Tajaan PETRONAS beri laluan Nursyazwani jadi ahli geologi petroleum

Tajaan PETRONAS beri laluan Nursyazwani jadi ahli geologi petroleum

NURSYAZWANI bersama rakannya menyertai Kursus Kepimpinan Ketua Murid dan Penolong Ketua Murid Sekolah Berasrama Penuh 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Benarlah peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, kerana setiap yang dikehendaki perlu disertakan dengan usaha terutama dalam mengecapi kejayaan ke menara gading.

Begitu juga bagi pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari Batu Pahat, Johor, Nursyazwani Mohamad Noor, antara 600 pelajar dari seluruh negara yang memperoleh tajaan di bawah inisiatif Memperkasakan Ilmu oleh PETRONAS, baru-baru ini.

Mendapat tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dalam bidang Geosains Petroleum, Nursyazwani bercita-cita menjadi ahli geologi petroleum atas minat yang mendalam terhadap bidang itu.

Menjadikan ibu saudaranya yang merupakan ahli meteorologi sebagai inspirasi dan pemula untuk dia mempelajari ilmu tentang bumi, Nursyazwani mempunyai tempoh lima tahun bagi mengejar cita-citanya.

Inisiatif PETRONAS ini membuka peluang keemasan kepada anak sulung daripada dua beradik ini, lebih-lebih lagi apabila dirinya kehilangan sistem sokongan utama sejak bapanya meninggal dunia dua tahun lalu.

Nursyazwani yang memperoleh keputusan SPM 4A+ dan 5A di Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, Johor mempunyai minat mendalam dalam bidang sains (Biologi dan Fizik) sejak sekolah rendah dan menengah, dan sering mendapat anugerah kecemerlangan di sekolah.

Menceburkan diri di dalam bidang yang didominasi oleh lelaki, Nursyazwani turut aktif dalam penglibatan kokurikulum seperti sukan hoki, kadet polis, badan perwakilan pelajar, kelab robotik dan kursus kepimpinan yang menggilap bakatnya menjadi seorang Penolong Ketua Murid Sekolah yang berwawasan.

Untuk berada di tahap sekarang, dia berterima kasih kerana mendapat sistem sokongan kuat daripada kalangan keluarga, guru dan rakan-rakan untuk dirinya terus bergerak ke hadapan.

“Sebenarnya, sejak kecil lagi ibu dan bapa saya melihat potensi saya untuk berjaya dan mendapat keputusan yang membanggakan mereka. Jadi, ibu bapa hantar saya ke sekolah sains dengan harapan lebih banyak peluang bukan sahaja dari segi akademik, malah, kokurikulum.

“Suka saya berkongsi kepada bakal calon SPM supaya memanfaatkan masa dengan pelbagai aktiviti yang bukan melibatkan akademik sahaja, malah aktiviti yang berpotensi membentuk ciri-ciri kepimpinan, kesukanan dan kemahiran komunikasi.

“Kita lihat sesetengah orang pandang enteng pada SPM. Namun, SPM adalah titik tolak untuk kita menuju ke arah lebih baik. Hidup ini adalah tentang pilihan. Jika kita melihat sesuatu yang baik, maka, lebih banyak hal hebat yang bakal kita saksikan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dia ditemui selepas majlis penyampaian tajaan pendidikan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini yang dihadiri lebih 1,000 tetamu termasuk pelajar, pihak berkepentingan serta wakil dari universiti dan kolej terkemuka.

PETRONAS komited memupuk pengetahuan dan pembangunan modal insan sejak ianya ditubuhkan pada 50 tahun lalu. Malah sejak 1975, syarikat itu melabur RM3.81 bilion dalam tajaan pendidikan yang memanfaatkan lebih 39,000 pelajar di seluruh negara.

Pada 15 September lalu, PETRONAS mengumumkan penajaan berjumlah RM320 juta kepada 600 pelajar cemerlang SPM 2023 dari seluruh negara di bawah inisiatif Memperkasakan Ilmu.

Dipilih daripada hampir 6,000 pemohon, penerima dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kokurikulum.

Mengulas berkenaan tajaan itu, Nursyazwani berkata, dia melalui proses yang sama dengan pemohon lain melalui sistem di dalam talian pelbagai peringkat sehingga disenarai pendek hadir ke sesi temuduga di Bangi, Selangor.

Berkongsi mengenai perjalanannya ke sesi temuduga, Nursyazwani menyatakan bahawa itu merupakan perjalanan pertamanya bersama ibu tersayang keluar dari Batu Pahat sejak kehilangan bapanya dua tahun lalu.

Katanya, melihat aspirasi PETRONAS yang mahu mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, dia juga mahu menyumbang sesuatu menerusi kajian dan ciptaannya.

Dia juga membayangkan dirinya sedang menerima skrol semasa majlis konvokesyen di UTP dan selepas itu bekerja dengan PETRONAS serta menyambung pengajian semula di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Sudah pasti perasaan saya bercampur baur kerana saya tidak menjangka mendapat tajaan ini setelah melalui kesemua peringkat kerana tidak semua pemohon mempunyai nasib yang sama.

“Prosesnya amat mencabar dan cabaran pertama saya adalah pertama kali memulakan perjalanan jauh semata-mata hadir ke temuduga ini. Kita semua maklum syarikat PETRONAS sudah berusia 50 tahun, jadi, dengan kredibiliti itulah membuatkan saya tertarik dengan tajaan ini,” katanya.

Nursyazwani mahu membantu orang lain dalam aspek mendapatkan tajaan yang serupa, melihat situasi dimana ada segelintir yang terpaksa menangguhkan impian dan cita-cita akibat kekangan kewangan.

“Sebelum saya menyumbang kepada negara, saya mahu bermula dengan komuniti dahulu dengan menyertai organisasi untuk mencapai matlamat PETRONAS. Rakan saya sendiri pun terpaksa tunda impian akibat masalah kewangan. Jadi, saya ingin bantu mereka yang berdepan nasib sama,” katanya.

Dia menasihati generasi selepasnya supaya mempelajari perkara baharu setiap hari agar menjadi individu yang serba boleh.

“Kepada mereka yang bakal menduduki SPM, jangan tinggalkan kelas tambahan. Walaupun tidak wajib, anda harus hadir kerana saya percaya, inisiatif ini membantu persediaan kita menduduki peperiksaan. Jika tidak dapat hadir juga kerana ada komitmen lain, cuba cari cikgu dan minta tolong ajar,” katanya yang sering dibantu guru-guru dan rakan-rakan untuk tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Menurut Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan,Mohd Zaki Haji Mahat, “Inisiatif Memperkasakan Ilmu ini adalah kunci dalam membangunkan tenaga kerja yang dinamik untuk masa hadapan.

Bagi pihak PETRONAS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima tajaan pendidikan PETRONAS di Wilayah
Selatan.”

Beliau menekankan pentingnya usaha berterusan dalam mencapai cita-cita. “Kepada semua penerima, saya berharap anda terus berjuang untuk merealisasikan impian anda, mencapai kecemerlangan, dan memberi impak positif kepada diri sendiri, masyarakat, PETRONAS, dan negara secara keseluruhan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN