IKMa perkasa gerakan koperasi, buka cawangan di Ipoh

IKMa perkasa gerakan koperasi, buka cawangan di Ipoh

EWON Benedick merasmikan pembukaan pejabat baharu Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di Ipoh, kelmarin. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) terus memperkasakan gerakan koperasi di negara ini melalui pembangunan pendidikan dan program latihan dengan pembukaan pejabat baharu di Ipoh, kelmarin.

Perasmian pejabat baharu IKMa Cawangan Ipoh itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.

Menurut Ewon, cawangan terbaharu itu akan menjadi pusat kecemerlangan pembangunan pendidikan bagi koperasi dengan menawarkan program latihan termasuk pengurusan kewangan, keusahawanan dan digitalisasi.

Malah katanya, cawangan yang beroperasi sepenuhnya sejak tahun lalu itu juga akan membantu memperkasakan 1,734 koperasi berdaftar di Perak menerusi khidmat bimbingan dan program.

“Di Perak ketika ini mempunyai 1,734 koperasi berdaftar sekali gus berada di kedudukan ketiga tertinggi dengan 11 buah koperasi tersenarai dalam kategori 100 koperasi terbaik.

“Saya yakin dengan pejabat baharu di negeri ini, ia dapat membantu menggerakkan lagi pencapaian dan sumbangan gerakan koperasi di Perak kepada aktiviti ekonomi negara kita.

“Ini dibuktikan dengan tersenarainya 11 buah koperasi di Perak dalam senarai 100 koperasi terbaik seluruh negara,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan pejabat baharu itu di Kompleks Perdagangan DWJ@Meru di Bandar Meru Raya, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Modal Insan IKMa, Mohd. Zaib Mat Yunus; Ketua IKMa Cawangan Ipoh, Nur Faeza Yahya; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Datuk Dr Rosli Mat Hassan dan Pengerusi Yayasan Pembangunan Sosioekonomi Islam (ISDEF), Mohd. Najib Mohd. Noor.

Pada majlis sama, Ewon turut melancarkan tabung pendidikan bagi membantu pelajar golongan berpendapatan rendah (B40) melanjutkan pengajian di UKKM.

Tabung pendidikan hasil inisiatif UKKM bersama Yayasan Pembangunan Sosioekonomi Islam (ISDEF) itu bertujuan membantu pelajar-pelajar yang layak meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan.

Mengulas lanjut, Ewon berkata, di peringkat kementerian, pihaknya akan terus mengadakan kerjasama dan pelbagai libat urus serta inisiatif untuk membangunkan gerakan koperasi.

“Kita juga mengalu-alukan inisiatif pelbagai pihak yang mahu bekerjasama dengan institusi koperasi seperti mana tabung pendidikan yang dilancarkan hari ini merupakan kerjasama antara UKKM bersama ISDEF,” katanya.

Tambah beliau, IKMa menawarkan lebih 262 modul dengan lebih 700 kursus telah diadakan di seluruh negara pada tahun ini.

“Pada tahun hadapan, kita menyasarkan untuk melaksanakan sebanyak 800 kursus di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN