Kementerian Perpaduan teguh pertahan keharmonian nasional

Kementerian Perpaduan teguh pertahan keharmonian nasional

AARON Ago Dagang (kiri) ketika melancarkan Program Kembara Perpaduan Malaysia Madani di Dataran Muzium Negara Kuala Lumpur. – MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelbagai program yang dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara sepanjang tahun ini membuktikan komitmen agensi itu dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat negara ini.

Menerusi pelbagai inisiatif yang dijalankan, kementerian itu berjaya menterjemahkan aspirasi negara ke arah mencapai keharmonian sejati.

Dasar Perpaduan Negara (DPN) menjadi teras kepada segala usaha KPN, berlandaskan prinsip Perpaduan Dalam Kepelbagaian.

Tiga objektif utama iaitu mengukuhkan perpaduan nasional, membentuk identiti kebangsaan dan melahirkan rakyat yang menghargai perpaduan diterapkan dengan penuh dedikasi.

Antara inisiatif utama bagi tujuan itu adalah pengukuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dengan 152 KRT dinaik taraf kepada model progresif.

Penambahbaikan ini melibatkan suntikan kewangan, teknikal dan latihan yang bukan sahaja meningkatkan keselamatan komuniti tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat.

Pusat Mediasi Komuniti pula dilihat sebagai platform efektif dalam menyelesaikan konflik tanpa perlu melalui proses mahkamah.

Dengan sokongan 571 Mediator Komuniti, usaha ini berjaya meredakan ketegangan dalam masyarakat dengan pendekatan harmoni.

Program pendidikan awal seperti Cilik Perpaduan turut mendapat perhatian serius KPN. Sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk melengkapkan Tabika dan Taska Perpaduan dengan bahan pembelajaran terkini serta melindungi kanak-kanak melalui perlindungan insurans khas.

Inisiatif Semarak Perpaduan pula melibatkan pelbagai program sukan dan kebudayaan yang merangkumi semua lapisan masyarakat.

Liga Sukan Uniti 2024, sebagai contoh, berjaya menarik lebih 23,000 peserta dari seluruh negara untuk bertanding dalam sukan seperti futsal dan badminton.

Program Harmoni MADANI yang dijalankan pula memperkenalkan dialog interaktif, podcast dan aktiviti seni yang menekankan prinsip faham, hormat dan terima. Pendekatan ini memberi impak besar kepada integrasi nasional terutama dalam kalangan belia.

Dari sudut warisan budaya, Jabatan Muzium Malaysia memainkan peranan penting dengan 9 program Citra Nusa.

Statistik menunjukkan peningkatan pelawat luar negara ke muzium-muzium di Malaysia, .

Karnival Baca Perdana dan pameran Kembara Ilmu Ini Khazanah Kita, turut mencuri perhatian. Program berbentuk pendidikan ini memberi peluang kepada masyarakat menghargai ilmu sambil memupuk semangat perpaduan melalui aktiviti berasaskan pembacaan dan teknologi digital.

Lee Lam Thye

Bagaimanapun, menurut aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye, KPN perlu lebih giat dalam mempromosikan inisiatifnya kerana masih terdapat ruang untuk memperkenalkan program mereka termasuk di media sosial.

“Pada era digital ini, trend viral memainkan peranan besar dalam menyampaikan mesej perpaduan kepada masyarakat.

“Kementerian perlu memanfaatkan platform ini bagi meningkatkan capaian kepada audien lebih luas,” katanya.

Lam Thye turut memuji pendekatan KPN yang menekankan ideologi nasional seperti Rukun Negara dalam setiap programnya.

“Kementerian berjaya membangkitkan semula semangat Rukun Negara, satu ideologi nasional yang pernah dilupakan akibat persaingan ideologi politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN