Kedutaan Malaysia Jakarta terima Bantuan Ibu Sabil MAIPs 

Kedutaan Malaysia Jakarta terima Bantuan Ibnu Sabil MAIPs 

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra bersama Mohamad Hasrin Tengku Hussin (dua dari kiri) di sebuah hotel di Jakarta, semalam.-IHSAN MAIPs
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia akan terus dipertingkatkan di bawah kepemimpinan Presiden Prabowo Subianto termasuk bidang baharu yang boleh diterokai seperti tenaga boleh diperbaharui, digital dan keterjaminan makanan.

Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata,  pada tahun 2023, jumlah perdagangan negara dan Indonesia melebihi AS$24 billion menjadikan Malaysia pelabur kelima terbesar di republik itu. 

Katanya, kerjasama Malaysia dan Indonesia juga baik di peringkat serantau dan antarabangsa dalam isu yang mempunyai kepentingan bersama. 

“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun 2025, sokongan dan dokongan Indonesia akan menyumbang kepada pengukuhan kerjasama serantau terutamanya dalam pembentukan Komuniti ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas menerima sumbangan ‘Bantuan Ibnu Sabil’ berjumlah RM5,000 daripada MAIPs.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan itu sempena keberangkatan baginda ke Jakarta yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat sama adalah anakanda-anakanda baginda iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullaill, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Di peringkat kerjasama ekonomi, Indonesia adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di kalangan anggota ASEAN dan ketujuh terbesar di peringkat global.

Menurut Syed Mohamad Hasrin, dalam aspek pelancongan, seramai 3.1 juta rakyat Indonesia berkunjung ke Malaysia tahun lalu dan hampir 2 juta rakyat Malaysia telah bertandang ke Indonesia. 

“Pelancong Malaysia merupakan pelancong terbesar di Indonesia. Bagaimanapun, pelancong Malaysia dinasihatkan mendaftarkan diri dengan kedutaan dan mengambil insurans yang sewajarnya. 

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, Tabung Ibnu Sabil daripada MAIPs disalurkan melalui beberapa pejabat perwakilan Malaysia terpilih di luar negara.

Titah baginda, ia bertujuan membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan. 

“Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan ibnu sabil dan pengantarabangsaannya,” titah baginda lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN