Kepakaran sains urus industri mineral

Kepakaran sains urus industri mineral

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berada di Kapal Korek Tanjung Tualang No. 5 (TT5) di Tanjung Tualang di Perak. – PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TITAH Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mahu melihat sumber mineral negeri dimajukan menerusi penyelidikan membabitkan kepakaran sains menjadi pemacu kepada MB Inc. atau Menteri Besar Incorporated (Perak) dalam menguruskan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Semasa Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Perak Ke-14 pada 25 Ogos 2021, Sultan Nazrin bertitah bahawa NR-REE merupakan mineral penting untuk masa kini dan masa hadapan. MB Inc. telah mengorak langkah meneroka kerjasama dengan saintis dan pakar untuk menjalankan penyelidikan ke atas mineral ini, termasuk penubuhan Terra Mineral Lab (TML), makmal yang dikhaskan untuk analisis mineral NR-REE.

Atas perkenanan baginda, agensi berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak itu kini giat memacu pertumbuhan industri mineral unsur nadir bumi (REE) yang berpotensi menjana pendapatan bernilai tinggi buat negeri ini.

REE yang terdiri daripada 17 elemen, merupakan mineral strategik sebagai komponen penting sektor perindustrian, terutamanya pembuatan kenderaan elektrik, magnet kekal, automotif serta elektrik dan elek tronik berteknologi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin berkata, sejak Februari 2023 hingga Mei 2024, Perak mengeksport 8,157.340 metrik tan nadir bumi karbonat (REC) hasil Projek Perintis Perlombongan NR-REE di mukim Kenering, Hulu Perak ke China melalui 24 kali penghantaran, yang menyumbang RM30.88 juta royalti kepada kerajaan negeri.

Katanya, Perak merupakan satu-satunya negeri yang memperoleh kesemua kelulusan untuk aktiviti perlombongan seperti Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), Kebenaran Merancang (KM), Skim Pengendalian Melombong (OMS), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP), dan Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimen (ESCP).

“Projek perintis seluas 216 ekar itu menggunakan kaedah larut resap in situ (ISL) yang terbukti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) melalui peng auditan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“JMG telah mengesahkan bahawa teknologi perlombongan REE secara ISL hanya melibatkan pembukaan tanah dan penebangan pokok yang minimum. Ini selaras dengan matlamat MB Inc. untuk menjalankan perlombongan yang bertanggungjawab dengan mengurangkan risiko terhadap alam sekitar,” katanya.

Anuar berkata, pada masa yang sama, MB Inc. menerusi Institut Darul Ridzuan (IDR) bekerjasama strategik dengan beberapa universiti tempatan untuk menjalankan kajian komprehensif meliputi pemantauan keradioaktifan, penilaian sumber air bawah tanah dan analisis kestabilan tanah.

Jelas beliau, selain REE, MB Inc. komited memacu ekonomi negeri melalui pengurusan pelbagai projek mineral lain termasuk bijih timah, kaolin dan silika selain membangunkan TML dengan kos RM12 juta yang kini dikendalikan oleh 15 pakar tempatan bertaraf global.

Ia jelas mencerminkan komitmen MB Inc. untuk memajukan industri mineral negara. Pencapaian ini seiring dengan mandat Sultan Perak yang mahu Perak menjadi pelopor industri mineral berteknologi tinggi dan mampan.

“Kejayaan projek di peringkat huluan bukan sahaja berjaya mewujudkan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat, meningkatkan tahap sosioekonomi, merangka pembangunan sektor mineral ke peringkat pertengahan dan hiliran yang sekaligus mempersiapkan Perak dengan pembangunan keseluruhan rantaian industri REE,” katanya.

Dalam pada itu, MB Inc. turut memelihara nilai sejarah perlombongan bijih timah negeri apabila Kapal Korek Tanjung Tualang No.5 (TT5) berjaya dibangunkan menjadi destinasi pelancongan ikonik yang menyerlahkan warisan Perak.

“Hasil usaha gigih MB Inc., Kapal Korek TT5 kini merupakan satu-satunya kapal korek yang masih berdiri megah di negara ini,” menurut Anuar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN