Skim SJKP Madani bantu pekerja gig, peniaga kecil miliki rumah

Skim SJKP Madani bantu pekerja gig, peniaga kecil miliki rumah

Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Madani yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 memperuntukkan RM10 bilion dana Jaminan Kerajaan memanfaatkan sehingga 40,000 peminjam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan yang bekerja sendiri seperti pekerja gig, peniaga kecil dan individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap kini mampu merealisasikan impian memiliki rumah melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Madani.

Skim yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 itu telah memperuntukkan RM10 bilion dana Jaminan Kerajaan untuk memanfaatkan sehingga 40,000 peminjam dan terbesar berbanding tahun sebelumnya, di mana Belanjawan 2023 hanya memperuntukkan RM5 bilion.

SJKP telah diselaraskan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP Berhad) dan merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia.

Pengarah Penyelidikan Hartanah, Rahim & Co International Sdn. Bhd., Sr. Sulaiman Saheh berkata, skim itu bertujuan membantu mereka yang tidak mempunyai slip gaji atau sukar membuktikan pendapatan yang menjadi satu halangan utama dalam mendapatkan pinjaman perumahan.

“Skim ini menyediakan cara bagi mereka yang sukar mendapat pinjaman perumahan, dengan menekankan kepentingan penarafan kredit yang selamat untuk bank.

“Selain itu, walaupun ramai yang tidak mempunyai pendapatan tetap, skim ini memberi peluang kepada mereka yang mempunyai simpanan dan disiplin perbelanjaan yang baik untuk memiliki rumah mampu milik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Proses permohonan SJKP akan bermula apabila pemohon mengenal pasti rumah pilihan dan memohon pembiayaan dengan institusi kewangan terlibat.

Pemohon menyerahkan dokumen berkaitan untuk dinilai, dan jika layak, institusi kewangan akan menghantar permohonan kepada SJKP bagi mendapatkan jaminan pembiayaan.

Setelah jaminan diterima, institusi kewangan mengeluarkan surat tawaran (LO), membolehkan pemohon meneruskan pembelian rumah. Pembiayaan akan disalurkan dan rumah tersebut menjadi milik pemohon.

Sementara itu, penganalisis hartanah, Ahyat Ishak berpendapat skim itu positif kerana ia diperkenalkan pada masa yang tepat dan memenuhi keperluan golongan yang sukar mendapat pinjaman perumahan sebelum ini, dan memperluaskan akses kepada perumahan.

“Skim SJKP menawarkan solusi kepada golongan yang bekerja dalam ekonomi gig dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Perubahan dalam cara rakyat Malaysia bekerja berbanding 10 tahun lalu menunjukkan betapa pentingnya skim seperti SJKP ini untuk membantu mereka yang tidak mempunyai pekerjaan formal tetapi tetap berkemampuan, melalui disiplin kewangan dan simpanan,” katanya.

Beliau berkata, penting untuk kerajaan terus meningkatkan dana skim ini, kerana semakin ramai rakyat yang bekerja dalam sektor ekonomi gig dan perniagaan sendiri.

Jelasnya, usaha penambahbaikan juga boleh terus dilakukan untuk memudahkan kelulusan dan mengurangkan kadar faedah, supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Bagi Pegawai Eksekutif Jualan Platinum Victory, Muhammad Al Muizz Mohd. Shuib, SJKP sangat membantu pemilikan rumah bagi mereka yang sedang mencari rumah pertama.

Muhammad Al Muizz Mohd. Shuib

“Boleh dikatakan hampir 100 peratus klien saya berjaya memanfaatkan skim ini kerana mereka tidak perlu membayar bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada harga rumah yang dibeli.

“Sebagai contoh, jika klien ingin membeli rumah berharga RM300,000, mereka perlu mengeluarkan bayaran pendahuluan sebanyak RM30,000. Namun, dengan SJKP, anda boleh mendapatkan pinjaman penuh 100 peratus.

“Selain itu, jika profil kewangan pembeli baik, pembeli turut berpeluang untuk mendapatkan kadar faedah serendah 4.45 peratus dari pihak bank,” katanya.

Beliau menasihatkan agar pembeli rumah pertama merebut peluang membeli rumah dengan skim itu kerana ia merupakan kelebihan untuk pembeli rumah pertama sahaja.

“Bagi membeli rumah kedua, anda hanya akan dapat pinjaman sebanyak 90 peratus, dan untuk rumah ketiga serta seterusnya, hanya layak mendapat pinjaman 70 peratus sahaja,” jelasnya.

Menyedari keberkesanan dan kebaikan skim tersebut, Quar Seeh Earn berkata, sebagai seorang jurujual dengan pendapatan tidak tetap dan tanpa sokongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau pernah bimbang mengenai kelayakan untuk mendapatkan pinjaman.

Quar Seeh Earn

“Namun, apabila Belanjawan 2024 memperkenalkan Skim SJKP Madani, saya rasa sangat lega dan terus beritahu ejen rumah untuk mencuba memohon pinjaman daripada bank yang ada tawarkan skim ini, sebab tidak semua bank memberi pinjaman 120 peratus.

“Bagaimanapun, akhirnya saya berjaya mendapat pinjaman 120 peratus dengan Bank Simpanan Nasional (BSN). Prosesnya juga lebih cepat daripada jangkaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN