70 syarikat industri pembinaan raih anugerah prestij MCIEA 2024

70 syarikat industri pembinaan raih anugerah prestij MCIEA 2024

MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tengah) yang turut diiringi timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan (sembilan dari kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim (tujuh dari kanan), Pengerusi CIDB, Ir Haji Yusuf Abd Wahab (tujuh dari kiri) dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr. Mohd. Zaid Zakaria (enam dari kanan) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024 yang berlansung di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, Isnin lalu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) telah menganugerahkan 70 penerima daripada pelbagai syarikat dan individu dalam sektor pembinaan sempena Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2024 (MCIEA 2024) yang berlangsung di M Resort & Hotel di sini Isnin lalu.

Anugerah kecemerlangan tersebut merangkumi lima kategori iaitu Anugerah Kontraktor Terbaik, Anugerah Projek Terbaik (untuk kategori Projek Bangunan dan Projek Infrastruktur), Anugerah Pencapaian Antarabangsa,Anugerah Jurubina Terbaik, dan Anugerah Tokoh Terkemuka.

Pengerusi Lim Seong Hai Capital Berhad, Tan Sri Datuk Seri Lim Keng Cheng (tiga dari kanan) menerima Anugerah Terkemuka yang disampaikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024 yang berlangsung di M Resort & Hotel Kuala Lumpur, Isnin lalu.

70 penerima anugerah itu meliputi pelbagai kategori termasuk projek, klien, kontraktor, arkitek, jurutera, juruukur bahan serta individu.

Turut hadir dan menyampaikan anugerah berprestij itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim, Pengerusi CIDB, Ir. Yusof Wahab, dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr Mohd. Zaid Zakaria.

Penerima Anugerah Kontraktor Terbaik Gred 1, Pengurus Sinar Development, Mohammad Atiff Ghazali berkata, pengiktirafan itu adalah salah satu pengiktirafan bagi syarikatnya yang telah bersusah payah dalam menghadapi cabaran dalam industri pembinaan.

“Ini adalah merupakan satu penghargaan daripada pihak CIDB dan kami sangat berterima kasih kepada CIDB kerana memberikan peluang dan ruang kepada kami untuk anugerah ini.

“Melangkah ke hadapan, saya merasakan ini adalah titik pemula bagi kami dan banyak lagi perkara-perkara baharu seperti teknologi dalam Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 dan teknologi lain yang akan dimasukkan ke syarikat ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, syarikat itu, menggunakan pendekatan penggunaan teknologi zaman kini untuk memudahkan segala urusan.

“Sebagai contoh, dahulu untuk mencari tender, kami perlu merujuk kepada surat khabar dan sumber-sumber lain yang lebih konvensional. Namun, kini kami mempunyai aplikasi yang memudahkan proses ini, menjadikannya lebih cepat dan efisyen untuk diakses.

“Melalui aplikasi tersebut, kami dapat mencari pelbagai tender, bukan sahaja tender kerajaan tetapi juga tender swasta dan lain-lain.

“Salah satu perkara yang sangat penting, terutamanya bagi kontraktor masa kini, adalah keperluan untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap apa yang dilakukan.

“Sebagai contoh, adalah lebih baik untuk memberi tumpuan kepada satu bidang khusus terlebih dahulu, sebelum memperluaskan skop ke arah yang lebih besar dan menyeluruh,” katanya.

SENARAI pemenang anugerah MCIEA 2024

Sementara itu, Pengurus Putek Niaga Enterprise, Mohd. Shukor Ariffin, penerima Anugerah Kontraktor Terbaik Gred 2 berkata, dengan adanya anugerah CIDB itu, ia boleh membantu syarikat-syarikat kontraktor untuk meningkatkan semangat dan menilai tahap pencapaian masing-masing.

“Ini adalah anugerah yang terbaik dalam kerjaya saya dan juga syarikat. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pekerja dan juga klien kami yang telah memberi kepercayaan kepada pihak kami.

“Dengan adanya anugerah ini, kami berharap akan terus maju, dan insya-Allah, jika ada rezeki, saya akan menaikkan lagi gred syarikat untuk pasaran yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, syarikat itu menerapkan amalan 5M yang membantu dalam mencapai kejayaan syarikat untuk menerima penganugerahan tersebut.

