Transformasi kehidupan selepas bersara perkhidmatan ATM

Transformasi kehidupan selepas bersara perkhidmatan ATM

STEVEN Sim (dua dari kiri) mendengar perkongsian pengalaman tiga anggota veteran ATM yang menyertai inisiatif Veteran MyWIRA di Macron Memory, Batu Kawan, Pulau Pinang. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU KAWAN: ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ yang bermaksud selagi hidup, selagi itulah perlu melawan. Mungkin ungkapan yang sinonim sebagai pembakar semangat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu sesuai untuk menggambarkan keazaman luar biasa seorang pesara tentera laut ini.

Meskipun mengalami kemalangan yang teruk ketika dalam perjalanan untuk melapor diri semasa mula-mula mengikuti program latihan Veteran MyWIRA di syarikat Micron Memory Malaysia (Micron) di sini beberapa bulan yang lalu, Mohd. Daniel Abdullah, 44, nekad untuk tidak berpatah balik.

Dalam keadaan sebahagian daripada tubuhnya berlumuran dengan darah, Mohd. Daniel yang menunggang motosikal dari Ayer Tawar, Perak dalam keadaan hujan lebat itu bagaimanapun sempat tiba di Micron sebelum rebah dan terpaksa dikejarkan ke hospital berhampiran.

Pengalaman dan kisah perjuangan luar biasa itu dikongsikan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang hadir pada majlis pengiktirafan kohort pertama Veteran MyWIRA yang secara keseluruhannya melibatkan 25 pesara ATM lain daripada pelbagai latar belakang.

Jelas Steven, beliau tersentuh dengan kisah Mohd. Daniel yang juga merupakan bekas juruteknik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menganggap disiplin yang diterap ketika berkhidmat dalam bidang ketenteraan sebelum ini sebati dengan jiwa anggota veteran ATM itu ketika ini.

“Kisah ini sangat memberi inspirasi bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya,” kata Steven yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

STEVEN Sim berbual dengan Mohd. Daniel Abdullah (kanan), salah seorang veteran tentera yang terlibat dalam kohort pertama inisiatif Veteran MyWIRA untuk pesara ATM di Micron Memory, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Terdahulu, Steven turut menyantuni beberapa pesara ATM lain yang mengikuti program Veteran MyWIRA itu hasil inisiatif bersama antara Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) iaitu sebuah agensi strategik dan badan pemikir di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew; Naib Presiden Micron Memory, Ramu Iyer; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM, Mejar Jeneral

Semaon Marjuki serta beberapa kenamaan lain pegawai kanan yang berkenaan.

Dalam ucapannya, Steven berkata, inisiatif Veteran MyWIRA yang memberi peluang kepada veteran ATM untuk berkhidmat dalam sektor swasta selepas tamat perkhidmatan mereka itu sejajar dengan misi strategik 3K Kesuma iaitu Kebajikan, Kemahiran dan Keberhasilan.

“Saya berbangga melihat 25 pesara tentera ini berjaya mendapat pekerjaan yang berkualiti dalam sektor swasta melalui inisiatif Veteran MyWIRA dan kejayaan mereka menyerlahkan potensi ini serta menjadi tauladan yang baik untuk veteran dan syarikat lain untuk turut serta sekaligus memudahkan peralihan veteran ATM ke dalam kerjaya yang berkualiti dalam sektor swasta,” kata beliau.

Pada majlis tersebut, Steven turut mengumumkan empat lagi syarikat baharu yang mengambil bahagian dalam inisiatif Veteran MyWIRA iaitu FedEx, Western Digital, Walta COE dan Hilton Malaysia.

Turut berlangsung pada majlis yang sama ialah pertukaran nota kerjasama antara TalentCorp dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Kerjasama itu akan memanfaatkan Geran Advanced Technology Meister Programme (ATMP) NCIA untuk menyokong majikan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang menyertai inisiatif Veteran MyWIRA dengan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan kemahiran veteran.

Mengulas lanjut, Steven berkata, Micron Memory juga menyasarkan untuk menggaji sehingga 50 pesara ATM baharu tahun depan iaitu selepas mereka mengikuti program latihan berkenaan.

“Jadi, sasaran kita ialah, selepas dua hingga tiga tahun, inisiatif Veteran MyWIRA ini mampu menempatkan sekurang-kurangnya sehingga 5,000 orang veteran (ATM) setiap tahun (selepas ini),” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew menegaskan, agensi itu komited untuk meningkatkan taraf hidup veteran melalui inisiatif seperti Veteran MyWIRA.

“Dengan memanfaatkan kelengkapan TalentCorp seperti platform pemporfilan MyNext dan menghubungkan veteran dengan rakan industri melalui Majlis MyMAHIR Future Skills Talent Council, kami berhasrat untuk memudahkan transisi mereka ke dalam tenaga kerja,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya amat menggalakkan lebih banyak syarikat dari pelbagai industri untuk menawarkan peluang pekerjaan yang sama kepada wira negara sekaligus membolehkan mereka mendapatkan kerjaya yang berkualiti selepas tamat perkhidmatan dalam bidang ketenteraan.

Sementara itu, dua lagi veteran ATM yang mengikuti program Veteran MyWIRA turut berkongsi cerita mereka kepada Steven dalam satu sesi bual bicara santai selepas majlis berkenaan selesai.

Bagi S. Ruteradevan, 45, dia teruja kerana berpeluang untuk tinggal bersama keluarganya sejak bekerja di Micron sebagai penyelia bahagian pengeluaran selepas bersara pada Disember tahun lepas.

“Dulu iaitu semasa saya berkhidmat dalam ATM, terpaksa tinggalkan keluarga hampir setiap masa. Takkan apabila sudah bersara pun perlu berjauhan daripada keluarga?

“Jadi, saya memilih menyertai kursus ini dan berpindah ke Nibong Tebal dari Taiping (Perak) untuk menjimatkan masa berulang-alik (dari Perak ke Pulau Pinang) selain meluangkan lebih masa bersama keluarganya di sini,” kata bekas jurulatih kawad senjata Tentera Darat itu.

Seorang lagi pesara, Mohd. Fauzi Mohd. Soib, 39, memaklumkan, dia mendapat tahu mengenai inisiatif Veteran MyWIRA itu daripada media sosial milik Perhebat.

“Saya bersara sejak 2018 dan sejak itu, saya membuka perniagaan sendiri dan menjadi pekerja kilang sebelum menyertai program ini (Veteran MyWIRA),” ujar beliau.

Tambahnya, gaji yang berpatutan dengan kemahiran iaitu antara RM3,000 hingga RM4,000 juga antara menjadi faktor mengapa dia memilih untuk menyertai program terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN