EVOLUSI peralatan dan doktrin pertahanan kini berubah seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Apatah lagi dalam dunia yang serba canggih dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan dron sebagai contoh semestinya menuntut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan transformasi segera.
Justeru, beberapa perancangan dan pelaksanaan telah dimulakan yang bukan sekadar terhad kepada perolehan aset semata-mata, sebaliknya dalam pelbagai aspek.
Ini termasuk usaha ke arah pelaksanaan Gerak Tindak Reformasi ANGKATAN 30 yang melibatkan perubahan dan penstrukturan semula beberapa aspek bagi memantapkan ketumbukan ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan negara kekal terpelihara.
Agenda Transformasi ATM yang telah bermula sejak penerbitan Kertas Putih Pertahanan (KPP) pada tahun 2019 dan diperkukuhkan oleh Strategi Ketenteraan Negara (SKN) pada tahun 2023, menetapkan iltizam untuk merealisasikan pembentukan Angkatan Masa Hadapan (AMH) menjelang tahun 2030 melalui inisiatif Gerak Tindak Reformasi ANGKATAN 30.
Menurut Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab. Rahman, Panglima Angkatan Tentera, antara pencapaian awal yang dapat dilihat selepas pelaksanaan ANGKATAN 30 adalah fasa peralihan dan penjajaran strategik melalui penubuhan Sekretariat Angkatan Masa Hadapan serta Jawatankuasa Pembangunan Angkatan Masa Hadapan.
Katanya, bermula awal Januari tahun ini sehingga penghujung tahun depan, ATM akan meneruskan langkah dan menumpukan usaha untuk fasa reka bentuk angkatan.
“Fasa ini akan memberi penumpuan kepada gerak kerja penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Dalam RMK-13, AMH akan mempunyai ciri-ciri yang telah digariskan dalam KPP dan diperkukuhkan melalui pelan SKN 2.0. Keupayaan ketenteraan akan dipertingkatkan secara menyeluruh dan holistik,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sebagai rekod, konsep “Whole of Government and Whole of Society” dipraktikkan bagi menyokong usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih berdaulat, selamat, makmur, serta memastikan tanggungjawab pertahanan dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua pihak.
Dalam pada itu Mohammad berkata, empat teras falsafah pemerintahan yang digunapakai sepanjang kepemimpinan beliau akan dikekalkan dan terus diperkemaskan dalam memastikan AMH dapat direalisasikan.
“ATM menumpukan inisiatif memperkasakan keupayaan dan kesiagaan menuju Angkatan Masa Hadapan. Ia akan terus menjadi penanda aras dalam perancangan serta pembangunan keupayaan ketenteraan.”
“Sehubungan itu, transformasi operasi, latihan dan doktrin akan kekal menjadi keperluan kritikal bagi membolehkan ATM memiliki ciri kebersamaan serta kebolehoperasian,” jelasnya.
Oleh yang demikian kata Mohammad, hasrat untuk menggilap modal insan angkatan yang positif dan progresif secara holistik akan menjadi keutamaan kepada setiap panglima perkhidmatan.
“Saya tekankan, we equip the men, not the machine,” ujarnya.
Katanya lagi, ANGKATAN 30 juga adalah inisiatif ATM untuk menyediakan asas kepada transformasi angkatan yang berlandaskan ciri-ciri AMH.
“Inisiatif ini berteraskan kepada Fundamental Capability Enabler yang merangkumi aspek kepimpinan, anggota, organisasi, doktrin, kewangan, peralatan, dan latihan. Melalui pendekatan ini, ATM akan dipersiapkan dengan keupayaan untuk merentasi dimensi keempat sehingga tahun 2055.”
“Ia akan hanya tercapai menerusi keterlibatan secara aktif dan menyeluruh oleh segenap lapisan warga ATM. We have to be passionate and consistent in reforming the armed forces,” jelasnya.
“Angkatan Masa Hadapan (AMH) ATM merupakan satu pelan pembangunan strategik berteraskan 4th Dimension Malaysian Armed Forces (4D MAF). Ia bertujuan meningkatkan keupayaan merentasi domain darat, laut, udara dan siber bagi menangani ancaman yang pelbagai secara berkesan.
Keupayaan angkatan kita akan dinaiktaraf dan diperlengkap bagi memastikan kesediaan untuk operasi masa kini dan akan datang. AMH akan dilengkapkan dengan keupayaan penting untuk menangani cabaran baharu yang muncul dalam persekitaran geostrategik yang kompleks hari ini.
Pelan pembangunan ini akan membentuk AMH sebagai sebuah angkatan yang ampuh dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah, serta memenuhi keperluan Operasi Ketenteraan Selain Perang (MOOTW).”
Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, warga ATM perlu berpegang kepada amanat beliau dengan berlandaskan Sinergi 3M iaitu Man, Machine dan Method. Katanya, antara amanat tersebut ialah:
- Penumpuan terhadap diplomasi pertahanan akan kekal menjadi mekanisme utama dalam langkah membina keyakinan (confidence building measures) antara rakan strategik serantau dan antarabangsa. Jalinan persefahaman dan kerjasama yang selari dengan dasar luar negara akan memastikan Gerak Tindak Reformasi ANGKATAN 30 dilaksanakan dengan berkesan, berlandaskan perkongsian yang berwibawa.
- Pengukuhan pertahanan berpadu dan berlapis menerusi strategi cegah rintang bersepadu. Kaedah ini menjamin kedaulatan dan keutuhan wilayah negara. Sekiranya tercabar, model tindak balas angkatan melalui diplomasi, pengesanan, penghindaran, penafian, dan penumpasan adalah pilihan rasional dan berkadaran.
- Pemerkasaan instrumen pertahanan komprehensif melalui kolaborasi Angkatan Tentera Malaysia dan awam akan kekal menjadi keutamaan strategik. Pendekatan WOGOS perlu dioptimumkan bagi memastikan kos pertahanan negara seimbang serta dilaksanakan secara efisien.
- Pemacuan industri pertahanan negara sebagai entiti pelengkap kepada Reformasi ANGKATAN 30. Pembangunan keupayaan AMH tidak boleh hanya bertumpu pada pelaksanaan dalaman, malah memerlukan sokongan daripada industri pertahanan tempatan yang bergerak seiring dengan inovasi dan perkembangan teknologi semasa.
- Pengemaskinian sistem perintah dan kawalan serta fungsi tugas secara tersusun. Langkah ini membolehkan angkatan beralih ke arah persekitaran operasi pelbagai domain secara efektif. Kaedah tersebut menawarkan opsyen ketenteraan yang tangkas dan tuntas serta memberikan keberkesanan kos kepada negara.
- Mempergiatkan transformasi operasi, latihan dan doktrin secara menyeluruh melalui pendekatan Concept Based Doctrinal Driven. Proses eksperimentasi perlu dilaksanakan untuk memastikan konsep operasi memenuhi keperluan tugas yang ditetapkan.
- Penjanaan kapasiti dan keterampilan warga berlandaskan etos kepahlawanan serta nilai-nilai murni. Pembangunan modal insan yang melibatkan pendidikan dan latihan profesional ketenteraan perlu dipertingkatkan bagi memacu kecemerlangan ketumbukan ANGKATAN 30 kelak.
- Peluasan agenda kesejahteraan keluarga ATM dan veteran perlu diberikan penumpuan khusus. Aspek kebajikan adalah pemangkin kepada semangat dan kesetiaan seluruh warga angkatan, baik yang sedang berkhidmat mahupun yang telah bersara. Sehubungan dengan itu, aspirasi AMH akan dapat dicapai dengan sokongan dan dorongan positif yang diperolehi daripada setiap lapisan warga ATM.
Justeru katanya amanat itu kelak perlu dijadikan fokus utama sepanjang tempoh pemerintahan beliau.
“Usaha melaksanakan Gerak Tindak Reformasi ANGKATAN 30 memerlukan anjakan radikal yang menuntut kita keluar dari zon selesa dan mencabar kefahaman legasi,” tegasnya.-UTUSAN