KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia meraikan penggiat industri pembinaan tanah air dengan menganjurkan Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) melibatkan projek pembinaan dari April 2019 hingga 31 Disember 2023.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr. Mohd. Zaid Zakaria berkata, MCIEA bertujuan mengiktiraf pemain industri daripada hasil binaan, organisasi dan juga individu.
“Penilaian pemenang, pemilihan dan penghakiman akhir melalui proses kehakiman yang ketat dan telus dengan beberapa pusingan semakan oleh 40 penilai dan enam orang juri yang dilantik khas.“Memandangkan MCIEA tidak diadakan sejak empat tahun lalu, pada tahun ini, CIDB membenarkan lebih daripada seorang pemenang dan penamaan khas diiktiraf dalam setiap kategori yang ditetapkan oleh juri,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, anugerah itu juga diadakan bagi meraikan keseluruhan ekosistem industri pembinaan, mengiktiraf sumbangan daripada semua peringkat, daripada individu yang bercita-cita tinggi hingga kepada firma besar yang menjalankan projek dengan cemerlang.
“Setiap kategori dinilai berdasarkan pada aspek industri yang berbeza seperti sumbangan, standard kualiti tinggi, keselamatan dan penjagaan alam sekitar.
“Anugerah ini juga bukan sekadar meraikan kejayaan mereka tetapi juga meraikan kekuatan, semangat dan usaha mereka mengejar kecemerlangan tanpa henti dalam memberikan yang terbaik dalam industri ini,” ujarnya.
Selain itu, Mohd. Zaid berkata, setiap projek dan inovasi yang dilaksanakan merupakan satu langkah ke arah Malaysia yang lebih baik untuk masa hadapan generasi.
“Pemenang yang menerima anugerah ini telah menunjukkan pencapaian yang baik dan menunjukkan inspirasi yang tulen sebagai pemain industri tempatan.
“Kami sememangnya menggalakkan pemain tempatan memimpin industri pembinaan melalui kecemerlangan mereka dalam pembinaan dan peningkatan piawaian industri pembinaan Malaysia yang moden, produktif dan mampan.
“Saya berharap ramai lagi pemain industri berusaha untuk meningkatkan kualiti dan menunjukkan kecemerlangan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Mohd. Zaid berkata, dengan pergerakan memasuki pelan strategik pembinaan 4.0, syarikat pembinaan digalakkan ke arah digitalisasi termasuk penggunaan Building Information Modelling (BIM), teknologi drone dan banyak lagi.
“Kami juga menggalakkan semua pemain industri, tidak kira saiz untuk beralih kepada digitalisasi. Banyak aplikasi mudah alih kini tersedia untuk mempermudah pengurusan dan operasi dalam sektor pembinaan.
“Inovasi adalah teras yang kami tekankan untuk memastikan industri pembinaan negara terus berkembang pesat,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, menjelang tahun 2025, industri pembinaan akan mengalami perkembangan yang lebih pesat dan akan menyaksikan pembinaan projek yang lebih besar.
“Oleh itu, banyak syarikat perlu mempersiapkan diri dengan menjadi lebih efisien dan berdaya saing.
“CIDB juga telah menyediakan platform dan sokongan untuk membantu syarikat pembinaan, tidak kira besar atau kecil, agar mereka dapat terus berkembang dalam industri yang dijangka berkembang pantas pada tahun hadapan,” jelasnya.
Sidang akhbar tersebut turut dihadiri semua pemenang lima anugerah utama yang disampaikan dalam satu majlis malam tadi.
Pengiktirafan pemain industri pembinaan Malaysia
Sementara itu, penghormatan tertinggi melalui Prominent Player Award diberikan kepada Pengerusi Lim Seong Hai Capital Berhad, Tan Sri Lim Keng Cheng atas dedikasinya selama lebih tiga dekad dalam membentuk landskap binaan Malaysia.
Pencapaiannya dalam pembangunan infrastruktur dan hartanah serta komitmen teguh terhadap kelestarian telah menjadikan beliau sebagai tokoh utama dalam industri dan meninggalkan kesan mendalam terhadap landskap pembinaan Malaysia.
Menurut Keng Cheng yang turut hadir pada sidang akhbar itu, anugerah tersebut mempunyai makna yang tersendiri untuk dirinya kerana ia merupakan satu bentuk penghormatan kepada ayahnya.
“Pencapaian yang diterima bukan hanya pencapaian peribadi, tetapi simbol penghormatan saya kepada arwah ayah.
“Apabila saya tamat sekolah menengah, saya tidak berpeluang ke universiti. Tetapi, itu tidak menghalang saya dalam membina kerjaya dan syarikat saya telah membina dua buah universiti termasuk di Sabah.
“Saya juga berjaya merealisasikan impian untuk mengubah Kuala Lumpur. Saya menjadikan sesuatu yang mustahil itu kepada kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, syarikatnya telah berjaya membina sistem jalan raya di Kuala Lumpur dan merealisasikan impian dengan dana sebanyak RM3.6 billion.
“Ini adalah impian saya sejak umur 10 tahun. Waktu itu, ayah saya sering sakit dan perlu ke hospital, yang mengambil masa dua hingga tiga jam perjalanan.
“Saya memasang niat untuk membina lebuh raya yang boleh mengurangkan masa perjalanan dan membantu orang dengan membangunkan infrastruktur sebegitu” katanya.
Pada tahun ini, IAQ Solutions Sdn. Bhd. juga diangkat sebagai penerima anugerah Builder of the Year melalui salah satu projek utama iaitu Loji Pengeluaran Ujian Robert Bosch.
Ditubuhkan pada tahun 1994 sebagai pakar bilik bersih (cleanroom), IAQ Solutions Sdn. Bhd. telah berkembang dan berjaya sebagai penyedia penyelesaian fasiliti menyeluruh untuk industri khusus seperti semikonduktor, loji petrokimia dan farmaseutikal.
Bermula dengan sebuah pejabat kecil di Shah Alam dan hanya beberapa pekerja, syarikat itu kini telah mengukuhkan kehadiran globalnya dengan 12 pejabat di tujuh negara, termasuk China, Poland, dan Maghribi serta memiliki pelanggan ternama seperti Bosch, Western Digital, Silterra dan juga Texas Instruments.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tiew Soon Aik berkata, penghargaan itu merupakan pengiktirafan khas CIDB kepada syarikatnya yang telah lama berkhidmat dalam sektor pembinaan negara.
Menurutnya, penghargaan itu hadir tepat pada masanya kerana syarikat IEQ kini telah mencapai usia 30 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1994.
“Syarikat ini yang bermula sebagai penyedia perkhidmatan kejuruteraan telah berkhidmat kepada pelbagai syarikat multinasional (MNC) besar seperti Motorola, Intel dan CarSams yang melabur di Malaysia khususnya dalam sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor.
“Pada tahun 1994, kami memulakan perniagaan ini untuk menyokong keperluan syarikat-syarikat berteknologi tinggi yang melabur di negara ini dan kemudian kami berkembang dari Malaysia ke tanah besar China pada tahun 2000 kami dijemput untuk menyokong pengembangan industri mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, beliau bangga kerana menjadi sebuah entiti Malaysia yang membawa jurutera tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, pihaknya mahu membuktikan kepada negara Barat bahawa rakyat Malaysia mampu bersaing malah boleh setanding dengan syarikat dari Eropah.
Sementara itu, pencapaian luar biasa WCT Berhad dalam melaksanakan projek pembangunan di Lusail, Doha, Qatar telah membantu mereka mendapat International Achievement Award pada tahun ini.
Kejayaan dalam menyiapkan infrastruktur dan kerja-kerja awam di kawasan seluas 38 kilometer persegi dalam menjadi sebuah hab bandar bertaraf dunia termasuk Stadium Lusail iaitu lokasi perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2022 menjadikan mereka pemenang bagi kategori itu.
WCT Berhad memainkan peranan penting dalam menyiapkan semua aspek projek kompleks termasuk 11 kilometer jalan dalaman, tempat letak kereta bawah tanah dan rangkaian utiliti rumit untuk bekalan kuasa, air, dan telekomunikasi.
Kerja-kerja mereka juga meliputi seni bina, struktur, dan sistem mekanikal, elektrik, serta paip (MEP) untuk stesen janakuasa dan LRT menggabungkan reka bentuk inovatif dengan teknologi canggih.
Projek pembangunan Lusail telah menetapkan penanda aras baharu untuk kecemerlangan dalam pembinaan antarabangsa. Pertumbuhan luar biasa WCT Berhad dari sebuah firma pembinaan tempatan kepada pemain global yang kukuh menjadikan mereka inspirasi kepada industri ini.
Pengarah Urusan WCT Berhad, Anthony Teoh Teik Thiam berkata, pelbagai rintangan berjaya diatasi termasuk pandemik Covid-19 dan sekatan darat, laut serta udara ke atas Qatar antara 2017 hingga 2021 dalam menjayakan projek itu.
“Projek ini dijalankan dalam tempoh yang mencabar, namun kami berjaya menyiapkannya tepat pada masanya, melebihi standard yang ditetapkan.
“Dengan penerapan sistem maklumat binaan (PIM), kami dapat mengurangkan pembaziran, kos,dan masa, sekali gus meningkatkan kelestarian projek,” katanya.
Tambahnya, syarikat akan terus komited untuk memperkukuh kehadiran mereka di Asia Barat termasuk Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), sambil meneroka peluang projek baharu di rantau itu.– UTUSAN