Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, melalui sebuah platform media sosial, telah menegur segelintir pihak yang tidak menghargai usaha beliau memartabatkan bahasa Melayu di negara ini melalui penggunaan istilah baharu.
Ujar beliau, seorang pemimpin harus mempertingkatkan penggunaan bahasa sebagai usaha mendidik masyarakat, khususnya anak-anak, dengan menggunakan bahasa dengan lebih bijaksana.
Justeru, penggunaan pelbagai istilah baharu sama ada dalam bentuk komunikasi harian mahupun melalui prakarsa lain melibatkan pelbagai sektor dan organisasi merupakan langkah kerajaan untuk menarik minat masyarakat menggunakan bahasa dengan lebih berkesan.
Antara perkataan yang beliau perkenalkan termasuklah ketimbang, alaf, mampan, telus dan kesenjangan. Perkataan-perkataan ini bukanlah baharu, tetapi telah ada dalam kamus mahupun dalam pertuturan serta penulisan masyarakat.
Sememangnya tidak salah perkataan-perkataan ini digunakan selagi ia berada dalam konteks yang sesuai. Kita percaya, bilamana seorang pemimpin negara berjuang menyatukan jiwa rakyat melalui bahasa, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menolak, mahupun mensia-siakan usaha ini.
Jika Bukan Pemimpin, Siapa Lagi?
Persoalannya, jika bukan pemimpin yang memperkasakan bahasa kebangsaan kita, siapa lagi? Tidak dinafikan, bahasa dan budaya merupakan antara elemen terpenting yang mencorak kemajuan dan kemakmuran sesebuah bangsa.
Dalam era globalisasi berteras teknologi yang meletakkan dunia di sebuah landasan tanpa sempadan, bahasa dan budaya seharusnya menjadi wahana jati diri negara bangsa. Ini penting demi mengimbangi perkembangan masyarakat yang terdedah kepada unsur-unsur budaya asing serta pengaruh luar yang lain.
Untuk itu, pemerkasaan bahasa Melayu dilihat sebagai usaha yang begitu didambakan, kerana bahasa dan budaya merupakan cerminan keperibadian diri masyarakat kita. Sebagai alat perhubungan yang diiktiraf lebih daripada sebuah negara, bahasa Melayu juga didampingi budaya dan sejarah peradaban masyarakat yang hebat.
Semua ini dikongsi oleh masyarakat dan kerajaan yang berada di bawah rumpun yang sama, atau lebih dikenali sebagai Rumpun Melayu. Bahasa ini bukan milik individu tetapi dimiliki setiap penuturnya sehingga ia dapat berkembang menjadi bahasa ilmu yang tersohor pada hari ini.
Justeru, adakah bahasa dan budaya Melayu kian tercabar dengan kerenah globalisasi atau berperanan dalam merencanakan agenda globalisasi dunia agar manfaatnya dapat dikongsi bersama?
Agenda Memartabatkan Bahasa Melayu
Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai contoh, perjuangan Universiti Watan ini dalam memartabatkan bahasa Melayu bukanlah retorik semata-mata. Pelbagai prakarsa telah diambil sejak awal penubuhan UKM, sehinggalah ke hari ini.
Antaranya, pelantikan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA UKM) sebagai Sekretariat Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Negara-negara ASEAN oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tanggal 7 Mac 2022, pelaksanaan Kongres Antarabangsa Bahasa dan Tamadun Alam Melayu serta pembangunan portal malaycivilization.com.my yang menghimpun jutaan bahan ilmiah dari pelbagai bidang.
Terkini, UKM telah diberi mandat untuk memperkasa bahasa Melayu melalui pengintegrasian teknologi, khususnya teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pembentangan Belanjawan Madani yang berlangsung baru-baru ini.
Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam turut menyokong kenyataan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) yang menyeru semua pihak agar mengutamakan bahasa Melayu sebagai agen pembinaan identiti kebangsaan tanpa meminggirkan bahasa-bahasa yang lain.
Universiti Awam Malaysia akan terus menyahut apa jua saranan dan hasrat kerajaan dalam merencanakan agenda pengukuhan bahasa Melayu di rantau ini.
Program-program pengajian bahasa Melayu juga sentiasa diperkasa di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Kursi Pengajian Melayu KPT yang telah ditubuhkan di beberapa buah institusi seluruh dunia seperti BFSU China, Ohio University di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda, Victoria University di New Zealand, Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan dan Rusia menjadi bukti penerimaan bahasa Melayu di persada antarabangsa.
Sehubungan itu, tindakan Perdana Menteri Malaysia memperkenalkan pelbagai istilah bahasa kepada masyarakat supaya ia dapat diperluas dan diintegrasikan dalam konteks yang lebih menyeluruh dilihat sebagai suatu usaha yang sangat bermakna.
Tidak Perlu Mempersenda
Kita ingin menyeru seluruh masyarakat di luar sana agar lebih cakna terhadap penggunaan istilah bahasa Melayu yang mempunyai keunikan serta kesenian tersendiri. Tidak perlu berasa malu untuk bertutur menggunakan perkataan-perkataan yang jarang didengar.
Pada masa yang sama juga, kita juga tidak perlu mempersenda usaha mana-mana sahaja pemimpin yang menggunakan tapak politik bagi mempopularkan kosa kata bahasa Melayu. Hasrat yang membawa manfaat seharusnya disokong demi keharmonian masyarakat dan negara dan bukan dijadikan bahan sanggahan yang boleh mencemar keindahan budaya bangsa yang kita pertahankan. – UTUSAN