MK AB: Kebersamaan operasi, latihan strategi ampuh perkukuh keselamatan negara

MK AB: Kebersamaan operasi, latihan strategi ampuh perkukuh keselamatan negara

SENTIASA bersedia. Anggota tentera sentiasa berwaspada dalam memastikan keselamatan Pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAKSANAAN operasi dan latihan secara bersama dengan melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semestinya memberikan kesan lebih efektif dalam menjaga kedaulatan negara.

Paling penting, operasi secara bersama sekaligus mendukung peranan utama ATM sebagai benteng pertahanan negara dalam sebarang penugasan berkonsepkan jointness (bersama).

Di samping itu, ia turut menjadi sebahagian strategi ampuh bagi memperkukuh keselamatan negara.

Menurut Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Dato’ Zahani Haji Zainal Abidin TUDM, konsep Assigned Force memberi penekanan kepada sokongan terhadap semua operasi dan Eksesais Bersama dengan meletakkan komponen tempur setiap perkhidmatan ATM di bawah pemerintahan serta kawalan operasi Panglima Angkatan Bersama.

Menurut beliau, bagi pelaksanaan tugas raise, train and maintain kekal di bawah tanggungjawab setiap perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) ke Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Secara amnya, trup dan aset perkhidmatan ditugaskan berdasarkan keperluan dan ancaman situasi semasa mengikut sistem pusingan yang termaktub di dalam setiap perkhidmatan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sebagai rekod MK AB ditubuhkan secara adhoc pada 6 September 2004 dan penubuhan secara rasminya pada 16 Julai 2007 di Kementerian Pertahanan.

MK AB kemudiannya telah dipindahkan ke kompleks baharu iaitu di Sungai Panching, Kuantan Pahang dan beroperasi sepenuhnya pada 1 Julai 2019.

Kompleks ini telah dinamakan sebagai Kem Al-Sultan Abdullah sempena nama Kebawah DYMM Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Majlis penamaan kem yang penuh bersejarah ini telah dirasmikan Seri Paduka Baginda pada 26 Julai 2022.

Dalam pada itu Zahani berkata, penubuhan MK AB dilihat seiring dengan perancangan Angkatan Masa Hadapan ATM yang menekankan kepada pengoperasian bersama antara perkhidmatan-perkhidmatan ATM.

“Ia selaras dengan misi MK AB membangunkan keupayaan pelaksanaan operasi di dua wilayah secara integrate, operate dan sustain mengaturgerak, memerintah dan mengawal operasi bersama ATM di dalam dan luar negara meliputi misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan serantau, mengawal selia eksesais dan latihan bersama/gabungan/bersepadu, mengukuhkan pertahanan menyeluruh (HANRUH) melalui kerjasama antara agensi (WoGos) dan mengukuhkan diplomasi pertahanan melalui perkongsian berwibawa.

“Selain itu, MK AB bersedia melindungi integriti kedaulatan negara dalam memastikan kesiagaan operasi di tahap tertinggi serta responsif terhadap sebarang bentuk ancaman,” ujarnya.

Mengulas mengenai operasi di luar negara, Zahani berkata, MK AB turut berperanan menyelaras penglibatan dan keperluan ATM dalam operasi dan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Penglibatan awal ATM di dalam operasi global bermula pada tahun 1960 di Congo. Sehingga kini ATM masih terlibat dengan lima misi dengan aturgerak trup dan Pegawai Staf Tentera (PST) iaitu Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL), Pegawai Pemerhati Tentera (PPT) di Misi Penstabilan Organisasi PBB di Republik Demokratik Congo (MONUSCO), Misi PBB Untuk Referendum Di Sahara Barat (MINURSO), Pasukan Keselamatan Interim PBB Untuk Abyei (UNISFA) di Sudan dan Misi PBB Menyokong Perjanjian Hudaydah (UNMHA) di Yaman,” katanya.

Dalam pada itu Zahani berkata, penugasan MALBATT 850 telah pun memasuki 11 tahun pada tahun ini iaitu bermula pada 2013 dan kini berdepan dengan cabaran susulan konflik Israel-Palestin yang berlaku semenjak 7 Oktober tahun lalu.

Ketegangan ini sedikit sebanyak telah menjejaskan operasi harian MALBATT 850-11 terutamanya rondaan di kawasan tanggungjawab yang menyebabkan tugasan ini terpaksa dihentikan buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Kini tugasan MALBATT 850-11 hanya tertumpu di kawasan pangkalan sahaja oleh kerana risiko serangan udara dan daratan daripada Israel Defence Force (IDF).

Namun demikian, MK AB serta UNIFIL melalui pelan rancangan kontigensi tetap memastikan anggota terus kekal selamat.

Sesungguhnya, pengalaman beroperasi di zon konflik merupakan satu pengalaman yang sungguh mencabar buat anggota MALBATT 850-11 dan menuntut setiap warganya mempunyai daya ketahanan mental dan fizikal yang tinggi.

Kata Zahani, walaupun berhadapan dengan situasi yang sukar, setiap warga MALBATT 850-11 tetap menunjukkan prestasi cemerlang dan komited dalam melaksanakan misi PBB sekali gus menaikkan imej ATM dan mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Semangat sebegini yang ditunjukkan seharusnya menjadi pemangkin kepada seluruh warga ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara agar keamanan kekal terpelihara.

Justeru, bagi menentukan keberkesanan operasi pada tahap yang tertinggi, MK AB telah melaksanakan perolehan kelengkapan baharu iaitu kenderaan perisai Ejder Yalçin 4×4 atau dikenali dengan nama Panthera dan kini dioperasikan oleh MALBATT 850-11 di Lubnan.

Selain Lubnan, MK AB turut dipertanggungjawab mengendalikan Hospital Medan ATM di Cox’s Bazaar, Bangladesh pada Mac 2018 sehingga Mac 2020 melalui Ops Starlight I dan Ops Starlight II di Celikhan, Adiyaman Turkiye dari 15 Februari hingga 23 Mac tahun lalu.

Penyertaan tersebut sekali gus berjaya mengharumkan nama ATM dan Malaysia di peringkat antarabangsa selain menerima pujian daripada kalangan pemimpin negara itu.

Zahani berkata, markas ini turut menghantar Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao (TPA-M), yang diketuai Malaysia bermula 10 Oktober 2004.

“Ia merupakan jemputan daripada kerajaan Filipina dan Moro Islamic Liberation Front (MILF) bagi memenuhi hasrat untuk memantau proses perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan pihak MILF. Namun, pada Jun 2022 misi ini telah ditangguhkan,” katanya.

Di samping terlibat dalam operasi peringkat antarabangsa, MK AB turut menabur bakti dalam operasi domestik di Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) yang bernaung di bawah pemerintahan MK AB.

Menurut Zahani, antara operasi yang terlibat ialah Operasi PASIR (Pandanan dan Sipadan Island Resort) sepanjang Pantai Timur Sabah sejak 7 April 2007.

“Operasi PASIR ini diwujudkan susulan dua kejadian penculikan Kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Pandanan dan Sipadan pada tahun 2000,” ujarnya.

Selain tumpuan kepada operasi ketenteraan, MK AB juga memberi perhatian kepada aspek hubungan dengan masyarakat melalui program Civil Military Cooperation (CIMIC).

Program ini melibatkan pelaksanaan projek-projek Low-Cost, High Impact yang bertujuan memberi manfaat kepada komuniti di kawasan operasi.

Menurut Zahani, semua projek ini membantu dalam membina hubungan yang akrab antara ATM dan masyarakat setempat.
Justeru kata beliau, MK AB memainkan peranan yang amat penting dalam struktur dan operasi ATM.

Tambahnya, MK AB terus berfungsi sebagai markas utama dalam menyelaras dan melaksanakan operasi ketenteraan sejak daripada penubuhannya yang bermula secara ad-hoc kepada peranannya yang signifikan dalam operasi domestik dan antarabangsa.

PERANAN DAN FUNGI MK AB

  1. Membangunkan keupayaan pelaksanaan operasi di dua wilayah secara integrate, operate dan sustain.
  2. Mengaturgerak, memerintah dan mengawal operasi bersama antara ketiga-tiga perkhidmatan ATM sama ada dalam atau luar negara termasuk misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan misi serantau.
  3. Mengawal selia eksesais dan latihan bersama/gabungan/bersepadu.
  4. Pengukuhan pertahanan menyeluruh (HANRUH) melalui kerjasama antara agensi menerusi konsep Whole Of Government, Whole Of Society (WoGos).
  5. Pengukuhan diplomasi pertahanan melalui perkongsian berwibawa.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN