834 graduan KPYPJ terima diploma,sijil hari ini

834 graduan KPYPJ terima diploma, sijil hari ini

Ungku Mohd. Tahir Ungku Mohd. Zakaria
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seramai 834 gra­duan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) hari ini menerima sijil dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-25 di Dewan Besar, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), di sini.

Daripada jumlah itu, seramai 504 orang merupakan graduan KYPJ manakala baki 330 adalah graduan Kolej Kemahiran Johor (KKJ) dari tiga buah kolej cawangannya di Johor Bahru, Muar dan Batu Pahat.

Graduan KYPJ merupakan penerima diploma dari 12 program pengajian, antaranya Pengurusan Sumber Manusia, Perakaunan, Pengurusan Perhotelan, Seni Kulinari, Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman, Kejuruteraan Elektrik, Pengurusan Teknologi (Perakaunan) dan Pengajian Perniagaan.

Gaduan KKJ pula menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) daripada tujuh kursus, iaitu Automotif, Pastri, Pendawaian Elektrik, Pembuatan Makanan, Pengurusan Pejabat, Sistem Komputer dan Jahitan Pakaian.

Para graduan menerima diploma dan sijil masing-masing daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Johor, Aznan Tamin yang merupakan wakil rasmi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Majlis Konvokesyen itu juga menyaksikan penganugerahan­ Penerima Pingat Emas YAB Menteri Besar Johor bagi graduan paling cemerlang KYPJ serta KKJ dan penerima akan membawa pulang pingat emas, dinar emas, piala pusingan dan sijil.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPYPJ, Ungku Mohd. Tahir Ungku Mohd. Zakaria berkata, kejayaan gra­duan KPYPJ pada setiap majlis konvokesyen membuktikan kemampuan KPYPJ bergerak ­se­iring dengan institusi pe­ngajian tinggi lain dalam membekalkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu mendepani cabaran semasa.

Menurutnya, sejak penubuhan KPYPJ 28 tahun lalu, kolej-kolej KPYPJ telah berjaya melahirkan lebih 30,0000 graduan dalam pelbagai bidang yang kini berada dalam pasaran pekerjaan di dalam mahupun luar negara.

Jumlah itu menunjukkan betapa besar peranan KPYPJ dalam mendidik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sekolah, khususnya di negeri ini menerusi peluang pendidikan yang disediakan sejak lebih dua dekad lalu.

Beliau memberitahu, KPYPJ ditubuhkan pada 1996 setelah kerajaan negeri mendapati terdapat kira-kira 27,000 lepasan SPM di negeri ini tidak mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan telah memilih menceburi alam pekerjaan di sektor perindustrian dengan kelulusan dan kemahiran yang terhad.

Justeru, penubuhan KPYPJ membolehkan ribuan pelajar negeri ini menyambung pelajaran ke peringkat sijil dan diploma seperti yang dapat disaksikan pada hari ini.

“KPYPJ juga tidak pernah ketandusan para pelajar cemerlang dalam akademik mahupun kurikulum, buktinya pada setiap majlis konvokesyen terdapat penerima Anugerah Pingat Emas YAB Menteri Besar Johor apabila mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.66 hingga 3.80 dan ke atas,’’ katanya.

Beliau berharap graduan KPYPJ tidak menjadikan kejayaan bergraduasi sebagai penamat proses pembelajaran kerana ia perlu diteruskan ke peringkat lebih tinggi selain meneroka bidang-bidang baharu yang mampu memberi nilai tambah kepada kehidupan.

Ungku Mohd. Tahir juga mengingatkan para graduan KPYPJ supaya mempersiapkan diri bagi mendepani cabaran era digitalisasi dan Revolusi Industri 4.0 yang menyaksikan sebahagian besar pekerjaan bakal digantikan dengan teknologi termaju yang memberi kesan dalam pasaran buruh.

Graduan KPYPJ perlu peka terhadap kehendak industri dengan mempersiapkan diri dengan kemahiran teknologi terkini serta mempertingkatkan kemahiran komunikasi digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN