PETALING JAYA: AMS Caddy Academy menggesa pihak berkuasa tempatan dan kerajaan dari kementerian serta agensi-agensi berkaitan agar segera menangani isu kehadiran warga asing yang bekerja sebagai kedi tanpa permit sah di kelab-kelab golf di seluruh negara.
Pengarah Urusan AMS, Low Hock Kai berkata, kehadiran kedi asing tanpa permit sah bukan sahaja melanggar undang-undang imigresen, malah mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan yang berminat menceburi kerjaya sebagai kedi.
“Kita harus memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia untuk mengisi jawatan ini, yang seharusnya menawarkan pendapatan stabil serta peluang peningkatan kemahiran,” katanya.
Seiring dengan usaha ini, Pengarah Program AMS, Chong Chee Ming, turut menyatakan bahawa akademi tersebut sedia menawarkan latihan khusus untuk rakyat tempatan yang ingin menjadi kedi profesional.
Program ditawarkan AMS, katanya, menyediakan modul latihan komprehensif yang meliputi semua aspek kerja kedi, dari pengendalian peralatan hingga komunikasi pelanggan.
“Kami mengambil lingkungan umur 18-30 tahun dan mereka ini semuanya akan diberikan latihan yang mencukupi selama sepuluh hari untuk dilatih untuk menjadi kedi yang lebih berpengalaman.
“Kita yakin dengan latihan dan kemahiran yang diberikan oleh AMS, para graduan program ini mampu menjadi kedi profesional yang berdaya saing,” ujar Chong.
Sementara itu, Ketua Pemasaran AMS, Jarrod Reginald, menekankan kepentingan kerjasama kelab golf dengan badan akademi tempatan seperti AMS.
Beliau turut berharap lebih banyak kelab golf negara ini akan membuka peluang kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan sebagai kedi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti tempatan.
“Kerjaya sebagai kedi bukan hanya menawarkan pendapatan yang stabil, tetapi juga pengalaman kerja yang unik dan menarik dalam industri golf.
“Kami di AMS bersedia memainkan peranan utama dalam melahirkan kedi tempatan yang berkualiti,” kata Jarrod.
AMS berharap tindakan tegas daripada pihak berkuasa dapat mengawal kemasukan kedi asing tanpa permit dan dalam masa yang sama, memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk menjadikan kerjaya ini sebagai sumber pendapatan tetap dengan sokongan latihan profesional daripada AMS Caddy Academy.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, hanya 324 daripada 2.4 juta pekerja asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) didapati bekerja sebagai kedi, iaitu antara subsektor perkhidmatan ditetapkan pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mana-mana kelab golf yang menggajikan pekerja asing tanpa PLKS yang sah adalah melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Katanya, individu bukan warganegara yang mempunyai dokumen perjalanan tetapi tidak mempunyai pas lawatan sah juga merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI). – UTUSAN