PETALING JAYA: Grab Malaysia menganjurkan kejohanan bola sepak komuniti Piala Rakan Grab di seluruh Malaysia untuk menyemarakkan semangat keakraban dan perpaduan dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar Grab.
Selain itu, dengan hubungan terdahulu antara Grab Malaysia dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), kedua-dua organisasi itu juga akan bekerjasama untuk menganjurkan klinik bola sepak di seluruh negara.
Klinik ini bertujuan memberi anak-anak rakan Grab peluang berharga untuk meningkatkan kemahiran mereka sambil mengambil bahagian aktif dalam sukan ini.
Dengan lebih 1,200 rakan Grab, keluarga mereka dan pemain MFL, kejohanan ini telah dianjurkan di Kuantan, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Kota Bharu, Pulau Pinang, Kuching, Johor Bahru, Ipoh serta Kota Kinabalu selama tiga minggu.
Acara ini menyediakan sebuah platform unik untuk rakan Grab berhubung dengan wira bola sepak mereka, mengukuhkan ikatan komuniti dan menyatukan peserta dalam semangat bola sepak.
Dalam pada itu, acara-acara di Selangor dan Kuala Lumpur memang tidak dapat dilupakan, kerana ia diserikan dengan kehadiran penuh semangat oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang diberi penghormatan untuk memulakan temasya tersebut.
Sokongan beliau meningkatkan lagi keterujaan dan semangat peserta, menjadikan acara ini benar-benar istimewa.
Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan turut berkongsi pandangannya tentang inisiatif ini dengan berkata, beliau teruja melihat Grab Malaysia melibatkan diri dengan komuniti rakan Grab di seluruh negara melalui bola sepak—sukan yang amat diminati oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Dengan membawa inisiatif ini ke seluruh negara, ia bukan sahaja memupuk kecintaan terhadap sukan ini tetapi juga perpaduan dan hubungan antara warga Malaysia.
“Klinik bola sepak juga akan menyediakan peluang yang tidak ternilai kepada semua orang yang mengambil bahagian, memupuk bakat di peringkat awal, memberi inspirasi dan menyokong generasi seterusnya untuk menerusi minat mereka dalam bola sepak,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, Piala Rakan Grab bukan sahaja menyediakan cara untuk melibatkan diri dengan mereka di luar kerja harian mereka, tetapi juga mengukuhkan lagi ikatan melalui persaingan yang mesra.
“Melalui bola sepak, kami berharap kami dapat memupuk perpaduan, kerjasama, dan mewujudkan kenangan yang berkekalan. Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan kami terhadap kuasa sukan untuk menyatukan komuniti dan mengukuhkan komitmen kami untuk menyokong rakan Grab dengan cara yang bermakna,” katanya.
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Grab Malaysia untuk menyokong dan melibatkan rakan-rakannya. Melalui usaha komuniti seperti Piala Rakan Grab dan klinik bola sepak, Grab Malaysia berhasrat memperkasakan rakan Grab, mengukuhkan hubungan, dan menyumbang kepada perkembangan komuniti yang rancak di seluruh Malaysia.