SHAH ALAM: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) komited memastikan kelestarian kesenian pementasan teater tradisional seperti Mek Mulung seiring dengan pembangunan dan kemodenan negara.
Malah, pelbagai usaha dilakukan untuk memastikan teater tradisional Melayu khususnya Mek Mulung dapat dibangun dan disemarakkan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan masyarakat serta relevan dengan pembangunan teknologi dan pemodenan negara.
Ketua Pengarahnya, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, antara usaha dilakukan seperti melaksanakan 17 pementasan melalui jeyarawara di seluruh negara serta penganjuran Simposium Mek Mulung 2024 dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Peringkat awal sebenarnya kita merancang untuk mengadakan simposium sahaja untuk Mek Mulung. Memandangkan kita mendapat seni persembahan teater tradisional Mek Mulung sebagai Warisan Tidak Ketara di bawah UNESCO, di bawah JKKN kita adakan simposium.
“Ia salah satu kaedah macam mana kita hendak menyemarakkan dan mengangkat kesenian melalui sesi akademik. Tetapi, alhamdulillah, lanjutan daripada usaha mengangkat melalui akademik disokong pula dengan dana daripada Kementerian Kewangan, melalui pementasan karya agung dan juga teater tradisional,” katanya ketika ditemui, malam tadi.
Terdahulu, beliau bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd. Yusri Mohd. Yusof dan Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) UiTM, Prof. Dr. Jamalunlaili Abdullah menyaksikan Pementasan Karya Agung Teater Tradisional Mek Mulung ‘Putera Cahaya Bulan’ arahan Mohd. Yusuf Azizan.
Pementasan tersebut dijayakan oleh Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa sempena Program Lestari Budaya yang turut dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penggerak Warisan Seni dan Budaya Negeri Kedah (AKRAB) yang dipertontonkan di Dewan Seri Budiman pada 27 dan 28 Oktober.
Dalam pada itu, Mohd. Amran memaklumkan, pementasan karya agung teater tradisional itu akan diteruskan di Johor selepas menerima pelawaan daripada Yayasan Zarith Sofiah untuk dianjurkan di Zarith Sofiah Opera House, Johor Bahru pada 16 dan 17 November.
“Pada tahun ini, bukan setakat Mek Mulung. Kita ada 14 negeri bermakna ada 14 tajuk yang kita pentaskan untuk karya agung antaranya yang sudah berlangsung seperti Teater JM Aziz, Mastika Bumi di Pulau Pinang, Tok Janggut di Kelantan dan baru-baru ini ada Asyura di Perlis.
“(Tahun hadapan) Kita lihat, kalau belanjawan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini, kalau ada lagi dana diberikan bagi pementasan karya agung, insya-Allah JKKN terus komited menyemarakkan lagi teater tradisional dan pembangunannya di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN