Kaotim Car, Kaotim Motor penuhi keperluan pengguna kenderaan

Kaotim Car, Kaotim Motor penuhi keperluan pengguna kenderaan

MOHAMMED Hussein (dua kiri) bersama Nor Azman Zainal (dua kanan) pada pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor di Parkroyal Penang Resort, semalam, Turut sama, Mohamed Sabri Ramli (kiri) dan Ismail Mahbob (kanan). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelan perlindungan dalam talian komprehensif terbaharu di bawah Takaful Malaysia

GEORGE TOWN: Takaful Malaysia menerusi jenama dan platform digital mereka, Kaotim mengambil inisiatif tersendiri apabila memperkenalkan produk terbaharu mereka iaitu Kaotim Car dan Kaotim Motor, semalam.

Produk tersebut merupakan satu pelan perlindungan dalam talian yang terbaharu serta komprehensif bagi kenderaan persendirian termasuk motosikal dan ia ditawarkan pada harga yang berpatutan khususnya untuk pemilik kenderaan di negara ini.

Dengan pelancaran produk baharu ini, pemilik kenderaan diharap dapat mengakses pelan perlindungan secara pantas mengikut keperluan, sekali gus memilih faedah tambahan yang sesuai dengan bajet mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor adalah sebahagian daripada langkah strategik syarikat itu untuk mengukuhkan kedudukan dalam bidang insurans dan takaful motor yang kini menunjukkan pertumbuhan positif.

Katanya, strategi ini juga selaras dengan permintaan dan peningkatan jualan kenderaan di pasaran ketika ini.

“Kami berhasrat untuk memperluaskan langkah dengan menawarkan pelbagai pelan perlindungan dalam talian bagi memenuhi keperluan pelanggan kami.  Sehubungan itu, kami teruja untuk memperkenalkan Kaotim Car dan Kaotim Motor ini di bawah jenama Kaotim.

“Kedua-dua produk baharu ini menyediakan perlindungan komprehensif mampu milik dan mudah diakses yang membolehkan pelanggan mendapatkan sebut harga dan perlindungan yang sesuai,” katanya pada majlis pelancaran produk tersebut di Hotel Parkroyal Penang, Batu Ferringhi semalam.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein; Pengerusi Takaful Malaysia Am (Bahagian Takaful Am Takaful Malaysia), Ismail Mahbob; Lembaga Pengarah Takaful Malaysia Keluarga dan Takaful Malaysia Am serta Badan Penasihat Syariah.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli serta Pengurusan Kanan Takaful Malaysia.

NUR Fardiana Mohamed Ismail menunjukkan pelan perlindungan Kaotim Car dan Kaotim Motor melalui aplikasi Kaotim selepas majlis pelancaran di Pulau Pinang semalam.

Kaotim Car secara umumnya merupakan satu perlindungan komprehensif bagi kenderaan persendirian terhadap pelbagai risiko termasuk kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian, liabiliti kepada pihak ketiga atau kerosakan harta benda.

Selain itu, pelan ini menawarkan bantuan bahu jalan selama 24 jam serta perkhidmatan tunda tanpa had akibat kerosakan secara percuma dan Kaotim Car turut menyediakan perlindungan kemalangan peribadi untuk pemandu dan penumpang.

Ketika ini, terdapat 11 faedah tambahan yang fleksibel termasuk Motor PA Plus yang menawarkan perlindungan tambahan terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya sekali gus membolehkan pelanggan membuat pilihan yang sesuai berdasarkan keperluan mereka.

Pada masa yang sama, Kaotim Motor pula menawarkan perlindungan motosikal komprehensif terhadap kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian, serta liabiliti kepada pihak ketiga untuk kematian, kecederaan badan, dan kerugian atau kerosakan harta benda.

Selain itu, perkhidmatan bantuan bahu jalan 24 jam dengan perkhidmatan tunda akibat kerosakan sekali secara percuma turut disediakan.

Di bawah pelan perlindungan itu juga, pelanggan boleh menambah baik perlindungan mereka dengan memilih mana-mana daripada empat faedah tambahan termasuk Bike PA Plus – iaitu perlindungan kemalangan peribadi terhadap kematian atau keilatan kekal akibat kemalangan jalan raya.

Mengulas lanjut, Nor Azman memberitahu, dengan Kaotim Car, pelanggan dapat menikmati pelan ansuran untuk bayaran sumbangan tanpa faedah, diskaun serta-merta sebanyak 10 peratus serta perlindungan kemalangan peribadi percuma sebanyak RM15,000 untuk setiap individu yang dilindungi.

Ujar beliau, Kaotim Motor pula menawarkan diskaun serta-merta 10 peratus perkhidmatan tunda akibat kerosakan sekali secara percuma dan perlindungan untuk semua penunggang yang dibenarkan.

“Kesemua manfaat bagi kedua-dua pelan baharu ini bagaimanapun tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya yang menambah, pelancaran kedua-dua produk itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha pihaknya untuk memperkenalkan lebih banyak pelan perlindungan dalam talian selepas ini.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, inisiatif memperkenalkan produk-produk itu juga bertujuan memanfaatkan platform digital syarikat itu dalam menawarkan transaksi dalam talian yang lebih lancar, sesuai dengan gaya hidup terkini.

“Ini selaras dengan peningkatan permintaan pelan perlindungan untuk kenderaan persendirian dan motosikal dalam pasaran insurans am dan takaful di Malaysia ketika ini.

“Justeru, sempena ulang tahun ke-40, kami terus kekal kukuh dan berdaya saing dalam industri ini dengan menawarkan pelan perlindungan dalam talian yang komprehensif dan berpatutan, di samping memastikan keseimbangan portfolio antara perniagaan motor dan bukan motor,” kata Nor Azman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN