SEJAK penubuhannya 35 tahun yang lalu, Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) sehingga kini masih mengekalkan indentitinya tersendiri. Terkenal dengan hamparan rumput cow grass di fairway dan serangoon di green, KGPA terus tergolong antara kelab-kelab golf yang menjadi pilihan ramai pemain-pemain golf sama ada di sekitar Lembah Klang mahupun di luar daerah ini.
Dengan beberapa perubahan telah dilakukan oleh pihak pengurusan yang diterajui oleh Pengurus Besarnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid menjadikan KGPA kini sentiasa bersedia untuk berdaya saing serta mendominasi arena sukan golf.
“Kita lihat KGPA sekarang ini sudah menjadi destinasi kegemaran pemain-pemain, mungkin ia berpunca daripada kedudukan KGPA, pakej dan bagaimana kelab ini mengekalkan padang golf berada dalam keadaan terbaik.
“Kita menerima tempahan penuh setiap hari, malah dalam kalangan ahli sendiri ada yang mengeluh tidak dapat bermain kerana KGPA sentiasa penuh,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Menurut Shaharuddin, sejak beliau dilantik sebagai Pengurus Besar KGPA pada tahun 2021, matlamatnya adalah menjadikan KGPA sebagai destinasi golf terkenal di Lembah Klang dalam kalangan ramai pemain sebaris dengan kelab-kelab golf tersohor yang lain.
“Seperti mana ramai yang tahu bahawa KGPA ini rumputnya masih mengekalkan jenis cow grass di fairway manakala di green pula rumput jenis serangoon. Ia jelas sekali berbeza dengan kelab-kelab golf terkemuka lain yang sekarang ini kebanyakannya sudah menggunakan rumput jenis bermuda dan tifeagle.
“KGPA sengaja mengekalkan rumput jenis cow grass ini kerana mahu mengekalkan identitinya. Walaupun rumput cow grass tetapi ia sentiasa dijaga dengan baik untuk memberi kepuasan kepada semua pemain yang beraksi di sini,” ujarnya.
KGPA mempunyai 27 lubang di mana Hill dan Lake menggunakan rumput cow grass di fairway manakala di green pula rumput jenis serangoon. Sementara itu di lapangan Forest pula menggunakan rumput bermuda di fairway dan green.
Menurut Shaharuddin lagi, untuk menjadikan KGPA terus menjadi pilihan ramai, beliau melakukan sedikit perubahan pada tee box dengan diberi sentuhan agak berlainan berbanding dahulu.
Katanya, kalau dahulu kedudukan tee box boleh mengelirukan pemain tetapi sekarang semua tee box diselaraskan membentuk satu karektor baru selari dengan standard yang ditetapkan Persatuan Golf Malaysia (MGA).
Menyentuh mengenai fasiliti di KPGA, beliau memberitahu, terdapat banyak kemudahan di kelab golf itu seperti kedai peralatan barangan golf, driving range, dewan makan, dewan mesyuarat, bilik karaoke, bilik persalinan, surau, pusat gimnasium, kolam renang, gelanggang tenis dan hotel di mana semuanya tersedia untuk digunakan kepada para ahli dan tetamu.
“Semua fasiliti yang ada di sini boleh digunakan oleh semua orang bukan sahaja ahli-ahli kelab tetapi juga kepada orang luar yang ingin menggunakan sama ada untuk penganjuran mesyuarat, majlis-majlis perkahwinan atau apa saja program,” jelasnya.
Mengulas mengenai keahlian di KGPA, Shahruddin memberitahu, terdapat lebih 3,000 ahli dengan 2,000 ahli yang aktif.
Katanya, walaupun KGPA sebuah kelab yang bukan di bawah naungan swasta tetapi masih dilihat sebagai kelab kompetitif dan terbaik dalam memenuhi kendak komuniti dan juga pemain.
“Harapan kami untuk menjadikan KGPA sebagai sebuah kelab sukan golf yang cermelang di dalam Lembah Klang mahupun lebih baik lagi di serata Malaysia. KGPA adalah satu-satunya persatuan yang boleh saya katakan bernaung di bawah kerajaan.
“Tidak seperti kelab-kelab lain di bawah naungan swasta, KGPA diwujudkan oleh kerajaan dan terlahirnya perlembagaan dan dasar yang berlandaskan kehendak-kehendak komuniti, tetapi pelaksanaan adalah pihak pengurusan,” katanya. – UTUSAN