KUALA LUMPUR: Sebanyak 36 pemenang diberikan pengiktirafan pada Malam Gala Anugerah HRD 2024 yang dianjurkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, malam tadi.
Malam Gala Anugerah HRD 2024 telah menghimpunkan majikan terkemuka Malaysia, penyedia latihan dan jurulatih bagi meraikan kecemerlangan pembangunan modal insan.
Antara pemenang yang berjaya membawa pulang anugerah pada malam tadi adalah Abbott Penang; Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn; Bermaz Motor Sdn. Bhd.; Microsoft (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Alpha Industries Sdn. Bhd.
Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2001, Anugerah HRD mengembangkan reputasinya dengan muncul sebagai platform utama yang mengiktiraf sumbangan luar biasa dalam sektor pembangunan sumber manusia.
Tahun ini, Anugerah HRD mencatat jumlah penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 493 penyertaan yang menunjukkan suatu peningkatan ketara daripada 369 penyertaan pada tahun 2023.
Majlis berprestij ini turut mendapat penghormatan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Haji Fadillah Haji Yusof dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof.
Fadillah berkata, Anugerah HRD merupakan platform yang cemerlang untuk meraikan organisasi-organisasi yang berada di barisan hadapan dalam kemajuan terkini.
Beliau berkata, syarikat-syarikat ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan tenaga kerja dalaman malah berinovasi dan menetapkan penanda aras baharu dalam bidang sumber manusia.
“Usaha-usaha ini memperkukuh kepimpinan Malaysia di rantau ASEAN ketika kita melangkaui sempadan pembangunan bakat dan menonjolkan kemampuan negara untuk membina tenaga kerja yang tangkas dan bersedia menghadapi masa depan.
“Menjelang tahun 2025, saya yakin bahawa masa depan menyediakan peluang yang tiada batasan untuk tenaga kerja kita cemerlang. Platform pembelajaran digital, alat latihan yang dipacu oleh AI dan kerjasama global akan membolehkan kita membina kumpulan bakat yang berdaya saing di peringkat tempatan dan global.
“Adalah penting untuk kita terus memanfaatkan peluang-peluang ini dan bergerak maju dengan visi untuk membentuk tenaga kerja yang lebih inklusif dan dinamik,” katanya ketika berucap pada Malam Gala Anugerah HRD 2024 di MITEC, malam tadi.
Turut hadir pada majlis anugerah tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood.
Dalam pada itu, Abu Huraira berkata, anugerah ini adalah satu perayaan terhadap dedikasi, inovasi dan impak kepada setiap penerima yang mewakili masa depan landskap sumber manusia Malaysia.
“Anugerah HRD 2024 telah menjadi penanda aras kecemerlangan, mendorong organisasi dan individu untuk menetapkan piawaian baharu dalam pembelajaran, pembangunan dan pemberdayaan tenaga kerja.
“Tahniah kepada semua calon dan penerima anugerah. Pencapaian anda amat luar biasa dan sumbangan anda sangat berharga.
“Malam ini, kami meraikan anda, bukan sahaja kerana kejayaan anda, tetapi juga kerana inspirasi yang anda berikan kepada kami semua untuk terus maju dengan semangat dan tujuan,” katanya.
Sebanyak empat kategori utama menjadi rebutan pemenang pada Malam Gala Anugerah HRD 2024 iaitu Anugerah Menteri Sumber Manusia, Anugerah HRD Corp, Anugerah Kecemerlangan dan Anugerah Pengiktirafan Khas dalam Pembelajaran dan Pembangunan.
Anugerah-anugerah ini mengukuhkan komitmen Malaysia dalam memupuk pembangunan bakat bertaraf dunia.
Setiap kategori memberi tumpuan kepada aspek berbeza dalam pembangunan modal insan, termasuk latihan kemahiran teknikal, inovasi dalam pembelajaran dan pembangunan kepelbagaian bakat.
Anugerah paling berprestij adalah Anugerah Menteri Sumber Manusia yang diberikan kepada majikan, penyedia latihan dan tenaga pengajar yang mencapai tahap kecemerlangan tertinggi dalam pembangunan modal insan di peringkat nasional.
Sementara itu, Anugerah HRD Corp meraikan organisasi yang memimpin kecemerlangan di peringkat wilayah termasuk semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak.
Anugerah Pengiktirafan Khas dalam Pembelajaran dan Pembangunan pula diberikan kepada organisasi yang menunjukkan sumbangan luar biasa dalam pembangunan kemahiran digital serta memperkukuhkan penyertaan inklusif dalam tenaga kerja negara.
Bagi Anugerah Kecemerlangan pula ia meliputi aspek pembangunan sumber manusia yang luas seperti dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Pengurusan Bakat dan Inovasi Pembelajaran.
Seramai 14 orang penilai terkemuka yang terdiri daripada enam juri luar dan lapan juri dalaman daripada Jawatankuasa Kepimpinan Kanan HRD Corp telah dilantik untuk memilih 36 pemenang pada Malam Gala Anugerah HRD 2024.
Antaranya ialah Naib Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Nik Mustapha Nik Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy dan Naib Presiden Kanan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Amiruddin Abdul Shukor.
Semua penilaian Anugerah HRD 2024 akan melalui proses saringan dan kajian yang ketat bagi memastikan ketelusan, ketepatan dan kredibiliti yang tinggi.
Dalam pada itu, Pengarah Kewangan Alpha Industries Sdn. Bhd, Yeo Sang Ching berkata, syarikatnya memanfaatkan dana yang diberikan HRD bagi semua latihan dan program dalaman.
Syarikat tersebut menerima Anugerah Menteri Sumber Manusia turut berkongsi kejayaan dan rahsia mereka sehingga mengungguli anugerah berprestij pada malam itu.
“Kami juga mempunyai Alpha Golden Funds (AGF) yang merupakan program dalaman serta menghantar pekerja bagi mendapat latihan luar. Jadi, setiap peringkat mempunyai program latihan bagi memenuhi keperluan mereka dan membangunkan potensi agar dapat mencapai berprestasi lebih baik.
“Kami juga mengamalkan tujuh tabiat bagi memastikan setiap pekerja dapat menggunakan AGF dalam operasi harian dan meningkatkan kecekapan serta mencapai matlamat syarikat. Ini adalah perkara unik dalam syarikat kami,” katanya.
Bagi penerima Anugerah Kecemerlangan Dalam Sistem Pembangunan Teknologi Pembelajaran, Pengarah Herh Fuah Sdn. Bhd., Veno Lim Kiang Pang berkata, syarikat perlu menghantar pekerja untuk mendapatkan latihan dan memastikan mereka mempunyai perkembangan yang baik dalam profil mereka.
“Kami sangat jelas melihat kesan daripada perubahan yang dibuat, dari kaedah tradisional ke kaedah baru. Walaupun banyak cabaran, kami terpaksa hadapi semua itu dan mencari cara yang betul untuk mengatasinya.
“Pengurusan juga perlu terus meningkatkan diri mereka, belajar lebih banyak dan barulah kakitangan dapat berkembang bersama. Bukan sahaja staf yang memerlukan latihan tetapi pengurusan juga perlu diberi latihan,” katanya.-UTUSAN
Senarai Pemenang Anugerah HRD 2024