KOTA BHARU: Rahsia 13 liang menjadi elemen utama yang menyuntik nafas baharu kepada pementasan teater berlatarkan kisah perjuangan pahlawan Kelantan, Haji Hassan Panglima Mat Munas atau Tok Janggut di negeri ini.
Pengarahnya, Jihan Meghaa Ismail lega apabila rahsia yang belum pernah diceritakan dapat dibongkar dengan penuh tertib semasa pementasan itu.
“Sebenarnya saya tertarik dengan rahsia 13 liang yang diselitkan sebagai tajuk pementasan ini kerana masih ramai orang kita tidak tahu mengenai kejadian itu. Malah menjadi lebih mahal apabila ia diceritakan oleh cucu saudara Tok Janggut sendiri.
“Pada mata kasar hanya satu tikaman tetapi dijumpai kesan 13 liang tikaman pada mayat Sarjan Che Wan Sulaiman. Sudah banyak teater Tok Janggut dipentaskan tetapi tiada satu pun menceritakan kisah ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pementasan Karya Agung Teater Tok Janggut 13 Liang di Dewan Utama Kolej Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini semalam.
Jihan berkata, faktor tersebut menjadikannya dia tertarik untuk memilih kronologi pembunuhan Sarjan Che Wan Sulaiman dan kisah 13 liang sebagai latar utama yang sekali gus memberi nafas baharu kepada pementasan teater Tok Janggut.
“Secara tidak langsung kisah 13 liang memaparkan kisah kehebatan ilmu persilatan bangsa kita. Kerana itu saya pilih untuk menonjolkan kisah ini dengan menerapkan elemen kehebatan pahlawan Melayu yang diceritakan oleh orang asing kepada orang asing,” ujarnya.
Beliau bersyukur kerana Tok Janggut 13 Liang dapat dipersembah kepada penonton dengan jayanya walaupun terpaksa berdepan pelbagai kekangan terutama dari sudut kemudahan apabila pementasannya bukan di atas pentas teater sebenar.
“Penerapan permainan warna dan pencahayaan sebagai elemen utama dengan dibantu elemen moden seperti audio visual yang mengiringi peralihan plot, Tok Janggut 13 Liang menjadi sebuah karya yang mudah difahami dan mesejnya sampai kepada masyarakat terutama generasi baharu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd. Amran Mohd. Haris memuji keseluruhan 73 tenaga produksi termasuk 11 pelakon yang menjadikan Tok Janggut 13 Liang mencapai objektif serta hasrat kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, sungguhpun berdepan pelbagai kekangan serta kekurangan dari sudut kemudahan tetapi ia berjaya dipersembahkan serta mendapat sambutan cukup menggalakkan.
“Kita bangga kerana ia digerakkan oleh tenaga produksi yang terdiri daripada generasi muda. Ia sekali gus mencapai matlamat utama di sebalik usaha JKKN ini, iaitu memastikan generasi muda mengenali serta menghayati karya-karya agung di negara ini.
“Dalam konteks Tok Janggut 13 Liang ini, saya pasti sedikit sebanyak tenaga produksi akan terkesan dengan kisah dipentaskan termasuk mesej menyatakan orang Melayu perlu ada prinsip dan matlamat dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
“Ia turut membawa mesej bahawa petualang sebenar kejatuhan dan kegoblokan Melayu datang daripada bangsa kita sendiri yang berpaling tadah serta lebih mengagungkan bangsa asing. Mesej disampaikan secara cukup jelas dan direct to the point,” katanya.
Mohd. Amran berkata, Kelantan adalah negeri ketiga dalam siri mengangkat dan mempersembahkan karya-karya agung selepas Malam Mengenang J.M Aziz Pengantin Laut Berkolek Bersajak di Terengganu pada 21 September lalu dan Bangsawan Mestika Bumi di Pulau Pinang pada 27 dan 29 September lalu.
Katanya, setiap negeri akan mempersembahkan tajuk-tajuk khusus karya agung dan masih terdapat 11 negeri untuk dijelajah bagi melengkapkan 16 karya agung dengan persembahan seterusnya adalah teater Asy Syura di Perlis pada 25 dan 26 Oktober ini. – UTUSAN