KUANTAN: Peserta Negeri Sembilan, Muhammad Danies Hairie Zamri dan Anis Hanisya Sulaiman dari Pahang dinobatkan juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024 Kategori Lelaki dan Wanita.
Pertandingan menampilkan 28 peserta mewakili 14 negeri itu diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang di sini.
Juara pertandingan itu masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala dan sijil serta piala pusingan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
Penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, pertandingan dengan kerjasama Persatuan Explorasi Seni itu berjaya mencungkil bakat remaja tanah air yang menyanyikan lagu-lagu asli dengan baik.
Menurutnya, Bintang Asli Remaja Kebangsaan diadakan sejak 1996 lagi sebagai program bercorak pertandingan dalam kalangan remaja.
“Pertandingan ini diadakan kerana menyedari tentang keunikan Lagu Melayu Asli yang merupakan salah satu cabang kesenian Melayu yang mempunyai keindahan tersendiri dari aspek melodi dan liriknya,” katanya.
Menurutnya, pertandingan akhir kali ini mempertaruhkan 28 peserta yang merupakan juara kategori lelaki dan wanita dari 14 negeri yang terpilih daripada 279 orang yang mengikuti pertandingan ini di peringkat negeri bermula April sehingga September yang lalu
“Matlamat utama penganjuran program bintang remaja asli ini adalah untuk memulihara, mengembangkan dan mempopularkan lagu-lagu Melayu asli dalam kalangan remaja di negara ini.
“Ia turut diadakan bagi meningkatkan aspirasi dan minat masyarakat terhadap lagu-lagu Melayu Asli yang penuh dengan tatasusila,” katanya.
Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan mewujudkan pertandingan sihat di samping menitikberatkan penghayatan lagu-lagu Melayu Asli.
Sementara itu, Yu Man mengakui terpesona dengan aluan muzik dan kemerduan suara peserta yang menyanyikan lagu Melayu Asli.
Ujarnya kerajaan Pahang menghargai pihak penganjur yang memilih Pahang sebagai tuan rumah kerana secara tidak langsung memprosi Pahang sebagai destinasi pelancongan.
Sementara itu, Naib johan lelaki dimenangi Muhammad Ihsan Anuardy (Selangor) dan naib johan wanita, Farranisha Shazwany Mohd. Faizul (Melaka).