‘Kekurangan’ tidak halang genggam ijazah

‘Kekurangan’ diri tidak halang genggam ijazah

Mohamad Imran Mohd Tarmizi (kanan) dan Zal Hasmi Mohamad Roslan pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-52 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi, semalam. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Siapa sangka pelbagai ujian terpaksa dihadapi oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum mereka merangkul segulung ijazah yang menjadi idaman setiap mahasiswa.

Zal Hasmi Mohamad Roslan, graduan Sains Sekitaran di Fakulti Sains dan Teknologi sebelum ini merupakan penghidap kanser darah pada usia 16 tahun, namun perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus melanjutkan pengajian.

“Saya merupakan seorang yang aktif dalam sukan ragbi. Tetapi apabila disahkan menghidap kanser, ibu bapa terus bersedih dan saya tidak boleh menangis di hadapan mereka kerana saya adalah harapan dan anak tunggal mereka. Jadi, saya perlu berbuat sesuatu demi kebaikan mereka.

“Ketika saya menghidapi kanser juga, saya tidak bersekolah selama setahun tetapi tetap mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menyambung pelajaran di UKM,” kata penerima Anugerah Tun Abdul Razak.

Baginya, beliau tidak akan sia-siakan peluang yang diberi untuk memberi secebis kegembiraan buat ayah dan ibunya.

“Saya bukan dari mana-mana sekolah terbaik, saya sekolah harian biasa dan tidak pernah mendapat sebarang anugerah. Ayah saya hanya pemandu teksi dan ibu kerani, jadi saya tahu tidak boleh main-main dalam setiap perkara yang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen UKM Ke-52, di sini, semalam.

Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Yamin Md Sharohhudin pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-52 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi semalam. – UTUSAN/ AMIR KHALID

Begitu juga dengan graduan kerdil, Mohamad Imran Mohd. Tarmizi menjadikan keadaan itu sebagai kekuatan untuk terus bangkit dan membuktikan Orang Kurang Upaya (OKU) juga boleh berjaya seperti manusia biasa.

Beliau yang juga penerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan dalam bidang Sains Aktuari turut berharap kisahnya menjadi inspirasi kepada OKU lain supaya tidak berputus asa melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya pernah mempersoalkan perkara ini kepada ibu, kenapa dilahirkan sebegini sebab sering dibuli di sekolah. Ibu saya kata ia adalah rezeki yang Allah beri hanya untuk saya.

“Jadi, saya terus tabah menghadapi dugaan itu tetapi saya sekarang menerima dugaan yang diberi dengan baik. Malah, saya juga aktif sukan mewakili Perak dalam sukan para,” ujarnya.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Yamin Mohd. Sharohhuddin turut berkongsi rahsia kejayaannya sehingga mendapat Anugerah Dekan selama lapan semester berturut-turut.

Katanya, beliau menggunakan konsep ‘belajar untuk mengajar’ serta sering berkongsi setiap latih tubi bersama rakannya.

“Saya bukan seorang pelajar yang membaca setiap masa kerana banyak mengikuti pelbagai aktiviti, senang cerita saya adalah seorang pelajar yang berprogram. Tetapi apa yang saya amalkan adalah mengumpul semua latihan dalam internet dan buat latihan tersebut.

Pada sidang ini juga, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Komunikasi Media), Preti Kaur Gill a/p Jagjit Singh Gill turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN