Inovasi, teknologi pertanian pemangkin bekalan makanan negara

Inovasi, teknologi pertanian pemangkin bekalan makanan negara

Rubiah Wang (dua dari kiri), Ahmad Jazlan Yaakub (dua dari kanan) dan Idris Lasim (kiri) bersama pemenang Anugerah Terbaik Kategori Pengurusan Terbaik pada Majlis Felcra Visionary Awards 2024, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam mendepani cabaran krisis bekalan makanan, Malaysia tidak ketinggalan dalam mengadaptasikan teknologi dan inovasi dalam pengurusan bagi meningkatkan produktiviti pertanian.

Menyedari hal itu, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) memainkan peranan penting dalam membangunkan kawasan luar bandar.

Selain itu, pembangunan kawasan luar bandar juga membolehkan Felcra Berhad membuka peluang ekonomi dan meningkatkan pendapatan petani melalui pelbagai inisiatif yang inovatif dan berimpak tinggi.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, adalah penting bagi Felcra Berhad mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan produktiviti pertanian melalui penggunaan teknologi moden dan inovasi pengurusan syarikat.

Jelasnya, teknologi tidak hanya berfungsi sebagai alat, tetapi juga sebagai pendorong kemajuan yang dapat merevolusikan cara warga tempatan bertani dan berusaha meningkatkan hasil ladang yang berkualiti.

“Penggunaan teknologi seperti dron, Internet of Things (IoT), dan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja dapat meningkatkan hasil tanaman tetapi juga memastikan proses pertanian yang lebih efisien dan efektif.

“Sebagai contoh, teknologi dron telah terbukti dapat mempercepatkan kerja penyemburan baja dan racun secara sekata, selain dapat menjimatkan masa dan kos.

“Ini membolehkan petani mengurus ladang mereka dengan lebih baik sekali gus meningkatkan hasil pertanian,” katanya pada Majlis Felcra Visionary Award 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rubiah berkata, inisiatif digitalisasi dalam operasi Felcra Berhad juga memainkan peranan penting bagi memastikan syarikat di bawahnya tidak hanya bergantung kepada kaedah konvensional

Jelasnya, dengan mengaplikasikan teknologi terkini, Felcra Berhad berupaya menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian sekali gus menjadikan sektor ini lebih dinamik dan berdaya saing.

“Golongan muda adalah aset penting bagi negara kerana mereka mempunyai potensi dan kreativiti yang tinggi. Melalui dorongan dan bimbingan, mereka boleh menjadi agen perubahan dalam sektor pertanian.

“Selain itu, penggunaan IoT dalam pertanian membolehkan kita mengumpul dan menganalisis data mengenai cuaca, kelembapan tanah dan faktor-faktor lain yang mempengaruhi pertanian.

“Dengan langkah-langkah yang strategik dan kerjasama daripada semua pihak, Felcra dapat memastikan keperluan makanan negara tidak terjejas.

“Bekalan makanan bukan sahaja penting dari segi kesediaan menghadapi krisis tetapi juga penting bagi memastikan makanan berkualiti dan berkesinambungan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sementara itu, usaha menggunakan inovasi teknologi berjaya dibuktikan oleh salah seorang pengurus kawasan ladang yang menggunakan siren frekuensi atau Siren SM Mammoth untuk menghalau serangan gajah yang merosakkan tanaman.

NUR Ariff Shahar yang menerapkan penggunaan inovasi dalam menguruskan ladang sawit Felcra Berhad Kawasan Seri Mahkota, Johor berjaya memenangi Anugerah Kualiti Ladang pada Majlis Visionary Awards 2024, baru-baru ini.

Pengurus Felcra Berhad Kawasan Sri Mahkota Johor, Nur Ariff Shahar, 27, yang merangkul Anugerah Kualiti Ladang Kategori Inovasi Ladang berkata, inovasi tersebut banyak membantu peladang dan pengurus estet hasil kajian inovasi selama dua tahun.

“Inovasi siren ini adalah hasil cetusan idea daripada pengarah saya di Johor yang mencadangkan kepada saya untuk mencipta satu alat untuk menghalau dan mengelak serangan gajah.

Siren SM Mammoth hasil inovasi Felcra Berhad Kawasan Seri Mahkota yang mampu menghasilkan bunyi frekuensi dan lampu biru bagi menghalau gajah memasuki ladang sawit.

“Disebabkan gajah mempunyai pendengaran yang jauh, jadi kami cuba menggunakan frekuensi bunyi untuk memberi isyarat kepada kumpulan gajah bagi menghindari kawasan tersebut dan pada masa sama boleh memantau gajah melalui kamera yang diletakkan pada alat ini.

“Gajah pada kebiasaannya akan datang pada awal dan akhir bulan. Justeru, dengan adanya alat ini kami sudah tahu di mana untuk meletakkannya.

“Selepas menggunakan alat inovasi ini, kami dapat mengurangkan kerosakan pokok yang berpunca daripada kehadiran gajah iaitu berjumlah lapan pokok sahaja berbanding 125 sebelum ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dalam pada itu, inovasi pengurusan ladang juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti pertanian sekali gus menjamin bekalan makanan dan keuntungan syarikat Felcra Berhad.

Pengurus Kilang Sawit Felcra Berhad Nasaruddin, Bota, Perak, Muhammad Jafri Amat, 44, berkata, pengubahsuaian kaedah pengoperasian membolehkan kilangnya menghasilkan keluaran yang tinggi.

MUHAMMAD Jafri Amat yang menguruskan Felcra Berhad Nasaruddin, Perak memenangi Anugerah Terbaik Kategori Kilang Sawit Terbaik pada Majlis Felcra Visionary Awards 2024, baru-baru ini.

 

Beliau yang merangkul Anugerah Terbaik Kategori Kilang Sawit Terbaik menggunakan teknologi dan inovasi dalam pengoperasian ladang sebagai matlamat utama syarikatnya.

“Inovasi pengurusan ladang ini juga bukan sahaja memberikan keuntungan kepada syarikat malah mengaplikasi daya saing yang tinggi dalam kalangan pekerja dan syarikat lain.

“Inovasi pengurusan ladang ini kami sudah mulakan sejak awal tahun ini apabila kami ingin memberikan fokus kepada masalah utama iaitu bagaimana untuk kilang dan ladang sawit ini dapat meningkatkan hasil dengan cepat dan mudah.

“Dengan pengurusan yang cepat, kilang kami dapat menghasil produktiviti yang tinggi sekali gus meningkatkan keuntungan syarikat berbanding kaedah lama yang diterapkan sebelum ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN