen ini telah diwartakan dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang digubal di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Dr Yeah Kim Leng berkata, strategi untuk mengurangkan hutang negara melalui konsolidasi fiskal yang dibuat secara beransur-ansur dapat memastikan ekonomi negara agar terus berkembang.
Katanya, kerajaan perlu mengekalkan perbelanjaan secara stabil dan meneruskan pelaburan swasta supaya momentum pertumbuhan dapat dikekalkan.
“Peruntukan kewangan perlu diberikan kepada sektor yang mempunyai nilai tambah berganda dan meningkatkan kesejahteraan rakyat seperti dalam kesihatan dan pendidikan.
“Golongan berpendapatan rendah perlu terus diutamakan dengan memberi bantuan dari segi kewangan, bakul makanan atau pun cara untuk meningkatan pendapatan mereka contohnya seperti inisiatif kerajaan menyalurkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” ujarnya.-UTUSAN