“Alhamdulillah, kami menerapkan pendekatan 5M, iaitu Management (Pengurusan), Material (Bahan), Machinery (Jentera) dan Money (Kewangan), di mana kelima-lima aspek ini amat penting dalam segala urusan dan produktiviti syarikat.

“Kami juga berharap pihak kerajaan akan terus membantu kontraktor dengan meningkatkan kuota atau modal pinjaman. Ini boleh memberi peluang kepada syarikat bumiputera untuk berkembang lebih jauh,” katanya.

Bagi penerima Anugerah Kontraktor Terbaik Gred 3, Pengarah Khariz Builders (M) Sdn. Bhd., Ibrahim Hanif Md. Ghazali berkata, anugerah itu melambangkan hasil kerja keras pasukannya yang telah berkecimpung lama dalam industri pembinaan di Malaysia.

“Alhamdulillah, untuk masa hadapan, syarikat kami bersedia membantu kontraktor-kontraktor baru yang ingin menceburi bidang pembinaan dan akan berusaha keras untuk memajukan industri ini dengan memberikan sedikit bimbingan kepada mereka yang memerlukan.

‘InsyaAllah, dengan usaha kami dan pengalaman yang boleh dikongsikan kepada mereka ini, industri pembinaan akan terus berkembang serta menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu menekankan kualiti, integriti, dan ketelusan dalam semua aspek operasi sebagai strategi utama dalam mendapatkan pengiktirafan itu.

“Dari aspek pengurusan projek sehingga selesai, kami akan memastikan setiap langkah yang dilakukan perlu memenuhi standard tertinggi untuk memberikan hasil yang terbaik daripada syarikat kami,” katanya.

Dalam pada itu, penerima Anugerah Projek Terbaik kategori Projek Infrastruktur Besar, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zarif Hashim berkata, pengiktirafan kepada projek Transit Aliran Massa Lembah Klang: Laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya / Laluan 2 merupakan kejayaan besar bagi industri pembinaan negara.

“Projek ini melibatkan skala infrastruktur yang besar serta melibatkan pelbagai pihak. Terima kasih kami diucapkan kepada pihak CIDB, kontraktor utama MMC Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn. Bhd. dan semua kontraktor lain yang berjaya menyiapkan projek ini.

“Walaupun kami berdepan cabaran besar seperti Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dan pandemik COVID-19, projek ini mampu disiapkan sepenuhnya mengikut jadual ditetapkan.

“Kini, laluan ini melayani purata 150,000 pengguna harian dalam masa setahun sejak pembukaannya.

“Ia juga memainkan peranan strategik dalam menghubungkan kawasan utara Kuala Lumpur seperti Jinjang dan Kepong ke pusat bandar, termasuk Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Terowong Tun Razak Exchange (TRX), sebelum menyambung ke Cyberjaya dan Putrajaya,” katanya.

Jelasnya, TRX kini menjadi hab utama yang menghubungkan Laluan Kajang (MRT1) dan Laluan Putrajaya (MRT2) dan memperkukuh kedudukan jaringan rel Lembah Klang.

Sementara itu, Pengarah Projek MMC Gamuda, Adil Putra Ahmad wakil kontraktor utama projek itu, turut menyatakan rasa syukur atas pengiktirafan tersebut.

“Ini adalah hasil kerjasama erat antara kontraktor, konsultan, dan seluruh rantaian bekalan. Kam berharap anugerah ini memberi semangat untuk terus melakukan yang terbaik dalam projek masa hadapan, baik di Malaysia mahupun luar negara.

Beliau turut menekankan pentingnya inovasi dan teknologi baharu dalam pembinaan, terutama dalam menghadapi cabaran luar jangka seperti pandemik.

“Pengalaman semasa COVID-19 mengajar kami untuk beradaptasi dengan cara yang lebih inovatif, memastikan projek dapat diteruskan tanpa mengorbankan kualiti,” katanya.

Sebagai langkah ke hadapan, beliau berkata, industri pembinaan perlu menumpukan kepada pembangunan rantaian bekalan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

“Ini penting agar kita lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan, seperti yang dialami semasa pandemik.

“Bagaimanapun, penganugerahan ini telah mengukuhkan lagi reputasi MRT Laluan Putrajaya sebagai projek infrastruktur unggul yang membawa manfaat besar kepada masyarakat dan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN