KUALA TERENGGANU: Seramai 929 pesara guru dan kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) diraikan dalam Majlis Sekalung Budi, Sejunjung Kasih dan Kenangan Abadi, di Taman Tamadun Islam, di sini, baru-baru ini.
Majlis tersebut adalah tanda penghargaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas perkhidmatan yang telah dicurahkan oleh kesemua pesara tersebut sepanjang mencurah bakti di JPNT selama ini.
Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, persaraan adalah satu permulaan yang positif untuk mereka terus mencurah kepakaran dan pengalaman yang ada bagi memperkasakan sektor pendidikan di Malaysia.
“Anda semua adalah ibarat permata yang sentiasa berkilau dan berharga kerana begitu banyak berjasa sepanjang tempoh berkhidmat di bawah KPM.
“Komitmen dan dedikasi anda semua amatlah tinggi nilainya dan tidak terbalas dengan wang ringgit demi menggalas tanggungjawab dan amanah yang diberi.
“Kerajaan Madani amat menghargai peranan penting guru dan warga pendidikan dalam membangunkan negara selama ini dan berharap khidmat bakti ini akan diteruskan dalam pelbagai program kemasyarakatan demi menjunjung profesionalisme perguruan yang mulia,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut, di sini,
Kesemua pesara itu adalah terdiri daripada pegawai, warga pendidik dan anggota kumpulan pelaksana yang telah bersara wajib, bersara pilihan dan bersara atas sebab kesihatan bagi tempoh Ogos 2023 sehingga Ogos 2024 lalu.
Dalam pada itu, Azman turut berharap agar semua pesara dapat mengisi masa yang terluang dengan lebih banyak aktiviti berfaedah selepas ini.
“Saya ingin berpesan supaya anda semua terus mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat kerana mencegah adalah lebih baik dari mengubati.
“Tuan puan sewajarnya memastikan kesihatan fizikal dan mental dijaga baik secara berterusan agar usia berpencen dapat dinikmati dengan penuh kebahagiaan.
“Saya juga berharap agar semua sentiasa berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan penipuan kewangan pelaburan atau ‘scammer’ kerana modus operandi mereka banyak yang menyasarkan para pesara sebagai mangsa,” katanya.
Sementara itu, beberapa pesara yang ditemui mengakui sangat teruja kerana diraikan dalam majlis yang istimewa sebagai kenangan terakhir bersama rakan-rakan sekerja di JPNT.
Mantan Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPNT, Azman Othman, 60, berkata, setiap kenangan yang pernah dilalui sepanjang bertugas 34 tahun akan sentiasa terpahat dalam ingatan.
“Saya mahu bergiat aktif dalam Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Terengganu kerana percaya masih banyak boleh disumbangkan kepada masyarakat melalui pengalaman yang ada.
“Sedikit ilmu yang ada ini akan saya terus kongsikan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan kerana ia adalah amal jariah yang akan menjadi bekalan di sana nanti,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD JPNT, Awi Salleh, 60, berkata, beliau bersedia untuk terus menabur bakti sekiranya diperlukan selepas ini.
“Walaupun bergelar pesara, masih banyak yang boleh dilakukan untuk masyarakat di luar sana dengan menyertai aktiviti kebajikan dan komuniti setempat.
“Pesara boleh menggunakan pengaruh yang ada untuk menyebarkan kebaikan agar meninggalkan impak positif terhadap orang di sekeliling mereka,” katanya.
Seorang lagi pesara, Kasman Embong, 60, pula berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan terutama Kementerian Pendidikan di atas pelbagai penambahbaikan yang dilakukan untuk membela kebajikan mereka.
Bekas Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran JPNT itu berkata, usaha kerajaan dalam menambah baik sistem pendidikan negara juga wajar dihargai kerana telah berjaya mencapai matlamat kemenjadian modal insan.
“Sebagai pesara sudah tentulah kami akan sentiasa menyokong apa juga usaha murni yang kerajaan lakukan pada masa akan datang demi melahirkan generasi muda yang berwawasan,” katanya. – UTUSAN