Subsidi bersasar memperkasa sektor elektrik dan air – PETRA

Subsidi bersasar memperkasa sektor elektrik dan air – PETRA

KERAJAAN melaksanakan pelbagai projek bagi penambahbaikan tenaga seperti membina projek menara penghantaran monopole sepanjang 8.5 kilometer (km) yang bakal menghubungkan pencawang masuk utama (PMU) stesen janakuasa Perai ke PMU The Light di Pulau Pinang dan bagi mengurangkan beban pengguna, sebanyak RM16 bilion subsidi tenaga diperuntukkan pada tahun lalu. – UTUSAN/ ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berjaya menjimatkan peruntukan subsidi elektrik sebanyak RM4.1 bilion pada tahun 2023.

Selain itu, kerajaan juga dapat menjimatkan RM0.21 bilion pada tahun 2024 dengan memperuntukkan RM0.63 bilion subsidi kepada kelompok pengguna domestik berbanding RM0.84 bilion sebelum penyasaran semula.

Melalui langkah yang telah diambil pada tahun 2023, kerajaan hanya membelanjakan subsidi berjumlah RM16 bilion berbanding RM20.1 bilion sekiranya rasionalisasi subsidi ini tidak dilaksanakan.

Inisiatif ini diharapkan dapat membantu kerajaan menguruskan subsidi dengan lebih berkesan sambil memastikan kesejahteraan pengguna.

Pada Januari hingga Jun 2023, surcaj imbalance cost pass-through (ICPT) sebanyak 20 sen/kWj dikenakan kepada pengguna industri dan komersial voltan sederhana serta voltan tinggi.

Seterusnya, mulai Julai hingga Disember 2023, pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 1,500 kWj dikenakan surcaj ICPT sebanyak 10 sen/kWj,

Sementara itu, pengguna dengan penggunaan antara 601 hingga 1,500 kWj tidak lagi menerima rebat pada tahun 2024.

 

FADILLAH Yusof meninjau Stesen Janakuasa TNB Gelugor di Georgetown 29 Ogos 2024,

Pada masa ini, mekanisme pelaksanaan subsidi elektrik adalah berdasarkan kepada penggunaan elektrik bulanan pengguna memandangkan Kementerian tidak mempunyai data pengguna elektrik berdasarkan pendapatan.

Namun, dianggarkan seramai 85,000 pengguna atau 1 peratus daripada jumlah pengguna domestik di Semenanjung Malaysia menggunakan elektrik melebihi 1,500 kWj pada setiap bulan dan dikenakan surcaj ICPT sebanyak 10 sen/kWj.

Sementara itu, seramai 82 juta atau 99 peratus pengguna domestik di Semenanjung Malaysia masih menikmati manfaat subsidi elektrik.

Dalam sektor bukan domestik pula, seramai 1.8 juta pengguna atau 98 peratus termasuk industri dan komersial voltan rendah, pengguna tarif pertanian, serta operator air dan pembentungan juga terus menerima subsidi elektrik.

Pelarasan kadar tarif air

Dalam pada itu, pelarasan kadar tarif air bagi kategori Bukan Domestik dan Kategori Khas telah dikuatkuasakan di seluruh Semenanjung Malaysia serta Wilayah Persekutuan Labuan bermula 1 Julai 2022 lalu.

Pelarasan bagi kategori Domestik pula bermula pada 1 Februari 2024.

Langkah ini diambil bagi membolehkan operator air negeri mengimbangi peningkatan kos operasi (OPEX) dan memenuhi keperluan perbelanjaan modal (CAPEX) dalam usaha memperbaiki infrastruktur sistem bekalan air.

Pelarasan tarif air ini juga merupakan langkah penting ke arah pemulihan kewangan penuh operator air negeri bagi membolehkan menampung kos operasi, penyelenggaraan, pembaikan infrastruktur serta kos modal yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan air yang berkualiti.

Pelarasan kadar tarif air bagi kategori Bukan Domestik dan Kategori Khas yang berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2022 telah menyumbang kepada peningkatan pendapatan tambahan bagi operator air negeri dengan anggaran sebanyak RM736.4 juta setahun.

Ini mewakili peningkatan sebanyak 13.4 peratus berbanding pendapatan tarif sebelum pelarasan sekaligus membantu operator air menampung kos operasi dan pelaburan dalam infrastruktur.

Sementara itu, pelarasan kadar tarif air bagi kategori Domestik yang bermula 1 Februari 2022 pula dijangka menyumbang peningkatan pendapatan tahunan sebanyak RM486.1 juta atau 8.8 peratus daripada pendapatan tarif terdahulu.

Walaupun peningkatan pendapatan ini membawa manfaat kepada operator air negeri tetapi ia masih belum mencukupi untuk menampung kos operasi (OPEX) dan perbelanjaan modal (CAPEX).

Ini disebabkan kadar tarif air semasa yang tidak mencerminkan kos sebenar dalam penyediaan perkhidmatan air.

Purata kadar tarif air semasa ialah RM1.59/m3, lebih rendah berbanding kos operasi dan perbelanjaan modal yang dianggarkan meningkat kepada RM2.03/m3 pada tahun 2023.

Kekurangan ini menekankan keperluan untuk mengimbangi kos sebenar dan memastikan kelestarian penyediaan bekalan air.

PETRA mengawasi sepuluh agensi utama dalam pengurusan sumber air dan tenaga di Malaysia melibatkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP); Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM); Jabatan Bekalan Air (JBA); dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA)

Selain itu, Suruhanjaya Tenaga (ST); Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK); Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform Corporation (MyPower) juga dibawah pengawasan PETRA.

Semua agensi ini berkolaborasi untuk memastikan pengurusan sumber yang berkesan dan mampan demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN