Produk alternatif kurangkan jumlah perokok konvensional

Produk alternatif kurangkan jumlah perokok konvensional

AHLI panel Harm Reduction Conference 2024 membincangkan pelbagai isu dalam sektor tembakau di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggunaan produk alternatif seperti vape dan produk tembakau yang dipanaskan dilihat mampu mengurangkan jumlah perokok yang menghisap rokok konvensional di beberapa buah negara ketika ini.

Ia disokong oleh beberapa kajian dari United Kingdom (UK), New Zealand dan Sweden yang mencatatkan penurunan ketara dalam kelaziman merokok sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pribumi New Zealand, Prof. Marewa Glover berkata, inisiatif menggalakkan perokok beralih kepada produk alternatif yang kurang mudarat terbukti memberi impak signifikan terutama bagi golongan berpendapatan rendah yang mencatat kadar merokok lebih tinggi.

Namun begitu, katanya, kadar penurunan itu boleh terjejas sekiranya peraturan yang dikenakan menggugat keberkesanan produk alternatif seperti had nikotin yang terlalu rendah.

“Bagi memastikan produk alternatif ini berfungsi dengan baik, kadar nikotin yang sesuai perlu ditetapkan. Paras nikotin terlalu rendah mungkin akan menghalang perokok daripada berhenti sepenuhnya kerana mereka tidak mendapat kepuasan yang diperlukan.

“Ini menunjukkan kepentingan pengawalan yang fleksibel bagi mengurangkan kemudaratan akibat merokok,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Harm Reduction Conference 2024, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Marewa berkata, terdapat banyak maklumat salah mengenai nikotin dan produk pengurangan kemudaratan yang sering disebarkan oleh pihak yang berkemungkinan terjejas apabila kadar merokok menurun.

Justeru itu, katanya, pendidikan dan kesedaran perlu dipertingkatkan bagi memastikan masyarakat memahami risiko dan manfaat sebenar penggunaan produk alternatif itu.

“Ketika seseorang berhenti merokok, peningkatan kesihatan dapat dilihat tidak kira usia. Kita perlu memastikan peraturan tidak menghalang perokok daripada mendapatkan bantuan melalui produk alternatif yang kurang mudarat,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penggunaan produk alternatif seperti vape juga perlu dikawal dengan ketat bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan yang lebih besar.

Jelasnya, pengawalan ketat terhadap kandungan cecair vape perlu dilaksanakan supaya tidak berlakunya penggunaan bahan tiruan yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

“Di Amerika Syarikat, penyakit kecederaan paru-paru dikenali sebagai E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali) berpunca daripada penggunaan cecair vape yang dicemari bahan kimia seperti vitamin E asetat.

“Produk alternatif berpotensi besar dalam mengurangkan kadar merokok tetapi ia memerlukan pengawalan teliti serta pendidikan secara menyeluruh bagi memastikan kesan positif jangka panjang terhadap kesihatan awam.

“Dengan Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang diperkenalkan, kita mengharapkan lebih banyak langkah diambil untuk memastikan produk vape yang dijual di pasaran adalah selamat dan berkualiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mantan Pengarah Dasar Penyelidikan dan Kerjasama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Geneva, Prof. Tikki Pangestu berkata, Malaysia perlu melaksanakan kaedah pengurangan kemudaratan tembakau dengan lebih meluas supaya dapat mengurangkan kadar merokok.

Ujarnya, pendekatan itu sudah terbukti berkesan di negara-negara luar dan ia secara tidak langsung boleh membantu perokok beralih kepada produk yang lebih baik.

“Ini dapat dilihat dari negara seperti Australia, New Zealand, Jepun dan UK di mana pengurangan kemudaratan tembakau dilaksanakan dengan berkesan. Setiap kali terdapat peningkatan dalam penggunaan vape, kita dapati penurunan ketara dalam penggunaan dan penjualan rokok.

“Apabila penjualan produk vape meningkat, penjualan rokok menurun. Potensi untuk Malaysia sangat jelas tetapi ia bergantung sama ada peraturan di sini akan menyokong penggunaan alternatif ini secara lebih meluas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN